Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label manuskrip. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label manuskrip. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Disember 2016

Susurmasa 2016: Azam-azam yang Terlaksana


Macam tak percaya sepanjang tahun 2016 aku menulis dalam blog ni cuma 2 pos je. Kalau termasuk pos yang terbaru ni kiranya 3 lah jadinya.

Bukan apa, ada juga aku terfikir setiapkali mahu mengemaskini blog ni: masih ada lagi ke orang baca apa yang aku taip dalam blog ni? Lagipun aku dah takde basikal nak kayuh macam dulu-dulu. Oleh itu tiadalah cerita pengembaraan berbasikal daripada aku seperti sebelum ni.

Rasa macam malu pulak memikul gelaran Pahlawan Basikal.

Lainlah Pahlawan Melaka zaman dulu-dulu. Walaupun takde keris, dia masih boleh lagi bersilat ikut sedap hati dia. Macam aku ni, basikal pun takde, nak kayuh apa kebendanya.

Aku banyak membaca novel tahun ni. Nak belajar menulis, kenalah banyak
membaca.

Melainkan aku beli basikal baru... basikal baru ye? Tengoklah macam mana tahun 2017 nanti. Kalau ada duit lebih, aku beli le basikal apa pun. Janji basikal. Folding bike pun takpe. Basikal juga...

Sepanjang tahun 2016 ni aku sebenarnya agak sibuk juga walaupun takde apa-apa aktiviti bersukan. Kebanyakan aktiviti aku cuma lepaskan geram di status Facebook aku je. Nak lepaskan dalam blog — nama blog aku sendiri pun 'Pahlawan Basikal', jadi rasa menganiaya diri sendiri je kalau aku aku cerita takde sangkut paut pasal basikal.

Jadi, aku mengambil keputusan cerita kat status Facobook je... Habis cerita.

Mari ikuti aku menyelusuri susurmasa sepanjang tahun 2016:

Saham
Masuk je tahun baru aku terus belajar pasal saham. Bulan Januari jugak le aku beli saham pertama aku melalui Maybank Investment Bank. Dalam masa 3 bulan, aku berjaya membeli beberapa saham, termasuk saham Air Asia X. Bukan setakat saham je, warrant pun aku balun sebab untung dia boleh dapat berganda-ganda dari saham. Tu kalau untung le, kalau rugi pun boleh jadi berganda-ganda juga.

Tahun ni aku dah beli 41 buah saham dan warrant rasanya. Aku sendiri pun tak ingat.

Bulan lepas aku jual semua pegangan saham aku sebab nak pakai duit untuk hal-hal berkaitan rumah pulak.

Seminar / Bengkel

Pelaburan Hartanah
Hujung bulan Januari aku hadiri seminar Pelaburan Hartanah oleh Azizi Ali. Aku bukan tau sangat pasal hartanah. Tu pasal aku datang seminar tu. Sekurang-kurangnya taulah serba sedikit untuk orang yang tak berduit macam aku ni.

Bengkel Bursa Station
Lagi tiga hari nak puasa, aku masuk bengkel belajar Bursa Station anjuran 'Bangsawan Traders'. Dari situ aku dapat tau macam mana nak cari kaunter-kaunter saham yang berpotensi melonjak naik. Dalam perisian tu ada pengimbas ajaib (dari sini aku dapat idea menulis manuskrip untuk novel aku bertajuk KONTRA).

Oklah aku tau mau cerita panjang berjela berkaitan saham. Bukan semua orang suka atau faham sangat benda macam ni.

MYWritersFest2016 - Writers' Professional Development
Awal bulan Oktober aku sertai bengkel penulisan. Aku terjumpa maklumat ni ketika berusaha mencari apa-apa seminar berkaitan penulisan. Bengkel tersebut cuma lagi 3 hari je. Aku tak peduli. Aku daftar terus sekali dua topik dengan yuran yang berasingan.

  • Teknik-teknik Menyunting Penulisan
    oleh Anis Suhaila Ahmad Lutfi & Fikri Azzim
  • Perancangan dan Pembentangan Sebuah Novel
    oleh Lokman Hakim

Kat situlah aku faham serba sedikit tentang penghasilan manuskrip novel.

Penghasilan Manuskrip
Aku rasa yang ni aku akan cerita pada pos berasingan dengan lebih terperinci. Tapi untuk sementara ini aku cuma ulaskan serba sedikit sahaja.

Setakat ini satu manuskrip bertajuk 'Rempat' sudah dihantar ke salah satu penerbit indie untuk dinilai. Dah 4,233,600 saat aku tunggu. Sampai sekarang masih tidak ada jawapan. Dalam masa yang sama juga, sambil menunggu keputusan dari penerbit, aku terus menulis satu lagi manuskrip bertajuk 'Kontra'. Ianya berkonsep thriller.

Cerita itu masih lagi berbentuk draf. Tapi kalau korang nak baca, sila ke:



---

Baiklah. Setakat itu sahaja untuk kali ini. Aku akan sambung cerita berkaitan pengalaman aku menghasilkan manuskrip dalam cerita akan datang.

Selamat Tahun Baru in advance bebeh!

PS: Itu hari ada orang cadangkan nama Pahlawan Pena. Siapa orang tu ye?

Rabu, 30 November 2016

Alkisah 322 Hari


Kali terakhir aku menulis dalam blog ini adalah pada hari Rabu, 13 Januari 2016. Ini bersamaan 322 hari aku tinggalkan blog ini.

Kalau sesiapa yang mengandung pada hari tersebut, bulan September lepas beliau sudahpun beranak dan anak itu sekarang ini sudah berumur hendak masuk tiga bulan.

Sungguh pantas masa berlalu...

Menulis draf manuskrip.

Walaupun aku tidak mengemaskini blog ini, itu tidak bermakna aku goyang kaki dari subuh hingga ke tengah malam. Walaupun aku sudah menjual basikal kesayangan aku pada tahun lepas, aku masih lagi sibuk membuat perkara-perkara yang sudah lama aku mahu lakukan; seperti menulis buku dan juga berlari keliling tasik Putrajaya.

Menyentuh sedikit berkaitan basikal: Habis barang basikal aku buka satu persatu dan dijual berasingan. Dura Ace CS-7900 adalah barangan yang paling mahal berjaya dijual iaitu RM3,050. Mengikut rekod aku di Dailymile, Dura Ace tersebut sudah mengembara sejauh 8,919.67 kilometer. Manakala frame Scott R3 tahun 2011 pula dijual dengan harga RM2,000. Frame itu pula aku sudah lenjan sejauh 13,219.54 kilometer.

Aku bercadang mahu membeli basikal baru pada tahun hadapan. Tetapi tengoklah macam mana nanti. Kalau ada duit lebih, boleh juga sambar frame karbon berkuasa tinggi. Kalau ada duitlah. Kalau tak ada duit, terpaksalah beli Sodium bicarbonate sahaja.

Nak buat macam mana? Ekonomi kita pun bukannya mantap macam sebelum ini. Hendak berbelanja lebih-lebih pun aku ini bukanlah Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota. Aku ini orangorang sahaja.

Baiklah, mahu juga aku sentuh tentang buku yang ditulis dan masih dalam pembikinan. Buku itu bukanlah kategori buku-buku sejarah ataupun sebaris Encyclopedia Britannica. Ianya adalah novel bersifat indie.

Macam mana aku boleh menulis novel?
Pada 08 Oktober 2014, aku ada menulis satu cerita berbentuk blog yang aku namakan 'Dari Perak ke London'. Ianya berbentuk catatan blog mengikut imaginasi aku sendiri. Bahasa yang aku gunakan pula ikut sedap jari sahaja. Tidak ada langsung unsur-unsur falsafah atau bahasa sastera setinggi gunung.

Sepanjang menulis tidak pernah pula aku mempromosi cerita aku di mana-mana media sosial. Nama aku pun tidak diletakkan sekali pada blog tersebut. Aku tidak langsung terfikir mahu serius memanjangkan cerita yang aku tulis itu.

Hinggalah pada suatu hari, seorang kenalan di Facebook memuat naik status berbunyi:

Kalau tidak disebabkan ini, aku tidak mampu menulis cerita yang panjangnya
beribu-ribu patah perkataan.

Disebabkan aku kehabisan kerja pejabat waktu itu, maka jari-jemari aku pantas menaip di ruangan komen. Selanjutnya, perbualan itu berpanjangan ke Messenger. Melalui perbualan, aku diusulkan pula menambahkan satu lagi bab untuk cukupkan menjadi 10 bab. Ini kerana ketika itu aku hanya ada 9 bab sahaja.

Disebabkan aku tiada perancangan mahu menutup cerita tersebut, maka aku mati kutu mahu menamatkan cerita itu. Satu bab itu sahaja mengambil aku masa sehingga 7 hari untuk menulis.

Tetapi sebagai hero dalam cerita, aku berjaya juga menulis dan menerima bayaran tunai pada petang itu juga. Seminggu selepas itu hasil tulisan aku diterbitkan secara digital di aplikasi NovelPlus (http://tinyurl.com/zye85be).

Terus terang bahawa aku langsung tidak terfikir tentang bayaran. Aku cuma terharu cerita aku itu dihargai. Itu sahaja :D

Maklumbalas yang diterima membuatkan aku menjadi panjang akal.
Walaupun siapa mereka, aku ucapkan terima kasih seadanya...

Dari situ aku mula terfikir mahu mengolah semula cerita itu menjadi sebuah cerita lengkap — lengkap hingga boleh dibukukan. Aku mula merangka jalan ceritanya dengan skop yang lebih luas. Beberapa watak utama dikekalkan, ada juga diberi nama baru dan juga menambah watak-watak baru.

Sebelum mula menulis, aku sudah menetapkan syarikat penerbitan mana yang aku mahu hantar. Lagipun novel-novel dari syarikat penerbitan tersebut banyak juga yang sudah aku baca. Jadi sedikit sebanyak aku sudah nampak halatuju gaya penerbitan mereka.

Dalam masa 14 hari aku menyiapkan 3 bab pertama manuskrip dengan 7,084 patah perkataan untuk dihantar kepada syarikat penerbitan ehem ehem bagi tujuan penilaian:


Selepas 28 hari dari tarikh emel yang dihatar, aku menerima emel balas dari syarikat penerbitan tersebut:


Emel itu hampir-hampir membuatkan aku hampir menjemput orang-orang surau di kawasan perumahan untuk jamuan kenduri doa selamat selepas Isyak. Walaupun masih belum lulus sepenuhnya, aku masih terasa dihargai oleh pihak penerbit kerana diberi peluang untuk menghantar bab yang berbaki.

Pada 11 November lalu aku sudahpun menghantar manuskrip lengkap kepada syarikat penerbitan tersebut. Hari ini sudah masuk 19 hari dan kebiasaannya hampir sebulan barulah menerima kata putus samada manuskrip itu menepati citarasa penerbit ataupun tidak.

Sedikit ralat, aku tidak dapat menepati syarat-syarat 45,000 - 50,000 patah perkataan untuk karya aku itu. Manuskrip itu hanya mempunyai 38,174 patah perkataan sahaja. Nak buat macam mana? Ceritanya takat itu sahaja. Kalau dipanjang-panjangkan, nanti meleret-leret pulak ceritanya nanti. Daripada mahu bercerita tentang seorang lelaki diceraikan oleh isterinya, langsung meleret menjadi cerita Star Trek.

Tapi aku hantar juga manuskrip itu. Aku mahu melihat pandangan dan komen daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam industri yang aku baru sahaja ceburi. Mereka lebih arif dari aku yang ntahapapa ini. Manalah tahu mungkin mereka dapat memberi cadangan untuk penambahbaikan bagi memantapkan lagi karya aku itu.

Lagipun, ada rezeki tidak ke mana. Aku sudah serahkan sepenuhnya kederat dan kesungguhan sepanjang proses menyiapkan manuskrip yang tidak seberapa itu. Selebihnya aku serahkan kepada Allah seadanya.

Pos selepas ini aku akan bercerita sedikit tentang jalan cerita manuskrip aku itu. Cerita tentang apa, siapa serta mesej yang mahu aku sampaikan.

Aloha!

Err... silap sebut. Aku nak kata Sayonara sebenarnya.

PS: Hah, korang boleh perasan gaya bahasa aku dah macam berita untuk Harian Metro... kah! kah! kah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...