Mukasurat

Ahad, 15 Mei 2011

Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian II)


...Sambungan Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian I)

Percaya atau tidak, sememangnya aku sedang terpacak di hadapan Menara Eiffel. Itulah kenyataannya!

Ketika itu, pelbagai jenis manusia dari serata negara berada di situ; daripada Asia hinggalah ke Latina. Sekali-sekala ada jugak tersempak dengan rakyat Malaysia. Bukan susah pun nak bezakan orang Malaysia dengan Indonesia.

Sedang berjalan, ada di antara penjual cenderahati di tepi-tepi jalan menegur dalam Bahasa Melayu; "Apa khabar? Malaysia?". Aku hanya senyum dan menganggukkan kepala. Ini maknanya, rakyat Malaysia mudah dikenali di mata orang asing.

Di Menara Eiffel, memang ramai sangat orang. Ada yang sedang berjalan-jalan di bawah Menara Eiffel, ada juga yang sedang beratur untuk naik ke atas menara.

Untuk paparan video yang lebih jelas, sila tukar format video di bawah ini kepada HD 1080p:


Eiffel Tower - Suasana di bawah Menara Eiffel.

Eiffel Tower - Pandangan dari sudut terdekat
daripada bawah.

Aku tak rasa yang aku nak turut serta naik ke atas Menara Eiffel. Orang yang beratur pun terlampau ramai; sedangkan aku pula mengejar masa. Aku kat Paris bukan lama mana pun. Jadi, aku perlu pastikan segalanya berjalan lancar. Lagipun, aku sudah pun membayar tiket bas Paris Hop-On Hop-Off untuk 2 hari; iaitu hari ni dan esok.

Eiffel Tower - Di bawah menara Eiffel.

Setelah berlegar-legar selama 1 jam 10 minit, kami berdua kembali semula di mana para penjual cenderahati yang menegur kami tadi. Cadangnya nak beli key chain Menara Eiffel dan magnet peti ais.

Sedang kami memilih cenderahati, tiba-tiba penjual cenderahati tersebut nampak agak kalut, "Faster! Faster! Police is coming.". Ketika itu aku dan isteri aku sedang leka memilih cenderahati yang dilambakkan atas kain rentang di tepi jalan. Dalam hati aku pun membalas, "Peduli apa aku polis nak datang ke, nak pergi ke, aku bukan curi pistol dia."

Sedang aku cukupkan jumlah cenderahati yang aku mahu, tiba-tiba si penjual tersebut menggenggam selonggok cenderahati yang kami asingkan tadi dan menyerahkan kepada isteri aku dan kemudian beliau melarikan diri.

Isteri aku hanya sempat membayar €5 sedangkan jumlah keseluruhannya adalah €9. Belum sempat longgokan cenderahati tersebut dimasukkan ke dalam beg, kami disergah oleh seorang polis Perancis. Isteri aku terkebil-kebil dan aku pula cuba faham apa yang cuba dikatakan oleh polis Perancis itu; walaupun aku tahu akan tak akan faham sepatah perkataan pun.

Sebelum insiden Polis Perancis, kami sempat menikmati
ais krim berharga €7.

Polis itu cakap dalam Bahasa Perancis, manalah aku nak faham. Aku hanya mengangkat bahu sambil memandang beliau. Agaknya polis tu fed up apa yang dia cakap aku langsung tak faham. Jadi, dia cakap dengan isteri aku pulak. Hah! Polis itu silap besar. Isteri aku cakap Bahasa Inggeris pun lintang pukang, lagikan nak faham cakap Perancis.

Seperti biasa, isteri aku terkebil-kebil - memandang aku sambil menggenggam selonggok cenderahati. Polis tu agaknya dah mati akal dan memandang aku semula sambil berkata-kata. Orang disekeliling lalu lalang hanya memerhatikan insiden yang berlaku ke atas kami berdua.

Permandangan sebegini di sekitar Menara Eiffel adalah
normal.

Agaknya polis tu dah letih bercakap dengan orang yang tak akan faham apa yang terjadi sebenarnya. Lalu beliau berlalu pergi.

Sampai ke sudah aku tak faham apa yang polis tu cakap. Aku cuma mengagak, mungkin satu kesalahan membeli pada orang yang menjual cenderahati di luar gerai yang disediakan. Agaknya lah!

Kemudian, seperti tidak ada apa-apa yang terjadi, kami berdua terus ke gerai cenderahati yang lain untuk mencari cenderahati magnet peti ais pulak. Sedang kami memilih cenderahati di dalam kedai tersebut, si penjual yang melarikan diri tadi kembali semula sambil menuntut baki selebihnya iaitu €4. Cis!

Eiffel Tower - Pandangan dari jarak dekat di atas Menara Eiffel.

Jam sudah menunjukkan pukul 4.40 petang. Aku perlu menaiki bas Paris Hop-On Hop-Off secepat mungkin. Kami terus menuju ke tempat perhentian bas yang betul-betul berhadapan dengan Menara Eiffel. Tak sampai 2 minit, bas tersebut tiba dengan penuh bergaya.

Paris Hop-On Hop-Off - Permandangan sekitar Paris ketika
menaiki bas Paris Hop-On Hop-Off.

Tiket bas Paris Hop-On Hop-Off berharga €26 seorang untuk 2 hari. Boleh naik dan turun sesuka hati di mana-mana kawasan utama sekitar Paris. Tak silap aku, tiket ni aku dapat harga murah kerana aku beli sekali pakej keretapi Eurostar dan hotel. Harga keseluruhannya adalah berjumlah £301.80.

Paris Hop-On Hop-Off - Aku tak pasti bangunan apa.
Seperti biasa, asalkan cantik, aku akan mengambil gambar.

Paris Hop-On Hop-Off - Di persimpangan jalan.

Notre Dame de Paris - Aku turun daripada bas Paris
Hop-On Hop-Off sekitar Notre Dame untuk mencari
stesen keretapi Metro.

Di Paris, aku agak sukar memahami sistem pengangkutan keretapi mereka. Papan tanda juga agak mengelirukan. Contohnya di London, lambang keretapi bawah tanah mereka di mana-mana pun sama. Di dalam buku panduan atau peta pun sama lambangnya. Walaupun papan tandanya sejauh 100 meter, anda akan dapat mengenal-pasti ianya adalah stesen Underground.

Di paris pula, tiada lambang Metro seperti di Paris Gare du Nord atau pun dalam peta. Yang ada hanya gerbang besi yang usang dengan tertera nama Metropolitan. Sekiranya anda berada jauh, anda tidak akan perasan ianya adalah stesen yang sama iaitu Metro.

Disebabkan kekeliruan ini, aku sesat hampir 45 minit di sekitar Notre Dame. Setelah tanya seorang negro perempuan di perhentian bas, barulah jumpa stesen Metro berdekatan.

Pasaraya sekitar hotel di tempat aku menginap.

Aku sampai di Jaurés pukul 6.40 petang. Singgah sekejap pasaraya terdekat untuk mencari universal plug untuk cas iPod Touch dan kamera aku. Sambil-sambil tu beli air, roti, cokelat, keju dan strawberry. Jumlah keseluruhannya hampir €22. Universal plug tu yang sebenarnya buat jadi mahal. Dah lah mahal, tersalah beli jenis plug pulak. Hampeh betul!

Malam tu, langsung tak dapat cas bateri kamera dan iPod aku.

PS: Hari ke 2 di paris sangat mengujakan. Berjalan daripada Place de la Concorde hingga ke Arch de Triomphe sejauh 2.13 kilometer. Nantikan sambungannya!

Selasa, 10 Mei 2011

Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian I)


Hari ini 20 April 2011, hari Rabu. Pukul 4.30 pagi aku dah bangun tidur. Kalau waktu Malaysia pula pukul 11.30 pagi. Jadi, tak mustahil aku rasa macam nak pegi kayuh basikal. Mata segar!

Pukul 6 pagi dah cerah. Kereta pun tak banyak lagi
di jalanraya. Keadaan sekeliling pula agak berkabus.

Keadaan bilik sebelum menuju ke Stesen St Pancras.

Pukul 7.20 pagi kami berdua keluar daripada hostel dan menuju ke stesen St. Pancras International. Keluar je pintu utama hostel, sejuknya macam ada 1,715 unit penghawa dingin keliling pinggang. Masa ni aku pakai tshirt je. Saja nak merasa sejuknya puas-puas.

Nampak tak kat belakang tu ada orang tengah naik basikal?
Selamba pakai seluar pendek. Waktu ni suhu dalam 7° selsius.

Sampai je di stesen St. Pancras, aku terus menuju ke stesen keretapi Eurostar. Nasib baik semalam petang selepas balik daripada Baker Street, aku sempat tinjau di mana letaknya Eurostar dalam stesen St. Pancras. Jadi, mudahlah aku pagi-pagi macam ni; terus ke mesin automatik Eurostar untuk mengambil tiket keretapi ke Paris.

Inilah tiket keretapi Eurostar ke Paris. Peta tu pulak adalah
lokasi hotel ketika di Paris nanti.

Keadaan ketika hendak menaiki keretapi Eurostar seakan-akan menaiki kapal terbang. Para penumpang akan melalui pintu keselamatan. Segala beg akan di imbas dan perlu menunjukkan passport kepada pegawai imegresen yang bertugas.

Stesen Eurostar - Sedang menuju ke platfom 18.

Di awal perjalanan, tiada apa yang menarik sangat kerana ada beberapa terowong perlu dilalui. Setiap kali aku hidupkan kamera Nikon CoolPix S8100 untuk mengambil gambar permandangan, masa itulah keretapi akan memasuki terowong. Tiga empat kali macam tu, aku pun fed-up.

Berhenti sekejap di stesen Ebbsfleet International. Mungkin
mengambil atau menurunkan penumpang.

Permandangan seperti ini banyak di sepanjang perjalanan
daripada London ke Paris.

Perjalanan mengambil masa 2 jam 15 minit. Jadi, aku pun tidur sekejap ketika melalui terowong yang agak panjang. Sewaktu melalui terowong tersebut, difahamkan bahawa keretapi sedang merentasi laut menuju ke Perancis.

Dari London sampailah 15 minit nak sampai Paris diorang
berdua macam ni.

Aku terjaga daripada tidur masa ada pengumuman dalam beberapa minit lagi akan sampai Paris. Aku tengok penumpang di hadapan aku masih lagi tidur dengan mulut ternganga. Ini maknanya mereka ternganga sambil tidur selama 2 jam 15 minit!

Sampai sahaja stesen Gare du Nord, Paris, aku terus mencari di mana stesen keretapi Metro. Stesen Gare du Nord sama seperti stesen St. Pancras International - Dan seperti KL Sentral juga. Segala pengangkutan utama berada di sini.

Gare du Nord, Paris. Fungsinya sama seperti KL Sentral kita
kat sini.

Masalah utama pada aku di sini adalah segala jenis papan tanda semuanya dalam bahasa Perancis. Cis! Cis! Cis! Agak menyusahkan aku. Jadi, aku hanya mengagak sahaja setiap kali membaca papan tanda. Percubaan pertama, aku mencari mana-mana perkataan Metro. Ok, jumpa - Tak susah mana!

Aku beli tiket keretapi Metro untuk 2 orang berharga €3.40 dan menuju ke Jaurés. Sampai di Jaurés, aku cuba mencari mana-mana perkataan "Libertel Canal Saint Martin" iaitu nama hotel bakal aku menginap selama 3 hari 2 malam. Papan tanda banyak, tapi langsung takde perkataan yang aku cari.

Pusing kanan, kiri depan, belakang, tak jumpa jugak. Akhirnya, isteri aku tanya dalam kedai berdekatan dan hotel yang aku cari tak jauh daripada situ.

Jalan kurang daripada 5 minit, maka nampaklah hotel "Libertel Canal Saint Martin".

Libertel Canal Saint Martin - Biliknya takde penghawa dingin.
Yang ada hanya kipas.

Ok lah, sekurang-kurangnya ada tv. Segala rancangan habis
dialih bahasa menjadi bahasa Perancis.

Sejam selepas sampai hotel, aku keluar semula dan menuju ke kota Paris. Lokasi pertama adalah La Tour Eiffel; atau dalam bahasa Inggeris nya adalah Eiffel Tower. Dengan menaiki keretapi Metro; daripada stesen Jaurés dan turun di stesen Champ de Mars / Tour Eiffel.

Tu dia. Dah nampak puncak menara Eiffel.

Stesen Metro Champ de Mars / Tour Eiffel memang sangat dekat dengan menara Eiffel. Jalan ke hadapan sedikit dalam 30 meter, dah boleh nampak puncak menara Eiffel.

Dan dalam beberapa minit pula, aku dah terpacak betul-betul depan menara Eiffel.

Betulkah ini menara Eiffel seperti mana dalam filem Jackie Chan - Rush Hour 3? Atau, sekadar poster besar yang direntangkan di hadapan aku konon-kononnya ada geng-geng basikal TRI-PAKU nak mempermainkan perasaan aku?

BERSAMBUNG...

PS: Nantikan cerita seterusnya bagaimana seorang rakyat Malaysia hampir-hampir ditangkap polis Perancis!

Ahad, 8 Mei 2011

Hari Pertama: Sampai Jugak Aku di London


Pada 19 hingga 28 April 2011 baru-baru ni, aku telah berada di Eropah selama 10 hari. Dengan menaiki Airbus milik AirAsia selama 13 jam, selamat sampai lah aku di Lapangan Terbang Stansted, London pukul 8 pagi.

Dua beg galas yang dibawa. Nampak tak bendera Malaysia?

Ketika berada di imigresen lapangan terbang Stansted, aku di soal pelbagai soalan:

  • Ada tiket balik tak?
  • Hotel kat mana?
  • Datang London buat apa?
  • Apa yang aku nak tengok kat London?
  • Stonehenge jauh daripada London. Jadi untuk apa aku nak ke situ?

Lepas menjawab setiap soalan-soalan tersebut, baru Pegawai Imigresen tu cop passport aku dan isteri aku. Oh ye, aku pergi berdua je. Anak-anak tinggal kampung - Sebab budaya eropah tak sesuai dengan anak-anak aku. Ehem!

Kaunter easyBus di Lapangan Terbang Stansted, London.

Masa dia cop passport aku tu, aku ternampak borang Border Pass yang aku isi dalam kapal terbang tadi; nama bapak aku Hassan digaris dengan pen merah oleh Pegawai Imigresen tadi. Oh, baru aku ingat, diorang ni fobia dengan nama Arab - lagi-lagi dengan nama Hassan. Patutlah banyak sangat soalan yang aku kena jawab!

Lepas je melepasi Imigresen tadi, aku terus menuju ke kaunter easyBus (www.easybus.co.uk) untuk mengesahkan tiket yang aku beli online 5 bulan lepas. Harga tiket dua orang hanya ₤8 untuk pergi balik. Itu kalau beli online. Murah kan? Kalau korang beli masa tu jugak kat kaunter, harga sehala untuk seorang adalah ₤10!

Di hadapan Lapangan Terbang Stansted, sedang menunggu
bas easyBus ke London. Cuaca sejuk macam dalam peti ais!

Perjalanan dari Stansted ke London mengambil masa 1 jam 15 minit. Perjalanan tak rasa bosan sangat sebab banyak permandangan yang tak pernah aku tengok sebelum ni. Kalau tengok pun, dalam TV.

Pukul 10.50 pagi sampai di Baker Street, London dan terus menuju ke stesen keretapi bawah tanah Baker Street. Jarak daripada perhentian bas tadi ke stesen keretapi bawah tanah Baker Street adalah 100 meter. Tak jauh sangat.

Salah satu bas yang ada di London.

Banggunan apa pun aku tak tau. Nampak cantik, aku ambik
je le gambar.

Ini le rupanya stesen keretapi bawah tanah London.

Setiba di stesen tersebut, aku terus beratur di kaunter tiket untuk membeli 'Travel Pass: Zone 1 & 2'. Tiket jenis ini kita boleh pakai daripada pagi sampai tengah malam dan boleh memasuki zon 1 dan 2 sahaja. Zon tersebut sudah pun cukup merangkumi bahagian utama kota London. Harganya pula adalah ₤6.60 seorang. Apabila waktu puncak, harganya boleh mencecah ₤8.00 seorang.

Beginilah keadaannya ketika melepasi mesin tiket tersebut.
Cara penggunaannya sama seperti di LRT Star atau Putra.

Ini bahagian dalam stesen keretapi bawah tanah Baker Street.
Nampak klasik.

Daripada Baker Street, aku menghala ke Stesen King's Cross. Stesen ini berhubung sekali dengan stesen terbesar iaitu Stesen St. Pancras International. Kalau kita kat sini boleh disamakan dengan KL Sentral lah.

St. Pancras International. Stesen keretapi bawah tanah
King's Cross pula di sebelah kanannya.

Hostel yang aku sewa betul-betul terletak berdekatan dengan Stesen St. Pancras International. Ianya terletak seberang jalan dan menghadap British Library. Nama hostel tersebut adalah St Pancras YHA London Hostel. Kadar sewa satu malam keseluruhannya adalah ₤62.70.

Selepas letak segala beg yang membebankan dan mandi di hostel tersebut, kami berdua keluar dan menuju ke Baker Street semula. Baker Street agak menarik kerana ianya berhampiran dengan Madame Tussaud, London Beatles Store, Its Only Rock 'n' Roll Store dan The Sherlock Holmes Museum.

Seterusnya, kami berdua mencari kedai pakaian yang murah di Baker Street dan terjumpa kedai sukan SportsDirect.com. Sangat murah dan sangat berbaloi.

Semuanya adalah ₤13.00. Tak berani nak shopping
banyak-banyak sebab baru hari pertama.

Ini baru hari pertama. Esok kami perlu bergegas ke Paris pula dan akan berada di sana selama 3 hari 2 malam. Jadi, kami perlu pastikan jam dah tarikh sudah ditukar mengikut waktu London.

Risau jugak kalau terlepas keretapi Eurostar. Segala tambang tiket keretapi, penginapan dan bas Paris Hop-On Hop-Off dah pun bayar secara online dua bulan lepas. Bayangkan segalanya musnah disebabkan terlajak tidur. Boleh jahanam percutian aku!

Oklah, pos akan datang aku akan cerita pengalaman hari ke dua aku iaitu di kota Paris pula. Jadi, tungguuuuuu...!

PS: Dalam waktu terdekat ni akan ada banyak cerita tentang London dan Paris. Sementara waktu ni, aku mahu berehat daripada cerita tentang basikal :D

Khamis, 14 April 2011

Aktiviti Setiap Pagi Kontraktor Indonesia dan Bangladesh di Putrajaya


Setiap pagi aku keluar rumah untuk ke pejabat, akan ada ramai pekerja kontraktor Indonesia atau Bangladesh sedang menunggang basikal. Dengan berbekalkan bekalan makanan, botol coke saiz besar yang berisi air masak, kasut boot dan helmet keselamatan warna kuning, mereka akan mengayuh basikal menuju ke tapak pembinaan.

Aku tak sempat mengambil gambar sekumpulan kontraktor
yang ramai tadi. Yang ada cuma saki bakinya sahaja.

Biasanya mereka akan bergerak secara berkumpulan; seakan-akan pelaton. Cuma yang bezanya, kayuhan yang perlahan sambil menghisap rokok kretek.

Setiap pagi, ini lah senaman yang popular di kalangan pekerja
kontraktor dari Indonesia dan Bangladesh.

Sepanjang pengamatan aku selama ni, aku tak pernah nampak diorang mengayuh basikal ketika mendaki bukit ini. Memang aku akui, bukit ni agak tinggi.

Aku ingat lagi masa mula-mula aku kayuh basikal, bukit inilah aku terpaksa tempuh. Jarak dari rumah aku hingga ke jalan besar; iaitu penamat bukit tersebut hanyalah sejauh 1 kilometer. Takde lah jauh sangat. Tapi, penatnya macam lepas bertumbuk dengan Mike Tyson.

Kalau korang tak percaya, ni buktinya. Sampai bukak helmet
tau!

Jadi, aku faham bagaimana perasaan mereka dan azabnya diorang ketika menolak basikal. Keadaannya mungkin lebih teruk daripada mengadap Pengarah SPRM!

Seteruk mana tinggi bukit keliling rumah aku, bukit-bukit inilah tempat aku berlatih mendaki bukit ketika mengayuh basikal. Dahulunya, apa sahaja bukit memang aku agak gerun dan sebolehnya mencari jalan lain yang tiada bukit. Sekarang ini apa jua bukit aku anggapkan ianya satu cabaran.

Tetapi, bukan bukit Limau Manis, Kajang - Bukit ini boleh menjahanamkam lutut aku!

PS: Dalam 3 minggu ni, aku akan kurang mengemaskini blog ini kerana akan berada di luar liputan Celcom, Maxis, Digi, RTM atau TV3. Kalau ada masa dan internet, aku akan cuba kemaskinikan pengalaman aku di tempat asing.

Ahad, 10 April 2011

Kayuhan Santai Sejauh 54 km di Pagi Ahad


Ya, betul. Kayuhan di pagi Ahad sejauh 54 km. Dengan lebih tepat lagi, kayuhan santai sejauh 54.34 km dengan purata kelajuan kayuhan 24.2 km/j selama 2 jam 14 minit melalui jalan Putrajaya - Cyberjaya - Masjid Putra - PICC.

Hari ini aku kayuh bersama pemilik basikal Specialized S-Works
ini, iaitu Iskandar.

Pada hari ni, ada yang membuat kayuhan ratusan kilometer ke Bagan Lalang. Ada juga yang membuat kayuhan hampir-hampir ratusan kilometer ke Bukit Perez, Hulu Langat - Bermula daripada kedai basikal Jami, Kajang. Tetapi, untuk sementara waktu ini, aku memilih laluan yang tenang dan kayuhan yang santai dengan purata kelajuan sederhana.

Bukan apa, aku tak berani mengambil risiko menanggung kecederaan lutut dalam waktu terdekat ini.

Pemilik basikal BMC kuning patutnya kayuh dengan aku hari
ni. Tapi cancel last minit.

Oh ye, semalam aku ke kedai basikal Jami, Kajang. Cadangnya nak beli roda berprofil tinggi iaitu jenama Reynolds. Harga agak mahal iaitu RM3800. Jadi, aku batalkan niat aku sehingga hujung bulan ini. Setidak-tidaknya aku ada masa untuk memikirkan jenis apa yang dalam kemampuan aku untuk membeli secara tunai.

Samada jenama Reynolds Assault T 46mm yang berharga RM3800. Atau, Dura Ace C50 yang berharga RM2400. Logiknya, dalam kemampuan aku adalah harga yang RM2400 itulah! Tengoklah macam mana nanti...

Reynolds Assault T 46mm berharga RM3800.
Harga agak mahal. Untuk memilikinya, tunggu
keajaiban berlaku ke atas aku dulu!

Dura Ace C50 berharga RM2400. Setakat ini, ianya dalam
kemampuan aku.

Berbalik kepada cerita kayuhan pagi tadi. Kayuhan hari ini boleh dikatakan santai. Tidak terlampau laju atau perlahan. Sekali-sekala kayuhan seperti ini agak seronok juga, tanpa tekanan atau keletihan maksima.

PS: Sebulan sekali membuat kayuhan seperti tadi, ok jugak!

Khamis, 7 April 2011

eBay: Buku Chasing Lance - Lance Armstrong Bio 2005 Tour de France Ullrich


Semalam aku mengambil sedikit masa melayari internet untuk mencari maklumat mengenai seorang lagenda basikal iaitu Lance Armstrong. Segalanya bermula selepas aku menonton satu klip video yang rakan aku pos di Facebook iaitu "Lance Armstrong vs Marco Pantani Tour de France 2000".


Selepas itu, aku masuk laman web Wikipedia untuk membaca biografi beliau. Anda juga boleh ke sini untuk membacanya: http://en.wikipedia.org/wiki/Lance_Armstrong.

Pada tahun 2002, tak pakai helmet masa perlumbaan pun takpe.
Takde sapa pun nak marah.

Kemudian, aku masuk eBay dan cuba mencari buku-buku Lance Armstrong. Nah, melambak-lambak buku, poster dan macam-macam material ada tersenarai!

Aku terjumpa satu buku yang bertajuk "Chasing Lance - Lance Armstrong Bio 2005 Tour de France Ullrich" yang harganya USD12.99. Di situ ada butang Make Offer dan laju je aku klik butang tersebut dan membuat tawaran USD10 untuk harga buku tu.

Dengan harapan, penjual buku tersebut setuju dengan tawaran USD10 yang aku minta.

Chasing Lance - Lance Armstrong Bio 2005 Tour de France
Ullrich. Harga: USD10

Dan, pagi tadi aku menerima emel mengatakan penjual buku tersebut bersetuju untuk menerima tawaran aku. Hah, ini berita sangat bagus untuk memulakan kehidupan pada pagi ini! Aku terus klik butang Buy Now dan membuat bayaran USD10 untuk harga buku dan USD13.95 untuk kos penghantaran.

Jadi, jumlah keseluruhannya adalah USD23.95 iaitu bersamaan RM72.44. Boleh tahan juga murahnya berbanding harga asal yang boleh mencecah ratusan ringgit Malaysia.

Tambahan pula, kulit bukunya jenis tebal (hard cover) dan mempunyai 240 muka surat. Ini bermaksud, satu helai muka surat berharga 30 sen. Murah lah tu! Zaman sekarang ni dengan 30 sen, apa sangat lah yang kita boleh dapat. Masuk tandas kat Bagan Lalang pun 60 sen tau!

Oh ye, kemungkinan selepas ini aku akan membeli buku tentang seorang lagi lagenda iaitu Marco Pantani pulak.

PS: Aku ada bercadang untuk membeli spek mata Oakley Livestrong Jawbone. Tapi, mahal lah pulak! Tengoklah macam mana nanti...

Selasa, 5 April 2011

Kayuhan TRI PAKU: Tempat Berkumpul Setiap Rabu & Jumaat di Putrajaya


Kepada mereka yang teringin sangat nak turut serta kumpulan pengayuh tegar sekitar Putrajaya setiap Rabu dan Jumaat, pukul 9.00 malam, sila berkumpul di Information Centre, Putrajaya.

Sila lihat peta di bawah untuk lokasi perhimpunan ritual sebelum kayuhan bermula:


View Information Centre in a larger map

Kalau masih lagi tak faham di mana kedudukan Information Centre, anda juga boleh ke Masjid Putra; Betul-betul mengadap pintu masjid. Kemungkinan di situ ada ramai kumpulan basikal. Tetapi, cuba bertanya adakah mereka pengikut kumpulan TRI PAKU. Jika jawapannya "YA" - Tahniah, anda sedang menuju kepantasan maksima pada malam itu!

Sekali lagi untuk keterangan lebih lanjut:

Lokasi berkumpul: Information Centre, Putrajaya (Kawasan Pakir Kereta)
Waktu berkumpul: 9.00 malam
Waktu mula kayuhan: 9.25 malam tepat.
Laluan: Masjid Putra - PICC - Bukit Alamanda - Cyberjaya - PICC - Masjid Putra
Jarak perjalanan: 42 kilometer
Jenis Basikal: Road Bike atau Mountain Bike
Keselamatan: Helmet, lampu dan keadaan basikal yang baik

Itu sahaja. Mudah kan? Selebihnya, serahkan pada kaki anda untuk jalankan tanggungjawab pada malam itu. Jumpa di sana!

PS: Bawak air secukupnya. Kalau tak, terbayang-bayang limau ais ketika sedang berkayuh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...