Mukasurat

Selasa, 18 Oktober 2011

Larian 10K di Putrajaya Night Marathon 2011


Selepas Maghrib pada Sabtu, 15hb Oktober lepas, aku terus bersiap-siap hendak ke Putrajaya Night Marathon 2011 yang dianjurkan oleh BSN. Jarak antara rumah aku ke kawasan bermulanya marathon adalah 4.3 km.

Race Kit sampai ke tangan aku seminggu sebelum
Putrajaya Night Marathon.

Inilah apa yang ada dalam race kit Putrajaya Night Marathon.

Jadi, aku bercadang untuk ke sana hanya berjalan kaki sahaja. Aku tak mahu pening kepala mencari tempat pakir kereta. Lagipun, laluan utama nak ke sana kebanyakannya ditutup untuk acara marathon tu nanti.

Tepat jam 7.45 malam selepas membuat sedikit regangan berpandukan video di YouTube, aku terus keluar rumah.



Ketika sedang berjalan dengan keadaan kelam kabut sekitar PICC, ada seorang pakcik yang sedang memandu kereta Perodua Kelisa ajak tumpang keretanya. Pada awalnya, nak je aku menolak sebab aku memang sengaja berjalan kaki disamping untuk memanaskan badan.

Tapi, aku tak sanggup nak menolak pelawaannya kerana dengan muka yang ceria dia berkata, "Saya pun nak ke sana untuk marathon!". Aku pun terus masuk ke dalam kereta dan beliau memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ya dari Pulau Pinang. Aku anggarkan umurnya sekitar 50 tahun keatas.

Tiba-tiba aku terfikir, kalaulah Pak Ya sebenarnya nak menculik aku, habislah acara marathon tu nanti. Aku memang begini, imaginasi adakalanya melampaui batas!

Tapi, aku selamat sampai di Palace of Justice, Putrajaya di mana akan bermulanya acara 5K, 10K, 21K dan 42K sebentar lagi. Alhamdulillah, tiada apa perkara buruk yang terjadi sepanjang perjalanan bersama Pak Ya.

Setibanya aku di sana, sudah ramai yang ada di situ. Ye lah, lagi 20 minit kategori 21K akan berlangsung dan kategori 42K pula baru sahaja berlepas.

Palace of Justice - Kategori 42K baru sahaja lepas.

Palace of Justice - Kategori 21K sedang bersiap sedia.

Selepas kategori 21K berlangsung, aku terus menunggu untuk kategori 10K pula. Oh ye, lupa pulak aku nak bagitau yang aku sebenarnya masuk kategori 10K.

Palace of Justice - Kategori 10K sedang bersiap sedia.

Palace of Justice - Aku pulak turut serta di dalam kelompok
ini dan menunggu masa untuk berlari.

Dipendekkan cerita, aku tamatkan larian sejauh 10 km dalam masa 1 jam 5 minit 30 saat. Sepanjang 5 km pertama, aku masih lagi dapat kekalkan kelajuan 5:15 per km. Tapi, bila masuk 6 km, larian aku mula perlahan.

Larian aku jadi lebih perlahan lagi bila ada awek omputih memotong aku lagi 3 km terakhir dengan selambanya dan kemudiannya hilang dicelah-celah peserta lain. Stress betul!

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, masih ada lagi
peserta 10K baru tiba di garisan penamat.

Garisan penamat kategori 21K dan 42K.

Secara rasminya, aku gagal lakukan catatan peribadi bawah 60 minit bagi kategori 10K - Walaupun Nike Sportband merekodkan masa aku 57 minit 30 saat. Ini sangat mengecewakan aku!

Sesetengah orang memandang perkara sebegini dengan mudah. Tetapi, tidak pada aku. Aku mahu suatu hari nanti apabila anak aku bertanya, "Ayah lari 10 km berapa minit?" dan takkan aku nak jawap, "Ayah lari 1 jam 05 minit".

Jadi, aku anggapkan jawapan sebegitu tidak memberi motivasi yang baik kepada anak aku suatu hari nanti; Sedangkan jawapan yang sepatutnya, "Ayah berjaya lakukan 45 minit!".

Ini adalah untuk anak aku lihat apabila tiba di rumah nanti.

Tapi, tak mengapa... Biarkan sahaja aku melayan emosi yang terganggu ini. Dan, anda sepatutnya lihat video bagi kategori 21K dan 42K di bawah:


PS: Siapakah awek omputih yang berjaya memotong aku tanpa kasihan itu? Ini adalah kali ke 2 aku tersempak beliau di dalam kelompok marathon-marathon di Putrajaya. Arghhhhh!!!

Sabtu, 15 Oktober 2011

Temuramah: Triathlete Muda yang Serius


Pahlawan Basikal: Assalamualaikum Fariz. Lama tak nampak kau kayuh sekarang. Ada "secret training"ke?
Fariz Atraz: Waalaikumussalam. Tak ada lah! Aku tengah sibuk dengan jemputan kenduri kahwin. Maklumlah, cuti sekolah lah katakan. Ni pun kejap lagi ada lagi jemputan kenduri kahwin.

Pahlawan Basikal: Oklah Fariz, kita mulakan sesi temuduga terbuka kita ni sebelum kau pergi kenduri kahwin kejap lagi.
Fariz Atraz: Okey.

Pahlawan Basikal: Boleh kau ceritakan tentang siapakah kau dan apa matlamat kau dalam bidang yang diceburi sekarang ini?
Fariz Atraz: Okey, nama aku Fariz Atraz Fauzi dan berumur 21 tahun. Aku terjebak dengan bidang sukan Triathlon ni sejak berumur 17 tahun. Ketika itu, aku lebih kepada sebagai perenang relay Kumpulan Maktab Tentera. Setahun selepas itu pula, aku mula melakukan sukan Triathlon secara individu.

Fariz Atraz, ketika latihan.

Triathlon adalah sukan yang aku paling minati. Sebabnya, tak semua orang mampu berenang, berbasikal dan berlari jarak jauh dalam satu masa.

Seiring dengan itu, aku sudah pun menetapkan matlamat aku untuk terus mendapat keputusan yang terbaik bagi setiap kejohanan Triathlon yang disertai.

Oh ye, aku baru je menamatkan pengajian aku di Utara tanah air dan masih menunggu peluang pekerjaan.

Pahlawan Basikal: Jadi, sejak bila kau mula berbasikal?
Fariz Atraz: Pada tahun 2006 sewaktu menjadi pelapis kepada pasukan Triathlon Maktab Tentera Diraja sebagai perenang, ibu bapa aku menghadiahkan aku basikal Fuji sebagai dorongan agar aku dapat pergi lebih jauh dalam bidang yg aku minati.

Memandangkan aku ketika itu berada di dalam sekolah tentera, jarang sekali dapat berbasikal. Ini kerana jadual yang terlalu padat dan penuh dengan aktiviti ketenteraan.



Minat dalam renang juga masih kuat ketika itu. Jadi, aku lebih fokuskan kepada renang memandangkan bidang ini memerlukan stamina, latihan khusus dan disiplin yang tinggi.

Lepas habis pengajian dari Maktab Tentera, barulah aku mula fokus kepada basikal pula. Antara laluan kegemaran sebagai latihan aku adalah dari Kuala Lipis ke Raub, Pahang.

Pahlawan Basikal: Aku percaya yang sekarang ini kau mesti ada lebih daripada 1 basikal. Boleh kau ceritakan tentang basikal-basikal kau tu?
Fariz Atraz: Pandailah kau! Aku ada satu basikal je tau. Aku cuma ada basikal Giant model Aero yg dibeli pada tahun 2008. Basikal ni banyak membantu aku ketika drafting dan juga berfungsi lebih baik ketika kayuhan secara solo. Ini kerana bingkainya berbentuk aero dan sesuai dengan namanya.

Dan satu lagi, berat bingkai basikal ini sangat membantu aku kerana berat badan aku sekitar 60 kg. Jadi, momentum basikal itu seiring dengan berat badan aku dan menjadikannya satu kelebihan.

Pahlawan Basikal: Macam mana pulak perlumbaan yang kau pernah sertai? Boleh kongsikan pengalaman terbaik dan terburuk kau dengan pembaca blog aku?
Fariz Atraz: Bolehhhh... Aku mulakan pengalaman terburuk aku dulu. Ianya terjadi ketika di ATM Triathlon 2011 dimana aku hanya dapat menamatkan perlumbaan selama 03 jam 06 minit 42 saat. Ini adalah Triathlon yang pertama sejak 2 tahun lamanya aku berehat kerana menyambung pelajaran.

Pahlawan Basikal: Ohhhh, okey, okey. Pengalaman terbaik kau pulak macam mana?
Fariz Atraz: Ini adalah pencapaian terbaik aku setakat ini. Aku dapat habiskan perlumbaan dengan catatan masa 02 jam 21 minit 03 saat ketika PD Triathlon 2011.

PD Triathlon 2011 - Selesai acara berenang.

PD Triathlon 2011 - Acara berbasikal.

PD Triathlon 2011 - Sebelum menamatkan perlumbaan.

Pahlawan Basikal: Agak jauh bezanya pencapaian kau ketika ATM Triathlon 2011.
Fariz Atraz: Ya. Ini kerana aku sudah bersedia 100% untuk perlumbaan ini; Sebulan sebelum tiba di hari perlumbaan, aku banyak membuat latihan dengan mereka yang berpengalaman dalam Triathlon.

Pahlawan Basikal: Ini kerja berat dan kau kena fokus sepenuhnya setiap latihan kau buat. Jadi, macam mana kau boleh laksanakan latihan tanpa mengganggu tugas harian?
Fariz Atraz: Memandangkan aku ni seorang penganggur dan masih lagi mencari kerja, jadi aku ada banyak masa untuk berlatih. Latihan dimulakan waktu awal pagi dengan berbasikal, petangnya pula berlari dan disebelah malamnya aku membuat latihan berenang.

Aku hanya berehat pada hari Sabtu dan Isnin je. Hanya waktu ini lah aku dapat mengorat awek-awek di sekitar Bangi.

Pahlawan Basikal: Jadi, bila masanya kau cari kerja?
Fariz Atraz: A’ah lah. Aku pun tak perasan pasal ni!

Pahlawan Basikal: Bagaimana dengan kumpulan basikal yang kau sertai? Ceritakan tentang kumpulan basikal kau tu.
Fariz Atraz: Tak lain dan tak bukan, Team Tri Paku. Ini adalah jalan pintas kepada sesiapa yang ingin berlatih meningkatkan kelajuan semaksima mungkin. Ini secara tak langsung dapat menguatkan kaki kerana trek kayuhan mereka agak jauh juga iaitu sekitar 50 km.

Perlumbaan yang pertama di bawah Team Tri Paku.

Pasukan ini juga mempunyai ramai pelumba yang kerap melakukan serangan (attack) dan ini membolehkan seseorang itu dapat membuat latihan interval sekiranya dapat bersaing dengan mereka.

Pahlawan Basikal: Ya, tentang ini aku setuju kerana aku pun mempunyai pengalaman yang sama. Aku ingat lagi masa...
Fariz Atraz: Kau cerita lain harilah - Inikan sesi temuramah aku!

Pahlawan Basikal: Ermmm, betul juga. Ok tak apa, soalan seterusnya...
Fariz Atraz: Eh, boleh tunggu kejap tak? Aku nak...

Pahlawan Basikal: Ahhh, kau jangan nak buat trik ni. Aku tau dah trik jenis ni; kau nak pegi bancuh Milo kan?
Fariz Atraz: Eh, mana kau tau trik ni?

Pahlawan Basikal: Aku dah kena dengan temuramah lepas. Buktinya ada disini: Temuramah: Bersama Ironman Muda
Fariz Atraz: Cisss, Fadhli Khairon dah curi trik aku dulu!

Pahlawan Basikal: Tak apa lah, benda dah pun terjadi. Usah dikenangkan lagi. Aku teruskan soalan seterusnya; Apakah perkara yang boleh memberikan motivasi kepada kau dalam aktiviti sukan Triathlon?
Fariz Atraz: Sememangnya cara terbaik untuk memotivasikan diri adalah dengan mencontohi orang yang paling berjaya dalam sesuatu bidang dan jadikan beliau sebagai idola. Seperti aku, Javier Gomez merupakan salah seorang atlet Triathlon yang sentiasa aku ikuti perkembangannya.

Menonton video pertandingan Triathlon di YouTube juga dapat membantu mengembalikan semangat aku yang adakalanya luntur.

Pahlawan Basikal: Sekiranya berpeluang, di manakah dalam dunia ini kau ingin mengayuh basikal?
Fariz Atraz: Sudah tentu di Perancis dan Sepanyol - Tempat perlumbaan berbasikal paling berprestij di dunia!

Pahlawan Basikal: Sebut tentang Perancis, aku pernah ke Arc de Triomphe di mana peringkat terakhir Le Tour de France dilangsungkan. Kau nak tengok gambar aku? Ni dia:

Arc de Triomphe, Perancis.

Fariz Atraz: Kau ni eksyen sungguh! Ini kan sesi temuramah aku. Bagilah aku yang eksyen dalam ruangan ni!

Pahlawan Basikal: Aku cuma nak beri kau semangat je. Ok, ok... Soalan seterusnya, disamping berbasikal, kau juga seorang pelari. Ceritakan serba sedikit tentang larian dan pengalaman kau sendiri.
Fariz Atraz: Dalam larian ni, aku mempunyai disiplin yang lemah. Awal tahun ni, aku baru je mulakan latihan dengan Team Adination of Runners Putrajaya. Merekalah yang banyak beri tunjuk ajar dalam teknik-teknik dan latihan yang betul. Larian biasa sahaja tak mampu mempercepatkan langkah ketika berlari.

Pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah apabila dapat menamatkan acara Full Marathon di Standard Chartered KL Marathon 2011. Seminggu sebelum pertandingan, hati aku memang gabra semacam memandangkan larian ini sangat jauh dan tidak penah terfikir untuk melakukannya sebelum ini.

Standard Chartered KL Marathon 2011 - Sebelum acara
marathon bermula.

Lagipun, memang aku tak pernah memasuki mana-mana pertandingan Full Marathon sebelum ni.

Oh ye, aku berjaya menamatkan larian sejauh 42 km selama 04 jam 43 minit 29 saat.

Pahlawan Basikal: Apa harapan kau kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain terhadap penunggang basikal dan pelari?
Fariz Atraz: Kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain janganlah mengunakan jalanraya ini sebagai tempat perlumbaan haram dan tempat menunjukan skil yang merbahaya. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu itu sendiri malah pengguna lain seperti penunggang basikal dan pelari.

Pahlawan Basikal: Soalan terakhir yang sedikit terkeluar tajuknya, apa pendapat kau tentang Lisa Surihani?
Fariz Atraz: Memandangkan dia sudah berpunya, maka tidak ada apa yang kita semua boleh lakukan. (Jawapan ini jawapan asli daripada beliau tanpa disunting)

Pahlawan Basikal: Kah kah kah, jawapan kau kelakar!
Fariz Atraz: Kau jangan gelakkan aku!

Fariz Atraz Fauzi bangun dari kerusi, melangkah lima tapak ke arah Barat Daya dan berpaling ke arah aku sambil berkata:

“Kita beradu tenaga malam Jumaat ini seperti biasa!”

Dan, beliau melangkah pergi dengan penuh aksi seperti dalam filem-filem Hollywood karya Michael Bay.

PS: Agak stress juga temuramah kali ini. Almaklumlah, beliau bekas pelajar Maktab Tentera Diraja.

Ahad, 25 September 2011

Kisah Sedih dalam Gembira - Selamat Tinggal BMC SSX Streetfire


Hari Khamis baru-baru ni, aku dapat sa-biji bingkai basikal baru yang berjenama Scott model Addict R3 yang dikeluarkan pada tahun 2010. Jadi, secara rasminya inilah basikal karbon penuh pertama aku.

Bingkai Scott Addict R3 2010.

Semalam, aku pergi ke Rodalink Putrajaya untuk memasang basikal baru ni. Komponen-komponen basikal BMC aku pindahkan ke bingkai Scott. Proses ini dijayakan oleh Lee, iaitu seorang mekanik bertauliah dari Rodalink. Sesiapa yang tak kenal siapa beliau, sila ke sini.

BMC SSX Streetfire 2009 dalam kenangan.

Selamat datang ke dalam hidup aku!

Proses pemasangan mengambil masa selama 3 jam 30 minit dan aku sedikit pun tak bosan apabila berada di dalam kedai basikal.

Rodalink Putrajaya - BMC aku sudah berjaya dibogelkan
tanpa belas kasihan.

Rodalink Putrajaya - Lee sedang melakukan ritual tanpa
sebarang Keminyan Bunian; hanya spana sahaja sudah
mencukupi.

Setelah segalanya sempurna terpasang, aku pun buat kayuhan percubaan sejauh 1 km di luar Rodalink Putrajaya dan ketika kayuhan berlangsung, terasa janggal pulak dengan bingkai Scott ni. Geometri basikal ini 99% sama seperti basikal BMC aku - agak mustahil aku rasa bingkai ni kecik.

Pagi ini hari Ahad, aku cuba lagi untuk melakukan kayuhan dengan berpakaian lengkap seperti biasa. Sedikit malang kerana hari ini agak berjerebu dengan IPU nya mencecah 60* (Sila rujuk laman ini). Dengan memakai penutup hidung, aku teruskan pendakian bukit PICC.

Hanya sempat melakukan satu pusingan, hujan turun dengan lebatnya. Setelah reda, aku pulang ke rumah untuk mengubah kedudukan seat post yang sedikit tinggi sebelum ini.

PICC - Aku terpaksa berteduh di pintu masuk PICC.

PICC - Hujan ini satu rahmat kerana melenyapkan
sekurang-kurangnya 40% jerebu buatan Sumatera,
Indonesia.

Setelah hujan berhenti, aku menyambung kembali kayuhan yang belum selesai. Ketika ini barulah aku rasakan segalanya hampir sempurna - Geometrinya sama seperti basikal BMC aku. Cuma, stem bersaiz 120 mm yang aku pakai sekarang ini sedikit panjang - Aku perlu menukarkannya kepada 110 mm barangkali untuk mengelakkan lenguh-lenguh bahu ketika sedang mengayuh basikal.

Putrajaya - Pandangan dari puncak PICC. Di waktu ini, jerebu
dan kabus bergabung tenaga.

PICC - Agak lemas jugak le ketika sedang mendaki bukit.
Tapi, apa nak buat; jerebu memang menyusahkan.

Selepas hujan yang agak lebat sebentar tadi, aku dapat rasakan jerebu sangat berkurangan. Oh, terima kasih Tuhan!

PS: Berat basikal Scott Addict R3 aku sekarang ni 8.3 kg. Sekiranya aku dapat set roda Cosmic Carbone SLR, Look KéO 2 Max dan Dura Ace Crank, berkemungkinan besar boleh turun kepada 7.9 kg.

PPS: Mengapa negara jiran kita yang satu ni tak bosan-bosan membakar hutan? Tension betul aku!

Khamis, 22 September 2011

Hari Pertama di Kota Bangkok


Dalam bulan September ni, aku rasa sibuknya dah serupa Menteri Luar yang berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra. Dengan jemputan-jemputan rumah terbuka, aktiviti riadah berbasikal dan larian, serta lawatan diplomatik ke Bangkok, Thailand selama 4 hari 3 malam.

Jerebu yang agak teruk juga satu hal - Sakit tekak, selsema, batuk dan demam terjadi serentak. Seminggu jugaklah aku tak dapat nak kayuh basikal dan berlari.

Dalam tak berapa sihat tu jugak aku ke Bangkok, Thailand yang dianjurkan oleh syarikat aku kerja pada 15 September 2011 lalu. Kalau tak silap aku, seramai 80 orang jugaklah turut serta lawatan diplomatik ni; Dan, kesemuanya terdiri daripada rakan-rakan sepejabat aku dan pasangan masing-masing.

KLIA - Sedang menunggu bording pass di kaunter bagasi.

Bording Pass ke Bangkok, Thailand.

EgyptAir - Di dalam kapal terbang orang Mesir.

Tepat jam 10.40 malam, EgyptAir pun berlepas dan tiba di Suvarnabhumi Airport, Bangkok pada jam 11.30 malam waktu Bangkok.

Sepanjang perjalanan dengan menaiki EgyptAir - Boeing 777-300, krew kabinnya sangat tak ramah. Muka jenis tak nak senyum dan tingkah-laku yang kasar. Cakap pun eksyen. Ajak lumba basikal baru tau!

EgyptAir - Pompuan ni langsung tak senyum. Pengikut
Hosni Mubarak agaknya.

EgyptAir - Makanan dalam EgyptAir ni takde lah sedap
sangat. Tapi, aku bedal sampai licin - Lapar punya pasal!

Setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, bas sudah pun sedia menunggu untuk membawa kami semua ke The Dynasty Bangkok Hotel yang bakal kami semua menginap. Hotel tersebut terletak di Ramkhamhaeng. Perjalanannya dari Lapangan Terbang (A) ke Hotel (B) mengambil masa 29 minit sejauh 22.3 km:


Suvarnabhumi - Di dalam Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Suvarnabhumi - Berkumpul dahulu sebelum menaiki bas.

Sampai di hotel pada pukul 12.20 pagi dan terus check-in bilik. Aku tak ambik gambar bilik hotel sebab pada aku bilik hotelnya tak menarik langsung.

The Dynasty Hotel Bangkok - Sedang mencari bilik
masing-masing.

Lepas je letak barang dalam bilik, kami yang terdiri beberapa orang mencari 7 Eleven di sekitar hotel. Kalau korang nak tau, kat Bangkok ada banyak kedai 7 Eleven. Jadi, senang nak membeli barang keperluan seperti sabun dan shampu. Murah pun murah; Contohnya seperti barang-barang kat bawah ni:

Duit Malaysia dalam RM5.50 je.

Kad Sim Happy ni pulak hanya 49 Baht dan top-up nya pulak
100 Baht. Jumlahnya RM15 je.

Aku boleh katakan untuk membeli barang keperluan harian adalah sangat murah. Silap-silap hotel yang aku duduk sekarang ni pun aku beli cash kejap lagi!

Hari Pertama di Bangkok
Aku memang jenis bangun awal - Kat mana-mana negara sekali pun, tepat jam 6 pagi aku dah bangun. Bukak je tingkap, hari dah cerah. Ye lah, kalau kat Malaysia dah pukul 7 pagi. Jadi, kalut jugak le aku sebab takut terlepas solat Subuh.

The Dynasty Bangkok Hotel - Pandangan dari bilik aku.
Waktu ni jam 7 pagi.

Pukul 8.15 pagi, aku dan dua rakan aku yang lain turun ke tingkat bawah untuk sarapan. Seumur hidup aku, aku tak pernah makan makanan orang Thai. Tomyam tu biasalah sebab bersepah kat Malaysia. Cuma itu bukan masakan asli Thai.

Sebaik tiba di Garden Glass Restaurant di tingkat bawah sekali, aku agak hampa. Masakan yang dihidangkan kurang menarik. Jadi, aku pun mengambil sarapan yang ala kadar sahaja.

Aku difahamkan hotel ini ada menyediakan jenis masakan Thai, Cina dan Barat. Pada ketika itu, aku tak pasti jenis masakan apa yang dihidangkan. Apa yang pasti, segalanya bukan selera aku.

Garden Glass Restaurant - Ini aje yang aku balun.

Dalam tak berapa sedap tu, sedar-sedar dua round jugak le aku belasah. 1st round aku makan dalam restoran dan 2nd round pulak makan kat luar restoran. Syok jugak lepak sambil makan kat luar; boleh nampak bumbung bot dan bunyi percikan air sungai kat belakang hotel.


Suasana sekitarnya boleh aku katakan menarik. Ye lah, kat Putrajaya mana ada permandangan macam ni. Biasanya aku tengok dalam filem je. Bila ada depan mata, feel-nya lain macam tau. Cuma yang tak bestnya, bila angin bertiup kuat, ada bau yang tak best.

Ramkhamhaeng - Sungainya berombak kuat. Baunya jangan
cakaplah.

Ramkhamhaeng - Kelihatan bot lalu lalang di sepanjang
sungai.

Ramkhamhaeng - Untuk ke Bangkok, menaiki bot adalah cara
yang paling pantas.

Aku dan dua orang lagi rakan aku iaitu Nas dan Amir sememangnya tak ada apa-apa rancangan; hanya menunggu masa untuk menyelit dalam aktiviti-aktiviti orang lain. Dan, akhirnya kami bertiga mengambil keputusan untuk mengikut rakan-rakan aku yang lain ke tengah-tengah ibu kota Bangkok.

Pada pukul 10.35 pagi, kami yang terdiri daripada 8 orang kesemuanya menyewa van dengan tambang 300 Baht seorang. Dalam duit Malaysia berjumlah RM30 sahaja. Dengan tambang sebanyak itu, pemandu van ini akan membawa ke mana sahaja yang kita hendak pergi hingga jam 8.00 malam.

Sedang menaiki van dan aku percaya, kebanyakan daripada
mereka ni pun tak ada hala tuju.

Destinasi pertama adalah ke Pusat Membeli Belah Indra Square Pratunam. Jauhnya adalah 12.7 km dan mengambil masa selama 20 minit kalau jalan tak sesak. Tapi, Bangkok memang terkenal dengan kesesakan lalu lintas yang ekstrem - Selama 1 jam 05 minit kami semua tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Pratunam Centre - Salah satu bangunan tinggi yang
ada di sekitarnya.

Pratunam Centre - Belum apa-apa dah nak shopping. Aihhhh!

Kali ni aku tersalah mengikut orang - kebanyakan daripada mereka nak pergi membeli belah. Hari pertama nak membeli belah? Tak boleh jadi ni! Kami bertiga mengambil keputusan untuk berjalan sendiri di sekitar Pratunam Centre.

Aku memang suka kalau pergi ke tempat asing, aku akan mengambil kesempatan untuk berjalan di lorong-lorong atau di kaki lima. Aku suka melihat budaya tempatan menjalani kehidupan harian mereka.

Pratunam Centre - Di sekitar Indra Square.

Pratunam Centre - Kelihatan seorang lelaki Thai menyanyi
sambil bermain gitar.

Kalau tak silap aku, ketika ini sedang melalui lorong kecil di
sekitar jalan Phetchaburi.

Agak lama jugak kami berjalan, hampir sejam lamanya. Tiba-tiba timbul idea untuk massage kaki. Jadi, sambil berjalan kami perhatikan setiap kedai yang ada servis mengurut; Kalau ada, boleh singgah untuk urut kaki.

Dalam 10 minit berjalan, baru terjumpa deretan kedai yang di antaranya ada tempat massage. Kami bertiga singgah dan teruskan niat murni iaitu mengurut kaki. Bukan urutan jahat tau - Cuma kaki sahaja!

Aku tak ingat apa nama pusat urut ni.

Selama 2 jam jugak le kaki aku dibelasahnya. Selepas membayar 320 Baht, kami mencari kedai makan pula. Misi kali ini agak mencabar kerana perlu mencari restoran halal di tengah-tengah kota Bangkok.

Sedang mencari restoran halal, kami tersempak dengan pemandu pelancong yang bawak kami semua malam tadi yang menaiki bas menuju ke hotel. Namanya Tim dan dialah yang bertanggungjawab membawa kami bertiga ke Restoran Maedah yang terletak di sekitar Pratunam Centre.

Hello, Tim di sini!

Restoran Maedah - Kozi Lamb with Rice, inilah yang aku
makan dan harganya 260 Baht.

Restoran Maedah - Amir dan Nas sedang bergembira
hasil penangan nasik Arab.

Selepas makan, kami semua menuju ke Gems Gallery - First Jewelry Store yang terletak 5 km daripada Pratunam Centre:


Gems Gallery International Manufacturer

Gems Gallery ni tempat di mana barang kemas dibuat. Aku nak cerita lebih-lebih pun, aku tak reti. Mana mungkin orang macam aku nak bercerita tentang cincin, anting-anting atau aksesori-aksesori wanita. Kalau aksesori basikal tu lainlah!

Jam 6.35 petang, hari sudah pun gelap ketika kami semua sampai di hotel. Walaupun tak banyak berjalan, aku rasa letih sangat. Kepala pun pening-pening. Ini semua gara-gara betis kambing yang aku makan tadi.

Di sebelah malamnya, kami mencari kedai makan halal yang ada di sekitar hotel kami menginap. Dalam 300 meter jugaklah jauhnya .

Aku terlupa nak catit nama kedai makan ni.

Tomyam asli Thailand.

Inilah pertama kali aku dapat makan tomyam asli orang Thai. Boleh tahan jugak sedapnya. Harga semangkuk tomyam dalam RM6 kalau tak silap aku. Kira ok lah tu sebab mangkuknya besar.

Babak tomyam ini mengakhiri cerita Hari Pertama di Kota Bangkok. Cerita seterusnya tentang "Damnoen Saduak Floating Market Thailand" bakal menyusul.

PS: Hari pertama aku di kota Bangkok nak kata best tak jugak. Pada aku setakat boleh lahhhhh...

Selasa, 6 September 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Di sini aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada pembaca-pembaca blog ini. Hari ini sudah hari yang ke-8 kita beraya. Maknanya, kita masih lagi ada 22 hari untuk beraya sakan sehabis daya.

Di pagi Aidilfitri - Masjid Tanah Hitam, Chemor.

Pada Hari Raya pertama dan ke-dua, aku hanya luangkan masa untuk makan, makan dan makan. Hari Raya yang ke-tiga aku berada di Ayer Tawar, Perak dan disebelah petangnya aku mengambil kesempatan untuk berlari sejauh 7.85 km yang mengambil masa selama 1 jam. Agak sengsara jugak le masa lari - mungkin angkara lemang, ketupat, rendang, lontong dan nasik impit.

Masih di pagi Aidilfitri - Ini baru acara pembukaan!

Minggu pertama Aidilfitri aku hanya sempat membuat 2 aktiviti sahaja iaitu sekali berlari dan sekali berbasikal yang merangkumi 66 km.


Daily Mile - Rekod peribadi aku di DailyMile.com.

Begitulah serba sedikit aktiviti aku minggu pertama di Hari Raya...

Aku ada beberapa hari sebenarnya untuk Putrajaya Night Marathon 2011 anjuran Bank Simpanan Nasional pada 5 Oktober 2011.



Seperti biasa, acaranya adalah 5k, 10k, Half Marathon dan Full Marathon. Aku berani ambik 10k sahaja. Nak ambik Full Marathon, keberanian masih belum mencukupi. Bukan kerja senang beb - Silap haribulan, tali kasut pun boleh putus.

Setakat ni alhamdulillah, aku tak ada masalah untuk 10k. Bukanlah nak eksyen dengan kederat yang Allah bagi kat aku. Tapi, aku perlukan sedikit yang lebih mencabar - Half Marathon. Sekarang ni aku sedang buat latihan untuk ke arah itu dengan menggunakan khidmat nasihat Nike+.

Orang lain mungkin tak ada masalah untuk tamatkan Half Marathon. Tapi, aku ada sedikit masalah untuk berlari lebih dari 10k kerana kaki aku akan mula rasa sakit apabila larian aku mula mencecah 11 km.

Tapi, tak apa - Ini baru dinamakan CABARAN! Tak ada cabaran, tak adalah benda aku nak cerita kat korang semua.

PS: Khamis hadapan, aku akan ke Bangkok selama empat hari. Jadi, aku cuba kemaskinikan sekerap mungkin sebelum aku ke sana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...