Mukasurat

Rabu, 29 Februari 2012

Eh, Mana Azizulhasni Awang?


Pada 3 hari lepas iaitu 26hb Februari 2012, aku berpeluang menjadi pelakon tambahan yang khabarnya untuk siri dokumentari Astro Discovery Channel tentang Azizulhasni Awang.

Pada awalnya, aku menolak pelawaan salah seorang ahli Tri Paku iaitu Awe. Tapi, bila dengarnya ramai jugak geng Tri Paku pun turut serta jadi pelakon tambahan, aku pun tak nak le lepaskan peluang ni.

Segala persiapan sangat rapi dan sudah tersedia pada
malam sebelumnya.

Aku keluar rumah awal dan hari masih gelap lagi.
Janji dengan Mawi kat jalan keluar Putrajaya jam 6:45 pagi.

Khabarnya jugak, hanya 7 orang sahaja diperlukan sebagai pelakon tambahan dan setiap seorang dibayar RM100. Yang menjadi kepalanya pula adalah Shah dan kami semua hanya mengikut telunjuknya sahaja.

Aku tak ambik port sangat bab RM100 tu. Janji aku dapat masuk TV. Seumur hidup aku, tak pernah merasa masuk TV. Jangankan kelibat, bunyi batuk aku pun tak pernah sama sekali.

Pengambaran dilakukan di Batu 18, Hulu Langat. Jadi, kesemua pelakon (chewahhhh) perlu berkumpul di Dewan Orang Ramai Batu 14 dan sama-sama menuju ke Sekolah Rendah Choon Hwa. Ini kerana semua orang yang terlibat telah pun menunggu kami semua di sekolah tersebut.

Jam sudah pukul 7:47 pagi. Kami semua perlu tiba di
Sekolah Rendah Choon Hwa jam 8:00 pagi.

Sedang menunggu Shah tiba sedangkan kami sudah berada
di hadapan sekolah tersebut.

Ini semua orang Tri Paku.

Apabila tiba di sekolah tersebut, kami semua dihidangkan sarapan nasik lemak, kuih-muih, air milo dan juga nescafe.

Mata aku tercari-cari manalah si Azizulhasni Awang. Tak ada pun. Oh, mungkin beliau sedang make up kot.

Rupa-rupanya, mana ada Azizulhasni Awang hari tersebut. Azizul dah pun selesai pengambarannya di Terengganu semalam. Aisehhhhhh salah info rupanya aku...

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choon Hwa di
Batu 18, Jalan Dusun Tua, Hulu Langat.

Kanak-kanak sekolah ini pun berlakon jugak. Diorang semua
jadi penyokong di tepi jalan.

Sarapan nasik lemak. Aku tak makan pun.

Makan sambil bersembang.

Tapi, tak apa lah. Tak ada Azizulhasni Awang pun tak apa. Janji dapat masuk TV.

Dalam 15 minit selepas itu, kami semua diberi arahan untuk mulakan pengambaran. Kami semua pun mengikut Shah dan pada yang sama ada beberapa rakan lain baru tiba. Ini menjadikan pelakon tambahan bertambah kepada 15 orang.

Seterusnya, kami menghala ke arah Genting Perez. Dan, di pertengahan jalan yang menghala ke Genting Perez lah pengambaran dilakukan.

Sedang menunggu arahan seterusnya daripada
Tuan Direktor.

Cikgu sedang memberi nasihat kepada anak-anak murid
supaya kelihatan sopan ketika sedang berlakon.

Sepanjang pengambaran itu, tak ada cerita yang menarik pun yang boleh diceritakan kat korang semua. Balik-balik buat benda yang sama.

Peranan kami semua hanya mengayuh basikal ke hulu ke hilir dan pada masa yang sama kamera mengambil aksi kami.

Tak ada lagak ngeri. Tak ada dialog. Hanya kayuh basikal. Itu sahaja.

Kononnya ketika itu adalah perlumbaan basikal yang sedang berlangsung dan kami semua adalah Pro Cyclist dari pelbagai negara.

Sedang menunggu babak seterusnya.

Masa ni semua dah rasa agak bosan dan tertanya-tanya
bila nak habis.

Aku rasa dalam sejam jugak le baru selesai pengambaran. Selepas Shah mengambil bayaran yang keseluruhannya RM700 dan kami semua terus menghala ke Bukit Hantu untuk manfaatkan masa yang berbaki.

Inilah pertama kalinya aku menghadap Bukit Hantu yang tingginya boleh dikatakan mencabar. Tapi, ianya tak sejauh Genting Perez dan ketinggian bukitnya agak mencanak jugak le berbanding Genting Perez.

Sepanjang mendaki, meter aku sekitar 11 - 12 km sejam. Aku tak tahu berapa kilometer perlu mendaki kerana ini pengalaman pertama aku. Jadi, aku tak berani nak tekan lebih-lebih.

Karang aku tekan macam naik Genting Perez, sekali 15 km jauhnya... Hah, naya!

Lepas mendaki dalam 15 minit dan turun sekitar 5 - 7 minit, kami semua tiba di Dewan Orang Ramai Batu 14 sekitar jam 10.55 pagi.

Shah sedang memberi kata penutup dan ucapan terima kasih
di atas kesungguhan kami ketika berlakon pagi tadi.

Waktu ini sedang menunggu duit daripada Shah.

Lepas masukkan basikal ke dalam kereta masing-masing, kami semua minum di gerai bersebelahan dewan dan Shah mula membahagikan wang hasil titik peluh berlakon pagi tadi.

Setiap orang dapat RM70 setelah diagihkan kepada para pelakon tambahan yang muncul di saat-saat akhir. Sejam berlakon dapat RM70 kira oklah. Cukup untuk isi minyak penuhkan tangki kancil aku dan makan tengahari Nasi Pakistan berlaukkan kambing.

Akhir sekali, diharapkan agar para pembaca aku dapat menjadikan cerita aku ini sebagai panduan iaitu Bagaimana Melibatkan Diri dalam Bidang Lakonan Secara Semulajadi.

PS: Harap-harap Yusuf Haslam melihat aku berlakon dalam dokumentari yang aku berlakon tu. Manalah tau kot-kot dia berminat dengan lakonan dengan aku ke.

Khamis, 23 Februari 2012

Wednesday Night Ride: Tragedi Botol Air


Hari Rabu semalam; bersamaan 22 Februari 2012, seorang rakan yg turut serta Wednesday Night Ride di Putrajaya cedera agak parah akibat terjatuh ketika kayuhan sedang berlangsung. Ketika jatuh, beliau tidak sedarkan diri kerana kepalanya terhentak kuat di jalanraya dan tangannya turut patah pada masa yang sama.

Zuraidy Shamsudin mengerang kesakitan ketika diangkat
ke atas pengusung milik Hospital Putrajaya.

Okey, ceritanya begini...

Seperti biasa kami semua akan berkumpul di Information Centre, Putrajaya dan kayuhan bermula jam 9:40 malam.

Malam itu hanya seramai 16 orang sahaja dan tidak seperti biasa yang boleh mencecah 28 orang. Dan juga, kelajuan di tahap sederhana dan tidak seagrasif seperti hari-hari sebelumnya.

Ketika 300 meter sebelum sampai Tasik Cyberjaya, kami semua memperlahankan kayuhan sekitar 15 - 20 km/j untuk minum dan mengumpul tenaga semula. Ketika inilah Zuraidy yang kedudukannya betul-betul di belakang aku terjatuh.

Masa ni ramai daripada kami agak panik sebab beliau tidak
sedarkan diri.

Aku difahamkan beliau terjatuh ketika cuba meletakkan botol air dan ketika itulah beliau hilang kawalan. Ketika jatuh itulah beliau tidak sempat menahan dengan tangan dan kepalanya terhentak kuat di atas jalanraya. Nasib baik beliau memakai topi keselamatan.

Sedang cuba sedarkan Zuraidy daripada terus tidak
sedarkan diri.

Agak bernasib baik ketika kayuhan kali ini ada dua orang doktor turut serta iaitu Doktor Azim dan Doktor Azlan. Dalam waktu kecemasan ini, Doc Azim cuba sedarkan Zuraidy dan pada masa yang sama Doc Azlan menghubungi Ambulan.

Lebih kurang seminit Zuraidy tersedar dan dialog pertama yang diucapkan:

"Aku kat mana ni...?"

Ketika itu Doktor Azim ada di sebelahnya dan pada masa yang sama ada di antara kami bukakan topi keledar dan kasut yang dipakai oleh Zuraidy.

Cuba menenangkan Zuraidy yang sedang mengerang.

Masih sedang menungg Ambulan sampai.

Ada seorang penunggang motosikal ingin mengetahui
apa yang terjadi.

Dalam masa menunggu Ambulan sampai, ada yang suruh tahan bas. Dalam waktu yang sama aku terdengar ada yang cuba membantah idea itu.

Ye lah, buat apa nak tahan bas. Bukannya bas tu boleh hantar straight terus ke hospital. Dah tu pulak, kalau naik bas kena beratur, kan dah buat lambat. Itu tak apa lagi. Nak kena bayar tambang tu lagi satu hal.

Tak lama lepas tu Ambulan pun sampai.

Macam mana kita tengok filem, macam itulah keadaannya
ketika itu – Ambulan mengeluarkan bunyi siren.

Agak sengsara jugak le aku tengok si Zuraidy ketika itu. Setiap kali cuba mengangkat ke pengusung, beliau mengerang kesakitan.

Iskandar cuba bodek driver Ambulan untuk membawa
basikal Zuraidy sama-sama ke hospital. Tapi, jawapan hampa
yang diterima.

Setelah beliau dibawa oleh Ambulan, kami semua berbincang macam mana nak bawa basikal Zuraidi. Akhirnya, kata putus dibuat; basikal perlu dibuka kepada beberapa bahagian dan dibahagikan setiap seorang untuk membawanya.

Ada yang membawa tayar. Ada juga yang mengusung bingkai. Pada masa yang sama ada juga yang memegang seatpost.

Dan kami semua menuju ke Putrajaya semula dengan kayuhan yang perlahan...

Difahamkan, saat ini Zuraidy sedang dibawa ke Pulau Pinang untuk pembedahan bagi memasukkan besi pada tangannya.

Semoga beliau segera pulih dan kuatkan semangat!

PS: Aku kekurangan mood pada hari ini. Kalah bidding jersi Pro Team dan skin suit di eBay dengan teruk!!!

Selasa, 14 Februari 2012

Malang Tidak Berbau!


Seperti yang tersedia maklum, aku ada sentuh sedikit pada pos aku sebelum ini tentang tiub aku pancit dan pada masa yang sama tayar aku juga terkoyak ketika kayuhan bersama Team Tri Paku ke LCCT, Sepang.

Tapi sebelum tu, aku mahu selit sedikit kejadian Ahad minggu lepas, ketika sedang kayuh basikal di 70 km sekitar Putrajaya, meter aku terpelanting dan meter tersebut dilanggar kereta — betul-betul di hadapan mata aku!

Meter Cateye aku sudah rosak!

Cuba korang bayangkan, dah le meter aku kena langgar dengan kereta depan mata aku. Keesokan harinya pulak, tayar pulak bikin masalah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul tau!

Ok, sambung balik cerita tayar aku tadi...

Sebenarnya, tiub aku pancit dua kali dan kali ke-tiganya barulah tayar aku terkayok ketika sedang mengepam tiub. Ketika itu aku baru sahaja kayuh sejauh 14 km daripada Pullman Putrajaya.

Nasib baik Mosyawir yang lengkap peralatannya ada bersama aku. Dialah yang banyak membantu aku. Ketika tiub aku terkoyak, aku tak mau menyusahkan dia dan menahan teksi untuk pulang ke rumah sahaja.

Team Tri Paku - Mosyawir, Faizal dan Esmen.
*Gambar hak milik Mosyawir.

Ketika sangap kat rumah daripada pagi ke tengahari di hari Isnin selepas pulang menaiki teksi, aku cuba google tentang tayar yang aku pakai iaitu jenama Hutchinson. Aku cuba membaca pengalaman mereka yang telah pakai tayar jenama tersebut. Rupa-rupanya ramai juga yang terkena macam aku — tayarnya mudah koyak di bahagian tepi.

Hutchinson Intensive jenis Clincher yang bahagian sisinya
mudah koyak.

Untuk pengetahuan korang, aku baru je pakai tayar Hutchinson dan sudah lanyak sejauh 2327 km. Aku juga ada terbaca pengalaman seorang pengguna tayar jenis yang sama juga telah koyak di bahagian tepi tayar setelah lenjan sejauh 2500 km. Perkara macam ni tak sepatutnya terjadi.

Setelah meminta pendapat rakan-rakan dan juga membaca pendapat di internet, aku mengambil keputusan untuk bertukar kepada jenama Continental GP4000. Aku terus telefon Jami Bike Centre dan jawapan hampa yang aku terima - Stok habis!

Hari Rabu minggu lepas aku bawak sepasang set roda aku ke pejabat dan pagi itu jugak aku berjalan kaki daripada pejabat aku ke KHCycle di Damansara Perdana untuk memasang tayar Continental GP4000.

Sambil jalan dalam KHCycle, aku terpandang
Scott Foil Team Issue. Ianya datang sekali Campy Groups,
Mavic 2012 Wheel, Ritchey WCS dan San Marco Saddle.
*Gambar hak milik KHCycle.

Kebetulan Saiful iaitu bekas pekerja Rodalink Putrajaya selaku juga bekas pemain bass kumpulan The Pilgrims era 90-an ada di situ. Disebabkan aku sudah biasa dengan Saiful ketika di Rodalink Putrajaya, mudah le aku minta pertolongan daripadanya. Saiful le bertanggungjawab memasang rim tape jenama Zefal, tiub Continental Race 28 dan Continental GP4000.

Sepasang tayar dan tiub jenama Continental
dan rim tape jenama Zefal.

Sebenarnya, aku nak ambik Continental GP4000s. Tapi, masa kat KHCycle mata aku jadi rambang dan terambik GP4000. Cisssss!!!

Tak apalah. Dah terbeli. Nak buat macam mana. Pakai ajelah...

Klik gambar untuk lihat harga setiap barang.

Jumlah keseluruhannya.

Setelah tukar rim tape, tiub dan tayar yang baru, aku dapat jimat 146 gram. Ini memang aku tak sangka sebenarnya. Sekarang basikal aku sudah menjadi 7.52 kg.

Malam Rabu seperti biasa akan ada Lumba Mini anjuran Tri Paku di Putrajaya. Inilah masanya aku menguji presitasi tayar baru. Memang ternyata tayar Continental GP4000 sangat baik. Memang puas hati aku dapat pakai Continental GP4000.

Continental GP4000 sudah siap pasang.

Tapi, dari segi ketahanannya aku tak pasti. Harap-harap boleh tahan setahun lebih. Jangan jadi macam tayar Hutchinson sudah le. Baru pakai 3 bulan, dah koyak!

PS: Sebijik Continental GP4000 lebih mahal daripada tayar Kancil aku. Fuhhhhh!!!

Rabu, 8 Februari 2012

Latihan Lari Bersama Perantis


Agak lama jugak le aku tak lari sejak akhir-akhir ni. Kalau tak silap aku, mau 3 minggu aku cipta alasan tersendiri seperti:

  • Baru lepas hujan, jalan basah boleh tergelincir
  • Badan letih sebab baru balik kerja
  • Cuaca panas, tak elok sebab boleh dehydrate cepat
  • Badan tak sihat
Dalam empat senarai yang aku berikan tadi, hanya satu sahaja yang sebenarnya boleh pakai - Badan tak sihat.

Dalam sebulan dua ni, Putrajaya kerap hujan dan cuaca juga
agak panas.

Dalam seminggu badan aku tak berapa sihat. Tak lama lepas tu aku sakit tekak, selsema, batuk dan terus demam. Lepas baik demam dalam sehari, esoknya demam balik.

Kahak jangan cakaplah...

Lagipun tayar basikal aku baru sahaja koyak Isnin lepas ketika berbasikal bersama Team Tri-Paku ke LCCT, Sepang. Aku terpaksa pulang menaiki teksi akibat koyak pada tayar agak serius dan perlu ditukar dengan yang baru.

Tri-Paku ketika berbasikal ke LCCT, Sepang. Ketika ini, aku
sudah pun pulang menaiki teksi.
*Gambar hak milik Mosyawir.

Mungkin waktu sebegini sangat sesuai untuk gantikan aktiviti berbasikal kepada aktiviti lari...

Memandangkan kalau aku berlari seorang, mungkin aku akan gagal mengawal kelajuan dan mahu habiskan larian secepat yang boleh. Ini boleh mengakibatkan kecederaan pada kaki aku. Jadi, aku perlukan waktu yang sesuai dan seseorang juga perlu aku bawakan bersama.

Ya, anak aku sudah banyak kali bertanya, bila nak jogging. Seingat aku sudah sebulan aku tak bawa Danial berlari. Dan, aku rasa waktu ini sesuai untuk dimulakan kembali.

Hari cuti umum Thaipusam, Selasa petang semalam aku ajak anak aku jogging. Anak aku sangat teruja nampaknya. Dan, tepat jam 5:00 petang aku keluar rumah bersama Danial yang berumur 6 tahun 7 bulan dengan berbekalkan sebotol air mineral.

Sudah berlari 1.3 km sekitar PICC.

Setelah berjalan sejauh 400 meter barulah aku mula berlari. Diikuti Danial berlari di sebelah kiri aku. Pace larian pula sekitar 8:40 km/j dan matahari petang agak terik.

Anak aku ada sedikit pencapaian iaitu berlari sejauh hampir 2 km tanpa henti. Berhentipun cuma di persimpangan lampu isyarat.

Selepas 1.7 km, anak aku ajak singgah di Taman Seri Ampangan yang ada permainan kanak-kanak. Aku biar dia main kat situ sekejap.

Selepas dalam 15 minit di taman tersebut, kami berdua sambung berlari lagi 1.3 km. Ketika berlari mendaki bukit sekitar PICC, Danial minta untuk berehat di perhentian bas yang terdapat di situ.

Berhenti di perhentian bas PICC untuk berehat. Dah letih
katanya.

Setelah menutup kembali penutup bekas air jenama Tupperware tersebut, aku berkata:
Ayah: Dah? Jom.
Danial: Tak nak tunggu bas ke?
Ayah: Buat apa nak naik bas? Dah nak sampai pun.
Danial: Dah letih. Tak larat nak lari dah...
Ayah: Tak apa. Lari pelan-pelan. Sikit lagi je...
Danial: Okey.

Danial pun bangun dan menyambung larian yang berbaki.

Rumusannya, larian berjaya ditamatkan sejauh 3 km selama 39 minit 36 saat. Tahniah Danial!

Oh ye, sepanjang larian tersebut, anak aku tak berhenti bercakap - Naik bukit, turun bukit selamba je bercerita tanpa penat. Oh, itulah Danial, boleh bercakap tanpa henti selama 24 jam!

PS: Aku sudah pun setkan sasaran larian aku sejauh 731 km sehingga 16/10/2012. Harap² aku berjaya capai sasaran itu tanpa alasan yang tidak munasabah!

Ahad, 22 Januari 2012

Resepi Hari Minggu: Pasta Ayajartup, Siap Dimasak Sedap Di Makan


Seingat aku, resepi yang pernah aku kongsikan dengan korang semua adalah pada tahun lepas iaitu tentang bagaimana membuat Bar Protein.

Hari ini aku kembali lagi untuk membawa anda ke dapur aku dan seterusnya berkongsi resepi Pasta Ayajartup. Resepi ini adalah asli turun temurun daripada keluarga aku yang berasal dari Itali dan Greek.

Untuk pengetahuan anda, Pasta Ayajartup adalah gabungan bahasa Itali dan Greek. Pasta adalah daripada bahasa Itali dan Ayajartup pula adalah daripada bahasa Greek yang bermaksud Putrajaya.

Beginilah rupanya Pasta Ayajartup.

Okey, sekarang korang sudah pun tahu sejarah resepi aku ini. Jadi, moleklah sekiranya kita teruskan sahaja agenda kita.

Bahan-bahannya adalah:
  • Pasta
  • Minyak Zaitun
  • Garam
  • Serbuk Keju
  • Sosej

Di bawah ni aku sertakan gambar untuk memudahkan korang cari kat pasaraya nanti:

Pasta jenama Liguori berharga sekitar RM5. Kalau tak silap
aku lah. Aku pun tak berapa ingat.

Minyak zaitun jenama Colavita berharga RM29.95.

Serbuk keju jenama Formaggio berharga sekitar RM8

Sosej jenama Ramly. Harga aku tak ingat pulak.

Bahan-bahannya mudah sahaja. Nak masak pun sangatlah senang. Caranya:

Rebus pasta dan sosej serentak dengan air bersih selama 10 - 15 minit (bergantung pada kekuatan api dapur). Bila nampak pasta tu dah kembang kiranya dah masaklah. Lepas tu buang air rebus tersebut dengan menggunakan penapis dan letakkan pasta dalam pinggan.

Taburkan secubit garam dan diikuti serbuk keju. Garam tu jangan banyak sangat, secubit pun dah cukup. Serbuk keju tu pun dalam 5 cubit pun dah ok.

Akhir sekali baru tuang minyak zaitun dan gaulkan dengan tangan hingga rata. Minyak zaitun tu pulak jangan tuang banyak sangat. Sekadar ratakan keseluruhan pasta pun sudah memandai.

Lepas tu dah boleh makan Pasta Ayajartup dengan penuh yakin.

Mudah kan? Kalau korang nak kayuh basikal atau marathon, elok sangat le. Korang boleh rasakan prestasi sama hebat dengan minyak Shell V-Power.

Selamat mencuba!

PS: Ramuan-ramuan tu semua aku beli kat Carrefour, Alamanda Putrajaya. Kalau kat kedai runcit mamak, tak ada kot.

Sabtu, 21 Januari 2012

Tri-Paku Nite Ride: Laluan Sejauh 43 km yang Selesa


Setiap Jumaat sememangnya hari kayuhan kesihatan Tri-Paku Night Ride; dan berbelas-belas penunggang basikal turut serta. Pelbagai jenama basikal akan ada seperti Scott, Specialized, BMC, Pinarello, Proton, Fondriest, Merida dan jugak jenama-jenama yang aku sendiri tak ingat namanya.

Tetapi, malangnya aku tak dapat turut serta kayuhan kesihatan yang berprestij ini akibat betis aku tercedera sejak Rabu lepas.

Ikut hati memanglah nak kayuh jugak. Tetapi, atas nasihat jurulatih ilusi aku melarang aku daripada terus mengikut hati.

Tak apalah, sebagai menunjukkan komitmen terhadap kayuhan tersebut, aku menawarkan diri sebagai kereta pengiring. Tugas aku adalah menarik pelaton selaju 45 km/j sejauh 43 km.

Seorang Ahli Bomba sedang mengepam basikal.

Seorang usahawan dengan jersi Tri-Paku.

Kayuhan bermula jam 9:50 malam dan ianya agak lewat seperti biasa yang sepatutnya 9:30 malam. Laluan juga sudah sedikit bertukar dan ianya lebih banyak bukit daripada laluan yang sebelumnya.

Sedang berbincang tentang laluan baru.

Sementara yang lain berbincang, yang seorang ni masih
belum pakai kasut karbon.

Di awal kayuhan, hujan mula rintik dan aku mula rasakan nasib baik aku tak kayuh. Dalam 5 minit hujan rintik berhenti, aku dah mula rasakan bahawasanya ruginya aku tak kayuh.

Sekitar Presint 1 dan menghala ke Cyberjaya.

Kayuhan berkelajuan sekitar 30 - 35 km/j selepas keluar daripada Presint 1. Ketika ini aku tak dapat mengambil banyak gambar kerana fokus dengan tugas aku iaitu kenderaan aku mestilah tidak terlalu perlahan atau terlampau laju.

Apabila tiba di Cyberjaya, kayuhan menjadi sedikit perlahan kerana bukit-bukit yang melambak berserta lampu isyarat yang bersepah.

Tiba di sekitar PICC, Putrajaya semula sekitar jam 10:45 malam. Ini bermakna kayuhan fasa pertama dapat dihabiskan awal iaitu 55 minit sahaja — walaupun bukit yang banyak serta panjang.

Di sini, masing-masing menunggu yang masih berada di belakang sebelum menyambung kayuhan fasa ke-dua.

Sedang menunggu seorang dua lagi yang terputus pelaton.

Bersedia untuk menghabiskan 13 km yang berbaki.

Kayuhan fasa ke-dua agak mencabar kerana sepanjang laluan Presint 5 ke arah Presint 15, angin sememangnya kuat. Tak kira lah hari nak hujan ke, tak hujan ke, memang anginnya kuat sepanjang masa.

Ditambahkan dengan bukit Alamanda yang panjang... Fuh!

Sepanjang laluan ini aku menarik dengan kelajuan sekitar 38 - 40 km/j. Setibanya di bukit Alamanda, aku perlahankan kelajuan sekitar 31 km/j.

Seperti biasa, ramai yang akan terputus pelaton di sini. Memang tak boleh buat apa dah. Tawakal aje lah...

Sekali sekala aku cuba kekalkan kelajuan 45 km/j bila perlu.

Kayuhan ditamatkan sekitar jam 12:20 pagi. Boleh aku katakan 75% adalah kawasan berbukit untuk laluan kali ini. Walaupun berbukit, kayuhan dapat ditamatkan dalam masa 1 jam 25 minit.

Sebelum pulang, bincang untuk kayuhan hari Ahad esok.

Inilah Tok Batin yang memaksa kayuhan mestilah
berkelajuan 45 km/j.

Kesimpulannya, kayuhan kali ini sangat selesa sambil dikelilingi penghawa dingin, tidak letih langsung dan langsung tak minum air. Ini berdasarkan aku sebagai tugas perngiring berkereta.

Yang lain-lain tu aku tak taulah azabnya macam mana...

PS: Kebanyakan daripada kami akan sertai Kuantan Century Ride 160 km pada bulan Mac 2012 nanti. Kepada pembaca blog ini yang akan turut serta kayuhan tersebut, kita jumpa sahaja di sana nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...