Mukasurat

Isnin, 8 Oktober 2012

Tingkatkan Kelajuan Dengan Kasut Glycerin 10


Sebenarnya, aku hampir menyiapkan pos terbaru aku tentang kasut Brooks yang aku baru beli pada 20/9/2012 lepas. Ntah macam mana aku ter-cut cerita yang aku taip kat notepad dan ter-copy kerja lain pada masa yang sama dan mengakibatkan cerita yang aku taip tadi hilang dalam sekelip mata.

Ini sangat mengecewakan aku. Bukan senang nak taip balik... Nak atau tidak, aku mahu juga menceritakan perihal kasut Brooks Glycerin 10 kat korang semua.

Pada 3 minggu lepas waktu makan tengahari, aku sempat ke butik Brooks di The Curve, Mutiara Damansara dengan rakan pejabat aku untuk membeli kasut lari yang baru. Ini adalah semata-mata persediaan Powerman bakal menjelang nanti.

Kasut yang aku nak adalah jenama Brooks model Glycerin 10 yang harganya RM529.00:

Brooks model Glycerin 10.

Lebih menarik lagi, mana-mana cawangan Brooks di malaysia sedang menjalankan kempen
  Go Green   waktu itu dan ini membolehkan pelanggan mendapatkan diskaun RM150 bagi setiap pembelian.

Kempen Go Green oleh Brooks.

Tetapi dengan syarat, kena bawak kasut yang dah tak pakai ketika membeli kasut Brooks yang baru. Aku tak ada kasut yang dah pakai. Tak kan aku nak tukarkan kasut lari Mizuno aku yang masih lagi elok kondisinya.

Jadi, untuk menjayakan kempen   Go Green   ini, aku pun ambik le selipar yang sering aku pakai ketika hendak ke masjid solat Jumaat:

Memang buruk giler. Malu jugak nak tunjuk kat orang nanti.

...dengan harapan bolehlah aku mendapatkan diskaun RM150 tersebut.

Ketika di butik Brooks tersebut, agak malu jugak le aku nak tunjukkan selipar aku ni. Jadi aku pun terus ke kaunter untuk bertanyakan kasut yang aku inginkan, iaitu model Glycerin 10.

Sembang punya sembang dengan orang yang jaga kaunter tu, dia cakap ada baiknya aku jadi Brooks Member untuk dapatkan diskaun lebih dari RM150. Ini kerana aku boleh dapatkan diskaun 30% ke atas kasut Glycerin 10 yang aku nak itu. Ini bermaksud diskaun yang bakal aku terima adalah sebanyak RM158.70.

Kalau aku tukarkan selipar buruk aku tu, aku cuma dapat diskaun RM150 je. Baik aku jadi Brooks Member. Lagipun, tak adalah aku menanggung malu mendedahkan selipar buruk aku kepada umum.

Setelah mencuba beberapa saiz bagi model Glycerin 10, aku pun mengambil keputusan untuk mengambil saiz 8.5. Setelah diskaun, harga yang perlu aku bayar adalah RM370.30.

Glyserin 10 dari pandangan sisi.

Bahagian tapaknya ada gel.

Bayangkan daripada harga kasut RM529.00 dapat dengan harga RM370.30!

Malam itu jugak aku mencuba sejauh 6 km dan apa yang aku boleh katakan kasut ini memberikan aku momentum ketika berlari dan mendaki bukit. Jauh bezanya jika nak dibandingkan kasut Mizuno aku tu.

Cuma, kaki aku ada sedikit sakit. Ini mungkin kasut baru keadaannya masih lagi keras dan agak statik permukaan tapaknya.

Sehingga kini, sudah 8 kali aku belasah dan semakin hari aku rasa kasut ini semakin okey. Tak ada sakit-sakit kaki bila buat 10 km ke atas.

Proses peralihan hidup yang lebih baik sedang bermula.

Ketika para pembaca blog ini sedang membaca pos terbaru aku ini, kempen   Go Green   oleh Brooks Malaysia sudah pun tamat. Maka, kepada mereka yang teruja dengan cerita aku tentang diskaun RM150 tersebut janganlah bersedih hati. Daftar je Brooks Member dan dapatkan diskaun 30%.

Tak payah pening-pening kepala fikir nak bawak kasut terpakai ke butik Brooks di The Curve Mutiara Damansara untuk dapatkan diskaun.

PS: Kepada sesiapa yang mahu beli kasut lari Brooks, sila minta nasihat daripada penjaga butik tersebut. Minta imbas tapak kaki anda untuk dapatkan kasut yang sesuai.

Sabtu, 8 September 2012

Lagi-lagi Jerebu, Bengang Betul Aku!


Sejak akhir-akhir ni, walaupun hujan lebat hingga menyebabkan banjir di sesetengah tempat, masih ada jerebu buatan Sumatera dan Kalimantan.

Ini membuatkan aku semakin meluat di tahap maksima — menyusahkan aku untuk meneruskan latihan Powerman yang bakal berlangsung dua bulan lagi.

Disebabkan jerebu malam tadi aku terpaksa batalkan disaat akhir kayuhan Tripaku Night Ride. Dan aku kerugian mileage 55 km.

Pandangan dari PICC, Putrajaya petang semalam.
Jerebu ketika ini di tahap 55c.

Perancangan asal pada hari Sabtu iaitu hari ini, aku akan menyertai Tri Paku punya latihan Powerman pada jam 7:30 pagi. Disebabkan terlajak tidur, kelam kabut sembahyang subuh, mandi dan ntah apa lagi yang aku buat, jam dah pukul 8:10 pagi.

Set jersey ni koleksi peribadi aku dan tak pernah pakai lagi.
Pagi tadi aku merasmikan dengan jayanya.

Laluan kali ini agak menyongsang daripada laluan yang biasa. Aku nak gunakan laluan Powerman, tapi tak reti pulak. Aku tak cam jalannya.

Jadi, aku pun kayuh laluan ikut suka aku:



Masa untuk basikal ini berehat.

Kayuh punya kayuh, dapatlah 45 km. Sepanjang 40 km, aku setkan minimum 30 km/j dan purata kelajuan dapat 29.6 km/j. Di akhir baki 5 km, aku banyak melalui bukit dan penamatnya aku naik ke atas puncak PICC sebanyak dua pusingan.

Ini menurunkan purata kelajuan aku menjadi 28.41 km/j.

Puncak PICC pada jam 10:24 pagi. Tak ada jerebu dari
pandangan mata kasar.

Ok lah daripada aku tak kayuh langsung dan asyik pegi open house je. Petang atau malam nanti kena buat larian 10 km. Esok pun runtinnya sama. Harap tak ada jerebu esok pagi.

PS: Di pagi Sabtu ini, ramai jugak yang kayuh basikal. Di Presint 2 ada acara bebudak sekolah rendah berlari dan berbasikal nampaknya.

PPS: Tengah siap-siap nak ke open house. Lahhhhh, open house lagi!

Selasa, 4 September 2012

Edisi Mini Powerman di Hari Merdeka


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 kepada para pembaca blog Pahlawan Basikal yang bertaraf Pemastautin Tetap (PR) dan masih belum hilang taraf kewarganegaraannya.

Anak-anak yang Merdeka.

Di pagi Merdeka ini, seawal 5:15 pagi aku sudah bangun dari tidur untuk menjalankan misi Mini Powerman secara solo sekitar Putrajaya.

Oh ye, aku dah pun daftar Powerman kategori Individu pada 31 Julai lepas:

Aku ambik kategori Individual.

Ini adalah latihan Powerman yang pertama aku sejak bercuti selama dua bulan daripada melakukan apa-apa aktiviti sukan. Sepanjang masa bercuti tersebut, tiada basikal, lari dan berenang. Ini kerana aku memberi 100% perhatian ke atas anak aku, Danial yang aku pernah ceritakan di sini.

Seperti yang tersedia maklum, episod Powerman kali ini akan diadakan di Presint 3, Putrajaya pada 4 November 2012. Dan, disebabkan itulah aku membatalkan percutian aku ke Korea pada 1 - 5 November akan datang. Atas tindakan aku ini, aku kehilangan wang deposit hampir RM1000 yang telah dibayar kepada Travel Agent.

Lagipun aku menyampah dengan Gangnam Style buatan Korea
yang satu ni.

Besar pengorbanan aku ini. Jangan memain.

Okey, sambung balik cerita aku tadi; aku bangun seawal 5:15 pagi untuk berlatih Powerman. Aku tak pernah lari, basikal dan kemudian lari balik. Itu sebab hari cuti ini aku nak merasa macam mana azabnya Powerman.

Baju dan seluar 2XU dah bersedia.

Dah standby siap-siap. Lepas lari, terus naik basikal kayuh
laju-laju.

Tepat jam 6:50 pagi, aku mulakan larian pertama aku untuk hari ini. Sasaran aku adalah 6 km. Sepanjang larian, aku dapat rasakan yang aku sedikit semput dan segala fitness dua bulan dahulu habis hilang. Kelajuan purata hanya 6'55"/km sahaja jika nak dibandingkan 5'20"/km sebelum ini.

Bukan kerja senang tau. Aku perlu berusaha keras untuk
dapatkan balik tahap kecergasan seperti dulu.

Sebaik sahaja pulang daripada berlari, bukak kasut Mizuno, gantikan dengan kasut Shimano R105 karbon, minum 400 ml air mineral dan kayuh basikal selaju boleh.

Tapi sebenarnya, taklah laju mana. Aku rasa macam laju, tapi tengok meter 28 km/j je. Kadar degup jantung aku pun agak tinggi. Letih jangan cakaplah.

Aku cuba kawal degupan jantung aku supaya tidak melebihi
180 bpm. Sebab lepas kayuh basikal nak kena lari lagi.

Elok je berhenti kayuh dan kaki cecah lantai, hati mula berbelah bagi — mahu teruskan larian atau tidak. Ini kerana cuaca mula terik dan kaki terasa lembik.

Aku ni tak adalah kuat sangat lari dan berbasikal. Kuat aku pada semangat je. Ini aku anggap satu kelebihan dan misi harus diteruskan.

Simpan basikal, bukak kasut Shimano R105 karbon balik dan pakai semula kasut lari aku. Kali ini aku pakai kasut Nike Free Run+ 2 yang lebih ringan daripada kasut Mizuno aku tadi.

Nike Free Run+ 2 hanya sesuai untuk berlari jarak pendek.

Sebelum keluar rumah, aku sempat minum 200 ml air mineral yang ditapis oleh penapis air Coway. Selepas minum aku terus sambung lari. Ketika berlari terasa sangat kaki aku berat untuk teruskan larian.

Cuaca terik serta panas berbahang sudah cukup menjadikan penambah perisa dalam episod ngeri kali ini.

Perancangan asal, hanya 3 km sahaja aku perlu berlari. Tetapi, aku cuba mencabar mental aku untuk buat 4 km. Dan, aku berjaya.

Diambil daripada akaun My Nike+ aku. Boleh melihat larian aku
semakin perlahan.

Secara umumnya, aku berjaya lakukan Powerman edisi extra Sprint selama 2 jam 35 minit 59 saat. Ini baru separuh Powerman. Versi penuh Powerman Individual adalah lari sejauh 11.4 km, basikal 64 km dan terakhir lari lagi sejauh 11.4 km.

Lari 4 km yang terakhir tadi tu pun rasa nak mengelupur. Inikan larian berbaki 11.4 km.

Tapi, tak apa lah. Ini baru percubaan pertama aku. Tak ada harapan menggunung pun. Dapat buat separuh pun dah cukup hensem.

PS: Aku harap penyertaan Powerman untuk kali pertama ni berjalan dengan lancar. Setahun aku tunggu acara ini dan batalkan percutian ke Korea semata-mata untuk dapatkan medal Powerman 2012 bagi acara Long Distance Individual.

Ahad, 26 Ogos 2012

Kisah Lalu, Misteri Gunung Gajah


Chemor adalah sebuah pekan kecil yang terletak di utara bandaraya Ipoh, Perak. Keluarga aku menetap secara rasminya di pekan Chemor ini sejak tahun 1986 dan waktu itu aku berusia 8 tahun.

Ini bermaksud aku membesar di pekan kecil ini selama 14 tahun - bermulanya tahun 1986 hingga 2000 iaitu tahun aku mula berhijrah ke Kuala Lumpur.

Landasan keretapi sedang dinaik-taraf. Dah bertahun-tahun,
tak siap-siap jugak.

Pekan Chemor yang gloomy.

14 tahun tu lama beb. Macam-macam pengalaman yang aku lalui sepanjang aku di pekan Chemor. Daripada episod cinta hinggalah cerita seram.

Okeylah, mari aku ceritakan sebuah cerita yang tak semua orang tahu. Mungkin ada yang pernah tahu dan semakin dilupakan.

Ini cerita tentang Gunung Gajah:

Gunung Gajah. Namanya diberikan sebab rupanya
seakan-akan gajah.

Di tengah-tengah pekan Chemor ni ada sebuah gunung yang bentuknya seakan gajah. Gunung ini dipercayai pernah suatu masa dahulu menjadi tempat persembunyian tentera Jepun dan Komunis.

Masa aku sekolah menengah dulu, aku mempunyai ramai jugak le yang kaki ponteng sekolah. Antaranya Atan Setan, Pek, Faizal dan beberapa orang yang lain berjaya ponteng sekolah dengan mendaki Gunung Gajah. Ketika itu aku di tingkatan 2 kalau tak silap.

Aku diberitahu yang mereka berjaya mendaki separuh daripada gunung tersebut. Dan dikhabarkan juga yang mereka memasuki satu gua yang sepanjang laluannya dipenuhi dengan cengkerang siput yang reput. Ini bermakna apabila berjalan, kaki akan memijak cengkerang-cengkerang yang memenuhi jalan.

Sedang menuju ke Gunung Gajah.

Ntah dari mana datangnya cengkerang siput tu aku pun tak tahu. Mana ada laut kat chemor ni...

Di dalam gua itu mereka terjumpa satu kolam kecil yang ada ikan di dalamnya. Ikan apa, aku dah lupa. Keadaanya seperti ada orang yang menjaga kolam kecil tersebut.

Menurut rakan aku, mereka mendapati di dalamnya ada kawasan yang lapang seluas padang bola dan permukaannya dipenuhi daun-daun kering.

Sedikit kelihatan Gunung Gajah dari jauh.

Kata mereka keadaan tersebut memang agak pelik — bagaimana dalam gunung tersebut ada pula kawasan yang luas seakan padang bola sepak.

Melalui cerita-cerita pengalaman mereka ini membuatkan aku agak teruja untuk melihat dengan mata kepala aku sendiri.

Semakin hampir...

Dua tahun selepas ekspidisi tersebut, aku dan beberapa rakan lain membuat tinjauan samada adakah betul cerita-cerita mereka itu. Kaki ponteng sekolah cuba bercakap benar, agak susah aku nak percaya bulat-bulat.

Berbekalkan beg askar, pisau, khemah dan sedikit makanan, kami berbasikal menuju ke Gunung Gajah.

Kalau belok kanan akan ke kampung aku, Kampung Cik
Zainal.

Kami akan memasuki perkampungan estate India dahulu dan barulah Gunung Gajah. Ketika itu, kiri dan kanan dipenuhi pokok-pokok getah yang masih subur mengeluarkan getah.

Sekarang ni dah tak berapa nak subur dah...

Tetapi, setibanya di gunung tersebut, kelihatan awan makin gelap diselang seli dengan guruh dan angin yang kuat. Keadaannya seperti mini ribut.

Hari mahu hujan. Dan berkemungkinan besar lebat.

Di hadapan tersebut ada post guard untuk memasuki
penempatan estate India.

Beberapa rakan aku mengubah fikiran untuk tidak terus mendaki. Kata mereka bahaya. Sebaliknya aku dan seorang lagi rakan aku (sekarang ni dah jadi askar) cuba mendaki juga dan terpaksa akur akan kesukarannya dan kembali turun.

Seingat aku, di kaki gunung tersebut terdapat tulisan Jepun dan tulisan Cina Komunis. Kata kawan aku ianya ditulis dengan menggunakan minyak senjata. Aku percayakan sahaja kerana bapanya seorang bekas askar. Sudah tentu dia lebih tahu daripada aku.

Tak jauh daripada post guard tadi ada Pusat Pemulihan
Dadah.

Kami semua terpaksa balik dan di pertengahan jalan, langit kembali cerah. Ahhhh, tak hujan rupanya!

Itulah pengalaman aku tentang Gunung Gajah. Pada sangkaan aku kerja mendaki gunung sangat mudah. Ternyata sangat susah dan berbahaya kepada budak sekolah seperti aku waktu itu.

Aku mula terfikir bagaimana rakan-rakan aku yang ponteng sekolah pun boleh panjat sebahagian gunung tersebut dan berjaya menemui gua misteri yang aku ceritakan tadi.

Rumah tinggal. Dahulunya tinggal seorang tok guru silat
dan pernah ditangkap khalwat dengan budak sekolah di
dalam rumah ini. Orang cakaplah.

Hingga sekarang aku masih berfikir macam mana diorang semua boleh panjat dan berjaya masuk ke dalam gua tersebut.

Peralatan apakah yang diorang semua pakai? Aku pun tak pernah tanya...

Aku harap Gunung Gajah tu tak ada sesiapa yang kacau. Biar je seadanya. Jangan diganggu atau ditarah sampai gondol. Aku percaya misterinya bukan setakat yang aku ceritakan tadi. Mungkin lebih daripada itu.

PS: Aku masih tak jumpa rakan-rakan ponteng sekolah yang aku ceritakan tadi sejak aku jejak kaki di Kuala Lumpur. Dengar cerita, ada yang masuk keluar lokap.

Rabu, 15 Ogos 2012

Selamat Hari Raya dari Perantauan


Setiap kali bulan Ramadan, aku akan belek-belek Utusan Malaysia di halaman Salam Perantauan. Bukannya apa, sejak dari sekolah lagi sampai le sekarang aku seronok tengok rakyat Malaysia yang masih belajar di negara asing menghantar ucapan Selamat Hari Raya untuk keluarga, guru-guru dan rakan mereka di tanah air.

Masa sekolah dulu aku bercita-cita nak ke England untuk belajar. Apa-apa bidang pun tak apa, asalkan kat England.

Ini aku pada tahun 1997. Kalau orang tanya kat mana,
aku mati-mati cakap kat Oxford. Padahal kat Langkawi.

Tapi, nasib baik aku tak dapat pergi belajar kat luar negara. Aku boleh rasakan aku akan gagal akibat berpoya-poya yang berlebihan ketika di sana. Ada hikmahnya.

Itu ketika di sekolah. Apabila meningkat remaja pula dan masih bekerja di kilang atap Hume Cemboard Industries selepas habis SPM, keinginan ke England datang kembali.

Perasaan nak ke London jadi lebih kuat apabila ketika itu episod bersiri Cinta Antara Benua tengah panas. Lokasi pengambarannya adalah di England. Aku sanggup keluar rehat awal waktu bekerja shif petang semata-mana balik rumah nak tengok cerita tu.

Salah satu episod Cinta Antara Benua tahun 1997.

Penghujung tahun 2007, aku berpakat dengan Mizi iaitu rakan sekerja kilang untuk ke London dalam beberapa bulan lagi. Tujuannya adalah untuk bekerja di sana.

Aku pesan kat Mizi, "Kita kena ada RM10,000 untuk ke sana. Termasuk tambang. Sampai sana, tak ada duit, kemudian cerita."

Begitulah semangatnya aku nak ke London.

Pada tahun 2008, aku sambung belajar di Kolej Cosmopoint di Ipoh. Jadi aku cakap kat Mizi yang rancangan kita kena tunda sampai aku habis belajar tahun 2000.

Tahun 1998. Masa ni gila jamming. Habis kelas, mesti
pegi jamming kat studio Tasek, Chemor.

Tetapi, disinilah impian aku musnah. Aku bertemu dengan isteri aku ketika semester ke-2 dan perlahan-lahan aku lupakan tentang London.

Itu cerita lama.

Walaupun dah berbelas tahun punya cerita; Setiap kali Ramadan yang menghampiri Syawal, aku akan teringat cita-cita aku tu. Ianya bercerita tentang semangat dan kemahuan yang kadang-kalanya dingin dan adakalanya membara.

Okey lah, sempena bulan Syawal dalam beberapa hari je lagi ni aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para pembaca blog Pahlawan Basikal. Maafkan salah silap dari segi olahan bahasa aku yang boleh menimbulkan salah faham ketika membaca cerita-cerita dalam blog aku ini.

Akhirnya, aku berjaya menjejakkan kaki di Oxford,
walaupun dalam masa 1 jam 30 minit.

Kita berjumpa lepas raya ini dengan beberapa cerita yang tertunda. Insyaallah.

PS: Terima kasih kerana mendoakan kesihatan anak aku. Danial semakin sihat dan sedang menjalani fisioterapi untuk memulihkan pergerakannya seperti sedia kala.

Rabu, 11 Julai 2012

Danial


Ketebalan habuk di blog ini sama tebalnya habuk yang ada di permukaan basikal aku. Bukannya apa, mood ada sedikit kurang. Aku lebih suka menulis ketika hati sedang gembira. Macam tu jugak dengan basikal — berbasikal ketika hati senang.

Itu sebabnya cerita-cerita aku dalam blog ini lebih kepada kisah-kisah yang gembira dan keseronokan. Dengan harapan, pembaca aku turut enjoy dengan cerita-cerita aku.

Walaupun cerita aku ada unsur gabra atau tahyul, aku cuba mengolahnya menjadi lebih santai.

Tapi, untuk sementara ini hati aku sebenarnya tidak gembira langsung. Ini kerana anak aku Danial yang pernah aku ceritakan di sini sedang melawan penyakit yang dikenali sebagai Juvenile Dermatomyositis atau juga Auto-immune Disease.

Pada bulan Februari, ketika latihan lari bersama aku. Selepas
bulan-bulan berikutnya, kaki sudah mula rasa sakit.

Agak janggal nama penyakit tersebut seperti nama-nama komponen roket NASA. Aku juga mengambil masa untuk ingat dalam kepala otak aku ini.

Ianya baru dikesan pada minggu lepas hari Selasa apabila sedang dirawat di Hospital Pakar An-Nur Bangi.

Danial berumur cukup 7 tahun bulan lepas dan aku percaya usia sebegini dia cukup kuat melawan penyakit ini. Ini kerana aku pernah berlari dengan dia dan dia boleh berlari 2 km tanpa henti sambil bercakap.

Ini menunjukkan semangatnya kental.

Ketika dimasukkan ke dalam wad Hospital Putrajaya.

Cik Misi sedang mengambil tekanan darah.

Okeylah, aku cerita serba sedikit tentang penyakit Juvenile Dermatomyositis. Penyakit ini agak kompleks kerana antibodi pesakit bertindak tidak normal seperti kita semua. Biasanya antibodi kerjanya adalah menyerang sel-sel yang tidak sepatutnya ada di dalam badan kita atau menyerang virus-virus jahat di dalam tubuh kita.

Tetapi, sebaliknya terjadi kepada anak aku. Antibodinya menjadi keliru dan menyerang sel-sel seperti sel otot, sendi dan kulit. Ini mengakibatkan pergerakan anak aku menjadi perlahan dan setiap ototnya menjadi sakit. Hingga satu tahap perlu diberi bantuan ketika mahu baring dan bangun dari tidur.

Waktu malam, Danial akan ulangkaji pelajaran. Apabila
duduk, badannya terpaksa dibongkokkan. Danial Kata
belakangnya rasa penat...

Sekiranya lewat dikesan, antibodi di dalam badannya terus menyerang pada organ yang penting seperti hati, buah pinggang dan lain-lain. Apabila terjadi hal yang demikian, ianya sudah terlewat...

Oh ye, tiada ubat untuk memulihkan antibodi tersebut. Hanya ada satu jenis ubat iaitu Steroid (bukan dadah jenis untuk ahli sukan) bagi menekan antibodi tersebut menjadi normal dan seterusnya berhenti menyerang sel-sel yang baik di dalam badan kita.

Hari ke 4 di Hospital Putrajaya, kesihatannya sedikit
terganggu dan perlu dimasukkan air.

Kegemarannya adalah apa-apa yang melibatkan buku dan
warna.

Tetapi itu bersifat sementara. Antibodinya akan kembali aktif dan menyerang semula sel-sel dalam badan kita apabila satu jangka masa yang tak pasti. Mungkin 4 atau 5 bulan selepas itu...

Jadi, orang yang paling hampir dengannya seharian perlu memberi perhatian khusus dan perlu bertindak cepat sekiranya kesihatannya mula menurun.

Aku percaya, Allah melindungi Danial hingga suatu hari nanti boleh melakukan Triathlon, Powerman atau mungkin juga Ironman.

Terkini: Aku baru je pulang dari melawat anak aku di hospital. Pagi tadi Danial ada pembedahan kecil untuk mengambil sampel tisu di bahagian peha. Sampel tersebut perlu dibawa ke Universiti Malaya untuk dianalisa dan akan memberi keputusan dalam masa 7 hari.

Hasil daripada tisu tersebut, doktor akan dapat mengenal pasti dengan lebih terperinci. Selepas itu proses rawatan akan dimulakan secepat mungkin.

Selepas melakukan pembedahan kecil.

Sementara ini, anak aku tidak diberikan apa-apa jenis ubat sehinggalah hasil ujian daripada sampel tisu itu diterima.

Aku harapkan para pembaca blog ini dapat mendoakan kesejahteraan Danial agar sakitnya itu berkurangan dan seterusnya hilang. Manalah tahu suatu hari nanti penyakit Juvenile Dermatomyositis dapat diubati hingga sembuh sepenuhnya.

Danial, kuatkan semangat! Oh, yeah!

PS: Jangan risau. Allah kan ada.

Isnin, 21 Mei 2012

Bro, Bila Lu Mau Update Blog Pahlawan Basikal?


Itulah soalan yang diajukan kepada aku ketika sedang mengayuh basikal. Aku pun cakap yang aku sedang sibuk dengan pelbagai perkara duniawi seperti menaiktaraf basikal, membeli-belah dan bercuti.

Memang itu yang membantutkan aku untuk terus mengemaskinikan blog ini.

4 minggu lepas, aku balik kampung untuk berjumpa dengan rakan-rakan sekampung dan bersembang di kedai mamak sampai 2:30 pagi tentang basikal.

Salah seorang rakan aku tersebut baru sahaja membeli basikal 'road bike' jenama Polygon model Helios 500 dan memerlukan bantuan aku untuk mencari jersey, bib dan kasut di Putrajaya.

Katanya, dia tak tahu benda-benda ni semua dan takut tersalah beli.

Ketika di kampung, aku sempat membeli HTC One X
dengan harga RM2050.

Kecomelannya sama taraf Jessica Alba.

Jadi, aku pun peruntukkan selama 3 jam daripada masa aku untuk mencari barang-barang tersebut di Rodalink Putrajaya.

Kebetulan, Rodalink Putrajaya sedang cuba menghabiskan stok lama dengan harga yang menarik.

Dengan wang RM700 yang rakan aku berikan kepada aku, aku berjaya mendapatkan kasut Shimano model TR50 SPD-SL dan pedal Shimano model SPD SL:

Jumlah keseluruhannya adalah RM457

Sebenarnya kasut tersebut adalah untuk Triathlon. Tapi, disebabkan ianya bertapak karbon dan harganya cuma RM330 sahaja — sudah cukup bagus untuk beraksi cemerlang ketika di atas basikal!

Duit yang berbaki sebanyak RM243 itu pula adalah untuk jersi dan bib dan ianya aku akan cari di Ebay sahaja.

Sebelum aku balik kampung, aku sempat menaiktaraf basikal aku iaitu menukar handlebar 3T alloy dan PRO alloy stem aku kepada jenama PRO model PLT CC karbon. Ianya sepasang dan menelan belanja sebanyak RM740:

Shimano PRO PLT CC Handlebar jenis karbon.

Shimano PRO PLT Stem.

2 minggu lepas pula, aku membawa keluarga aku bercuti di Melaka selama 3 hari 2 malam. Dengan harapan anak-anak aku seronok sepanjang hujung minggu tersebut.

Kota Melaka bersama abang beca.

Ikan bakar buatan orang Melaka.

Minggu lepas, setelah membuat sedikit kajian selama 7 hari tentang 2xu, aku mengambil keputusan untuk membeli baju, seluar dan compression untuk betis di butik 2xu di Mid Valley Megamall.

Memang rezeki aku, ketika aku datang adalah waktu promosi. Seluar aku dapat potongan sebanyak 40%, baju pula 20% dan Compression Calf Guards pula diskaun sebanyak 10%

Butik 2xu di Mid Valley.
Baju, seluar dan compression untuk betis.

Inilah harga keseluruhannya.

Malam itu jugak aku mencubanya. Ketika berlari, barulah aku dapat rasakan erti keselesaan.

Hari Sabtu baru-baru ni, dengan set pakaian 2xu tersebut aku membuat larian sejauh 8 km dan diikuti dengan berbasikal sejauh 30 km. Ini sangat memudahkan aku  —  tidak perlu menukar baju dan seluar sekiranya aku mahu berbasikal selepas berlari.

Oh ye, set pakaian 2xu ini sesuai untuk dibawa untuk berenang, berbasikal dan juga berlari. Atau dalam perkataan lain, ianya adalah pakaian untuk sukan Triathlon.

Itulah kisahnya...

Segala perkara yang aku ceritakan tadi secara ringkas itulah membuatkan aku agak sibuk. Membeli belah, bersukan, bercuti dan menaiktaraf basikal adalah liku-liku perjalan aku sebagai seorang yang menghargai masa, keluarga dan kehidupan.

PS: Duit barang-barang 2xu tu aku pakai dulu duit kelas Viola anak aku memandangkan awek comel kerani kedai Yamaha tu cakap bulan depan baru ada pengambilan baru dan boleh start bayar. Ah, selamattttt...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...