Mukasurat

Selasa, 26 Februari 2013

Rosnani Hassan: Selamat Tinggal...


Hari ini aku ingin cerita sedikit tentang kakak aku iaitu Rosnani Hassan. Beza umur antara kami adalah 12 tahun. Seingat aku ketika aku di sekolah rendah, kakak aku dah habis tingkatan 5 dan kemudian belajar menaip pakai mesin taip kat Medan Kidd, Ipoh.

Medan Kidd dah tak macam sekarang. Dulu tempat ni kiranya kawasan strategik. Kat sinilah tempat orang ramai turun naik bas. Daripada bas buruk-buruk yang masuk setiap pelosok kampung hinggalah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur.

Kalau tak silap aku, ini Medan Kidd. Aku google je. Nanti kalau aku
singgah, aku ambik gambar lain.

Kat Medan Kidd jugak le tempat orang belajar tuisyen, belajar komputer dah jugak belajar menaip.

Kalau tak silap aku, lepas habis belajar menaip, dia dapat kerja kat KL sebagai kerani di agensi Kerajaan. Kalau tak silap akulah. Aku sebenarnya pun tak berapa ingat sangat sebab masa tu aku baru sekolah rendah.

Tak lama lepas tu kakak aku pulang semula ke Chemor dan bekerja di sini. Kalau tak silap, masa tu aku darjah 6. Ketika itu jugak aku diamanahkan oleh mak aku untuk mengambil kakak aku balik dari kerja di pekan Chemor sekitar 5:30 petang.

Aku akan kayuh basikal jenama Raleigh kaler hitam melalui jalan estet sejauh 4 km hingga di simpang jalan besar Pekan Chemor. Kemudian 4 km ketika pulang pula kakak aku pulak kayuh hinggalah sampai rumah.

Dahulunya, kiri dan kanan penuh dengan ladang getah. Jalannya pulak
hanya tanah merah dan lopak-lopak kesan daripada hujan dan tayar lori.

Pernah satu hari tu, sedang kakak aku kayuh basikal dan aku pulak membonceng kat belakang, ada sorang ni yang memang aku kenal cuba mengorat kakak aku. Dia ni penagih dadah tahap sederhana dalam kampung aku. Mamat ni tengah naik motor Honda kapcai lampu bulat sambil mengorat. Akibat kakak aku tak layan, dengan gaya Koboinya konon-konon nak sepak basikal aku. Tapi aku rasa dia gertak je tu. Berani dia terajang basikal aku, cuba tengok!

Pernah jugak terfikir, kalau aku jumpa mamat dadah ni lagi, aku nak sepak side mirror motor dia. Tapi fikir-fikir balik, kalau dia sepak side mirror kereta aku balik, naya je nanti. Sepasang side mirror kereta aku pulak harganya RM1300. Tak berbaloi aku rasa.

Ok, sambung balik... Tak lama lepas tu, aku dah tak tunggu kakak aku kat Pekan Chemor dah. Kakak aku dah naik bas lain yang membolehkan dia turun kat depan Dewan Besar Kampung Cik Zainal. Ianya terletak betul-betul di pinggir jalan utama yang menghala ke Tanah Hitam.

Dengan basikal Raleigh jugak le aku pergi menjemputnya.

Pernah satu hari aku terawal sampai di hadapan dewan tersebut sekitar jam 5:15 petang. Aku tengok kakak aku tak sampai lagi dan aku bengang sambil mengamuk sorang-sorang kat situ dan terus terus patah balik.

Memang perangai aku cukup tak suka kalau menunggu orang. Tu sebab aku tak mau jadi askar. Kalau kena tunggu komunis dalam semak dan komunis tak muncul-muncul, dah tentu aku balik ke markas semula.

Sampai rumah je aku terus cakap kat mak aku yang dia takde kat situ. Dah balik jalan kaki kot aku cakap.

Pekan Chemor.

Mak aku mengamuk dan suruh tunggu kakak aku kat depan dewan tu balik. Cisssss

Nak tak nak, kayuh le aku ke Dewan Besar balik. Elok je aku sampai depan dewan tu, aku nampak kakak aku baru turun bas.

Nyah: Baru sampai ke?
Aku: A'ah, baru sampai.
Nyah: Bas tadi lewat sikit. Tu yang lambat.

Aku diam je. Sampai sekarang dia tak tau yang aku dah balik sebenarnya sambil mengamuk-ngamuk pasal dia lambat.

Lagipun sebenarnya bukan salah dia. Tu sebab aku tak cerita pun. Mak aku dah pesan awal-awal bagitau yang kakak aku mungkin lewat sikit. Disebabkan aku takut cerita kartun kat tv1 yang aku minat melepas, itu yang aku keluar awal dan balik awal.

Sudahnya, kartun ntah ke mana, lagi kena sembur dengan mak aku adalah!

Itulah kenangan-kenangan yang ada dan yang masih aku boleh ingat lagi.

Sejak ada Facebook ni, nampaknya dia mengikuti perkembangan aku. Buktinya kebanyakan apa yang aku pos, dia akan like dan sekali sekala meninggalkan komen.

Di antara komen-komen kakak aku yang sempat aku screenshot.

Boleh aku katakan 80% pos aku di Facebook beliau akan like. Ini bermakna kakak aku ini masih mengambil tahu apa yang aku lakukan di Putrajaya.

Tapi, selepas ini dah tak ada lagi dah like daripada kakak aku. Ini kerana beliau telah meninggal dunia Ahad baru-baru ni akibat Darah Tinggi. Kematian yang sangat mengejut dalam usia 46 tahun yang sebelum ini tiada tanda sakit-sakit yang serius. Ini kerana kali terakhir aku jumpanya pada 2 bulan lepas dan dia sangat sihat.

Tak ada tanda sakit-sakit langsung!

Selepas koma selama 2 hari di Hospital Raja Permaisuri Bainun, beliau meninggal dunia pada jam 8:05 pagi Ahad. Jenazahnya selamat dikebumikan selepas Zohor pada hari yang sama di Kampung Batu Sembilan, Chemor berhampiran dengan kubur arwah bapak aku.


Apa yang boleh aku katakan, hanyalah Al-Fatihah untuk kakak aku yang disayangi. Semoga damai di sana.

3 Trivia
  1. 24hb Februari adalah hari lahir mak aku. Tarikh yang sama juga kakak aku meninggal dunia
  2. 24hb hari Ahad adalah tarikh bapak aku meninggal dunia. Tarikh dan hari yang sama juga kakak aku meninggal dunia
  3. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, kakak aku mengatakan mahu mengambil cuti yang lama untuk berehat
Rosnani Hassan
1966-2013
PS: ...

Isnin, 11 Februari 2013

Kayuhan Musim Cuti Yang Panjang


Gong Xi Fa Chai kepada yang menyambutnya. Cuti kali ni memang lama dan aku tak ke mana-mana. Ada yang pergi bercuti ke pulau-pulau, ada yang balik kampung dan jugak ada yang kayuh basikal beratus kilometer.

Tapi aku? Aku tak pergi mana-mana pun. Kayuh basikal pun puluh-puluh kilometer je sekitar Putrajaya. Tak ada apa yang boleh dibanggakan sangat.

Hari Jumaat lepas pun kayuh dalam 60 km je. Itu pun pasal ada Kayuhan Kesihatan anjuran Friday Night Ride sekitar Putrajaya - Cyberjaya. Kalau tak ada Friday Night Ride ni, mengangkang depan TV lah jawabnya.

Pancit pulak  kat Presint 10, Putrajaya.
*Hak milik Fadzil.

Jumaat 2 minggu lepas tayar aku pancit jugak disebabkan terkena kaca.
Terbang jugak le RM152 lepas 8% diskaun kat KHCycle.

Kayuhan kali ni macam-macam jadi. Maklumlah, makin ramai ahli, makin banyak dagaannya. Dengan tayar pancitnya, rantai basikal terputus dan yang paling tak best adalah salah seorang daripada kami terjatuh kerana bergesel dengan tayar salah seorang di dalam peloton.

Nasib baik ada kereta sokongan ketika kayuhan berlangsung.
Terus bawak pergi hospital.

Lagi 3 km nak sampai, rantai terputus pulak masa mendaki
bukit di Presint 14. Nasib baik ada jurutera basikal tanpa tauliah!

Kayuhan kali ini buatkan perut aku cramp tahap 5. Seingat aku kali terakhir perut aku cramp pada penghujung tahun 2011. Sungguh amatur!

Disebabkan terasa kekecerdasan badan dan mental makin menurun, pukul 8:20 pagi Ahad aku keluar rumah dengan satu tujuan, mahu lakukan kayuhan sejauh 60 km.

Cuaca agak mendung sekitar Putrajaya.

Baru 41 km. Kena kayuh lagi 20 km baru boleh balik.

Ok, lagi 3 km je... Lepas tu baru boleh balik.

Sepanjang kayuhan, angin agak kuat. Cuaca pula agak mendung. Sedikit sebanyak cuaca sebegini banyak membantu aku tatkala badan dah tak secergas seperti tahun lepas.

Beginilah keadaan Putrajaya ketika cuti panjang.
Macam filem zombie pulak aku rasa.

Akhirnya, berjaya juga aku kayuh seorang diri sejauh 62.35 km. Selepas ini, aku mungkin kena lakukan dengan kerap kayuhan solo macam tahun-tahun sebelumnya. Kayuhan solo banyak membantu kekuatan mental dan fizikal aku tau.

Jadi, untuk tahun ini aku kena banyakkan latihan seorang diri; Sekali sekala baru kayuh jarak jauh ramai-ramai.

PS: Berat badan aku asyik 67 kg je. Tak nampak tanda turun pun. Ishhhh!

Khamis, 7 Februari 2013

Danial: Darah Pahlawan


Hari Selasa minggu lepas, aku bersama Encik Danial jogging di sekitar PICC, Putrajaya. Memang sengaja aku ajak waktu malam kerana Danial tak boleh kena cahaya matahari. Ini adalah angkara Dermatomyositis dan doktor melarang Danial berjemur di bawah matahari.

Lagipun kedua-dua belah kaki aku baru sahaja sembuh daripada cedera. Bolehlah aku bawak Danial berlari bersama aku dengan kelajuan yang perlahan.

Sedang berjalan sekejap. Letih katanya...

Macam biasa, kalau berlari beliau akan bercakap tanpa henti. Kalau 30 minit berlari, 30 minitlah dia akan bercerita tentang hal-hal agama, UFO dan beberapa perkara yang jarang kita fikir.

Boleh tahan jugak dia lari tanpa henti sejauh 2 km  termasuk mendaki bukit sekitar PICC. Bukan kerja senang tau!

Kitorang naik puncak PICC yang tinggi sekali.

Puncak PICC. Danial ajak lumba lari masa turun bukit.

Larian sejauh 4 km berjaya ditamatkan dengan kadar kelajuan 8'25"/KM selama 33 minit 48 saat.

Disebabkan aku seronok berlari dengan Danial, aku ajak berlari lagi pada Selasa dua hari lepas. Ketika berlari, Danial suruh aku cerita pasal Zombi atau UFO atau pasal Nabi Muhammad. Aku pilih topik Nabi Muhammad.

Sedang aku bercerita sambil melintas jalan di persimpangan lampu isyarat menghala ke Pullman, Danial tergolek atas jalan tar. Terus aku mengangkat Danial dan kelihatan luka pada lututnya.

Perlahan-lahan darah meleleh. Agak banyak jugak le darah keluar dan aku terus menekup luka tersebut dengan harapan darah berhenti keluar.

Darah Danial hampir kering kat tangan aku.

Dalam seminit macam tu le aku tengok darah dah berhenti meleleh dan aku terus patah balik rumah sejauh 1.4 km.

Tension betul!

Luka agak dalam jugak le.

Di rumah, ketika aku mencuci luka Danial, ternampak kesan pembedahan di pehanya sepanjang 10 cm.

Ayah: Releks. Masa bedah ni dulu lagi sakit.
Danial: Masa bedah Danial tidur. Tak sedar pun.
Ayah: ...

Selepas cuci dengan Dettol.

Sementara tunggu luka Danial sembuh, aku perlu sambung latihan seperti biasa. Tahap kecerdasan aku sekarang ini ditahap yang sungguh kesian. Kuat makan dan malas adalah punca utama.

PS: Isnin minggu hadapan dengar cerita laluan jahanam yang pernah aku ceritakan sebelum ini bakal berlangsung. Ntah apa nasib aku...

Isnin, 31 Disember 2012

Susurmasa 2012: Hidup Ini Sangat Menarik!


Hari ini adalah hari penutup bagi tahun 2012 dan aku berjaya melakukan kayuhan sejauh 86 km di dalam Putrajaya hingga Cyberjaya sebanyak dua pusingan. Cuaca agak romantik — redup hingga ke tengahari.

Dengan cuaca yang agak dingin anginnya, rugi kalau tak kayuh. Lagipun, esok dah masuk 2013. Kalau tak ada kayuhan penutup, rugilah!

PICC, Putrajaya. Mendung dan segar sepanjang hari.

Sepanjang tahun 2012, sebanyak 26 pos cerita yang berjaya aku tulis dalam blog ini. Bukan kerja senang tau. Itu belum masuk artikel yang aku tulis separuh jalan dan aku delete kalau rasa cerita aku ntahapaapa.

Okey, mari imbau susurmasa sepanjang 2012 yang aku rasa sesetengah cerita itu ada dramatiknya...

1 Januari 2012 - Pembukaan Tahun 2012 yang Ngeri
Seramai 17 Pahlawan dari setiap suku masing-masing sertai kayuhan ke PD yang sepatutnya jarak adalah 135 km je. Tapi, aku sesat sampai ke Nilai 3 jadikan jaraknya menjadi 147 km. Dah le sesat sorang-sorang, habis kayuh pukul 4 petang pulak tu. Itu belum masuk bab pandangan serong orang ramai sepanjang pukul 2 - 4 petang!

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari

Kayuhan Tahun Baru 2012 ke Port Dickson.

22 Februari 2012 - Tragedi Botol Air
Macam biasa, setiap hari Rabu di malam harinya akan ada kayuhan sejauh 42 km yang laluannya melewati Putrajaya hingga ke Cyberjaya. Kelajuan adalah maksima dan degupan jantung boleh mencecah 193 bpm. Disebabkan keletihan yang melampau, salah seorang daripada kami jatuh ketika hendak meletakkan botol air, pada masa yang sama hilang kawalan dan terjatuh.

Cerita penuhnya ada di sini: Wednesday Night Ride: Tragedi Botol Air

Tangan kiri Zuraidy patah dan dikejarkan ke hospital Putrajaya.

05 Mac 2012 - Persiapan Kuantan Century Ride
Semakin hampir KCR, semakin kurang kayuhan aku. Jadi, aku di dalam keadaan terdesak waktu itu. Destinasi diputuskan iaitu ke Lenggeng sejauh 111 km. Buat pertama kalinya kedua-dua belah peha aku cramp bagai nak gila. Memang azab! Terpaksa minta bantuan Halim untuk hantarkan aku pulang ke rumah.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke Lenggeng: Inilah Kekejangan yang Sebenar!

Pelanggan tetap kat kedai kopi Bukit Mandum.

25hb Mac 2012 - Kuantan Century Ride
Hari besar sudah tiba. Ini le upacara pertama Century Ride dalam seumur hidup aku. Aku tak pernah kayuh 160 km sebelum ni. Jadi, aku kena pastikan segalanya menarik dan boleh aku eksyen dengan member-member aku kat kampung nanti. Walau apa pun, ini adalah pengalaman pertama aku yang paling menarik dalam 2012.

Cerita penuhnya ada di sini: Kisah Kuantan Century Ride sejauh 160 km

Ini buktinya untuk orang kampung aku. Karang kata aku beda'ah pulak.

Jun, Julai dan Ogos 2012 - Dugaan Besar
Ini adalah tentang anak aku iaitu Danial yang berumur 7 tahun. Bertangan kidal dan banyak membaca, melukis dan bermain game Ipod Touch ketika di rumah. Disahkan menghidapi Juvenile Dermatomyositis iaitu serangan anti-body sendiri terhadap sel-sel dalam badan seperti kulit, otot dan hati. Segala aktiviti sukan aku terhenti serta merta dan menumpukan 100% perhatian ke atas anak aku. Ya, ini saat paling sukar aku dan hanya 20% sahaja aku ceritakan di sini, Danial.

Danial ketika pembedahan kecil di peha kiri.


September 2012 - Persiapan Powerman
Ini pun waktu sukar aku jugak. Selepas melahap menu-menu hari raya, kena pulak Powerman bakal menjelang tiba. Dengan kurangnya latihan lari dan basikal, aku perlu tempuh Powerman dua bulan lagi. Ini sangat kejam! Dengan berat badan daripada 62 kg meningkat naik kepada 68.5 kg. Sedikit sebanyak mengganggu prestasi aku dan tahap kecergasan aku di tahap sangat kasihan.

Latihan Powerman tak kira siang atau malam, harus dilaksanakan juga.

21 Oktober 2012 - Persiapan Powerman, Kayuhan ke Ampangan 2
Last minit training untuk Powerman yang berbaki 11 hari je lagi. 9 orang Pahlawan menyahut cabaran 127 km ke Ampangan 2, Negeri Sembilan. Boleh dikatakan kayuhan ini sangat menarik. Kelajuan yang sederhana dan lancar menjadikannya menarik. Tahap kecergasan aku walaupun tidak seperti sebelum ini, tapi sudah cukup syarat untuk menyertai Powerman nanti.

Cerita penuhnya ada di sini: Para Pahlawan Basikal Beraksi di LEKAS

Aksi ini masuk dalam majalah Roda Pantas tau!

04 November 2012 - Misi Powerman Berjaya!
Walaupun berat badan aku agak sipi-sipi ISO Compliance, aku berjaya juga memegang gelaran Powerman. Aku akui, ini bukan kerja mudah. Dengan tahap kecerdasan yang sederhana, aku perlu menamatkan upacara kejam edisi 2012 ini. Lari 11.4 km, kemudian basikal 64 km, dan kena lari balik 11.4 km. Fuh, ini bukanlah waktu untuk kontrol hensem!

Cerita penuhnya ada di sini: Saya Sudah Powerman, Anda Bila Lagi?

Ada lagi 5.4 km berbaki.

13 November 2012 - 161 km Melalui Bukit Tangga
Baru 19 hari penangan Powerman, ada azab sedang menanti. Ingatkan dah habis, rupa-rupanya ada lagi. Sepanjang 161 km, banyak bukit-bukit terpaksa dilalui. Kampung Broga, Kampung Mandum, Bukit Tangga, Genting Peras, habis kena tarah. Hampir cramp jugak kaki ni. Mana taknya, 6 jam 30 minit dok kayuh basikal. Tahap kesukaran aku letakkan di nombor 2 selepas Powerman.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan Jahanam Sejauh 161 km di Hari Deepavali

Kayuhan Jahanam aku gelarkan.

16 Disember 2012 - Membeli Treadmill atas alasan untuk Kekal Cerdas
Dengan jumlah keseluruhan RM2050, aku berjaya mendapatkan treadmill terpakai. Nak beli baru, mahal sangat. Jadi, dapat yang terpakai pun jadilah. Ini adalah untuk menjayakan misi tahun 2013. Aku perlu mengembalikan berat badan seperti awal tahun ini dan kelajuan larian aku dapat dipulihkan. Ini adalah perkara yang agak sukar; tetapi boleh dilaksanakan. Cuma berikan aku sedikit masa...

Cerita penuhnya ada di sini: Treadmill Aku Datang

Treadmill untuk misi-misi penting sepanjang 2013.

Ya, terima kasih aku ucapkan kerana sudi menyelusuri susurmasa sepanjang 2012 bersama aku. Ianya bermula dengan bagus dan dipertengahan jalan diuji dengan hebat; dan diakhiri pula dengan cerita-cerita menarik.

Tahun 2013 aku perlu berusaha untuk jadikan perjalanan yang lebih menarik dan seterusnya berkongsi cerita dengan anda semua.

Selamat Tahun Baru 2013!

PS: Hidup ini sangat hebat dan menarik. Alhamdulillah.

Rabu, 19 Disember 2012

Treadmill Aku Datang


Nampaknya, bulan Desember ini aku agak kurang aktiviti sukan di luar rumah. Kurang bukan bermaksud tiada langsung — cuma tidak agresif seperti bulan-bulan yang sebelumnya. Jadi ini membuatkan bulan ini kekurangan cerita untuk pembaca blog ini.

Berat badan aku pulak daripada 63 kg terus meningkat kepada 67 kg dan ianya sedikit mengganggu ketika upacara berlari. Ini juga menyebabkan beberapa kali Vastus Medialis aku cedera; mungkin disebabkan berat badan bertambah dan ianya membebankan otot-otot kaki aku.

Untuk mengurangkan impak jalan tar dan seterusnya mengekalkan tahap kecerdasan, aku pun membeli treadmill terpakai daripada rakan pejabat aku:

Treadmill jenama Horizon Fitness model Omega GT tahun 2011.

Kehebatan treadmill tersebut boleh baca di laman web Horizon Fitness.

Harga yang perlu aku bayar adalah RM1500 dan boleh bayar 2 atau 3 kali... hehehehe... Ditambah pula  dengan RM550 iaitu kos penghantaran oleh Johnson Fitness.

Aku lihat 80% kondisinya masih lagi elok dan mengikut kata Juruteknik yang memasang treadmill tersebut, dengan harga RM1500 ianya agak murah kerana harga asalnya ada RM4000 hingga RM5000.

Juruteknik daripada Johnson Fitness sedang menyelenggara treadmill aku.

Aku tak pernah lari atas treadmill sepanjang 34 tahun aku bernafas di atas muka bumi ini. Apa yang boleh aku katakan, lari atas treadmill lebih penat dan bosan berbanding lari di atas jalanraya.

Setakat ini paling lama aku berlari atas treadmill adalah 1 jam 10 minit tanpa henti. Nasib baik ianya menghadap tv dan bolehlah berlari sambil tengok filem Istanbul Aku datang. Tak adalah bosan sangat!

Papan pemuka Horizon Fitness model Omega GT 2011.

Dengan adanya treadmill ini, bolehlah aku lari ketika hari hujan dan larian jarak pendek sebelum bersiap ke pejabat.

Walaupun aku ada alat anti-sosial ini, tidak bermakna aku mengabaikan larian di atas jalan tar. Pada aku, lari di luar rumah lebih seronok, lebih nikmat dan lebih senang.

Sejak akhir-akhir ini, aktiviti larian mendominasi statistik DailyMile aku.

Ini juga mendorong aku menaiktaraf akaun Dailymile.com kepada versi PRO dengan bayaran RM22.00 sebulan. Boleh aku katakan yang ini adalah sebahagian daripada motivasi aku untuk tahun 2013 yang bakal tiba nanti.

Tiada lagi marathon 10k pada 2013 - Segalanya 21k dengan catatan masa sebaik mungkin!

PS: Full Marathon? Tahun 2014 kot.

Selasa, 20 November 2012

Bebaskan Palestin: Tabung A2G Emergency Relief



TABUNG A2G EMERGENCY RELIEF
AQSA SYARIF BERHAD

Hulurkan sumbangan melalui akaun:
Maybank Islamic: 5515 7500 4299
Bank Islam: 1 2092 0100 3490 4

PS: Lidah jadi kelu. Nak melawak pun takde mood.

Rabu, 14 November 2012

Kayuhan Jahanam Sejauh 161 km di Hari Deepavali


Kayuhan cuti Deepavali kali ini memang sangat mencabar. Cadangan asal kayuhan mestilah sejauh 150 km lebih. Bukit pula adalah optional. Ada pun takpe, tak ada pun lagi bagus.

Ye lah, mustahil le tak ada bukit. Kalau tak ada bukit, tak adalah penyeri kayuhan.

Tapi, bukit-bukit kali ini bukan lagi sebagai penyeri kayuhan. Bukit-bukit ini aku sifatkan sangat melampau dan sukar dimaafkan!

Okey, macam biasa, lagi dua hari kayuhan bakal berlangsung akan adalah pengumuman dalam group facebook "Tri Paku Night Ride!":

Lain-lain perkara boleh percaya. Tapi yang "Waktu kayuhan" tu
usah percaya sangat

Biasanya, tak lebih 10 orang yang akan turut serta. Selebihnya akan ada komen-komen seperti pergi kenduri kawin, balik kampung, merajuk dan juga kayuh kat tempat lain.

Pada asalnya, 11 orang jugak le yang kata nak ikut kayuhan kali ini. Tengok-tengok muka 7 orang ini jugak:

Muka ini jugak le yang menyahut cabaran kali ini.
*Hak milik Jaja

Seperti biasa, tempat berkumpul adalah di Presint Diplomatik. Disebabkan ada yang lewat, kayuhan dimulakan jam 8:00 pagi. Agak lewat, tapi misi harus diteruskan seperti yang dirancang.

Kali ini ada kereta sokongan akan mengiringi kami semua sepanjang perjalanan. Ini sudah bagus. Aku langsung tak tahu tentang perkara ini. Dan kereta sokongan ini pula dipandu oleh Jaja.

Oh ye, laluannya adalah Jalan P14 Putrajaya, Sungai Merab, Jalan Bangi Lama, Jalan Semenyih, Kampung Broga, Kampung Mandum, Bukit Tangga, Kampung Ulu Klawang, Titi, Genting Peras, Hulu Langat dan terus pulang ke Putrajaya melalui Lebuhraya SILK.

Dimulakan dengan bacaan doa selamat.
*Hak milik Jaja

Yang baju Saxo Bank kaler merah tu jangan main-main. Hari tu langsung
tak ada cramp!
*Hak milik Jaja

Ketika keluar daripada Putrajaya, kayuhan santai sahaja. Kelajuan hanya sekitar 25 - 28 km/j. Sepanjang laluan Sungai Merab, jalan agak landai berbukit. Lama-lama terasa jugak letihnya.

Ketika di Jalan Bangi melewati Agensi Nuklear Malaysia, kelajuan ditingkatkan kepada 28 - 35 km/j hingga susur keluar daripada Jalan Bangi Lama.

Ketika di Jalan Semenyih menuju ke Bukit Broga, kayuhan sekitar 28 - 32 km/j. Daripada Broga ke Lenggeng seperti tersedia maklum, permukaan jalannya agak beralun. Meter pula sudah pun mencecah hampir 60 km ketika tiba di pekan Lenggeng.

Sesi mendaki Bukit Mendum.
*Hak milik Jaja

Aku ingatkan ada le berhenti di kedai kopi untuk acara makan-makan seperti geng Jami Bike Centre selalu buat. Rupanya, tak ada. Nak atau tak, tanpa rehat yang secukupkan, upacara mendaki Bukit Mendum harus dilakukan secepat mungkin.

Aku tak pasti berapa jauh Bukit Mendum sebenarnya. Anggaran aku sekitar 1 km. Walaupun pendek, bukitnya agak tegap berdiri. Meter aku sekitar 8 - 10 km/j ketika mendaki — sangat perlahan dan terasa seperti mahu mengelupur sambil mengayuh pedal.

Lepas mendaki bukit, breakaway siapa dapat air Coke dulu.
*Hak milik Jaja

Ketika menuruni Bukit Mendum, meter aku mencecah 75 km/j. Hah, bayangkan masa mendaki tadi macam mana. Turun bukit pun kelajuan hampir mencecah 80 km/j. Kiranya kayuhan yang berkelajuan 8 - 10 km/j tadi tu dah kira sangat laju tau! Jadi, jangan banyak komplen kenapa kayuhan aku macam mana boleh perlahan sangat.

Ok sambung balik...

Sebaik sahaja sampai di persimpangan Jalan Jelebu, aku nampak beberapa kawan aku sedang menikmati air Coke. Rupa-rupanya Jaja bawak air coke, milo, air mineral, rivive, 100 plus, pisang dan kuih-muih tradisional seperti karipap. Memang rasa macam syurga sekarang ni!

Nasib baik ada kereta sokongan sepanjang kayuhan ni.
*Hak milik Jaja

Setelah semua sudah tiba daripada mendaki Bukit Mendum, kami semua menyambung perjalanan yang berbaki lagi 89 km dengan menuju ke arah Bukit Tangga.

Aku tak pasti berapa jauh Bukit Tangga. Anggaran aku sekitar 10 km. Siapa yang pernah kayuh basikal naik bukit ni taulah azabnya macam mana.

Berhenti untuk berkumpul sehingga semua tiba sambil minum air Coke.
*Hak milik Jaja

Selepas tamat beraksi di Bukit Tangga, kami semua menuju ke Genting Peras melalui jalan Kuala Klawang dan Titi.

Genting Peras atau lebih dikenali dengan nama Genting Peres adalah penutup segala bukit-bukau untuk hari ini. Bunyinya seakan berita gembira. Berita gembira apa ke bendanya. Sekarang ni dah 100 km lebih pun kena panjat bukit lagi.

Sedang mendaki Genting Peras.
*Hak milik Jaja

Nak tak nak, kena le jugak kayuh pelan-pelan sejauh 14 km. Empat orang lagi dah jauh kat depan. Belakang aku ada lagi 2 orang yang tercedera.

Dan kat sini boleh pulak cramp kat peha kiri aku. Nasib baik cramp sekejap je dalam seminit lebih.

Tunggu sekejap kat puncak Genting Peras. Ada dua orang lagi sedang
mendaki jauh di belakang.
*Hak milik Jaja

Kat sini aku agak mental dan mata aku terkebil-kebil seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku sedang lalui. Filem James Bond pun tak macam ni — sangat ngeri dengan permukaan jalannya tiada sikit pun ada sifat belas kasihan terhadap aku.

14 km tu bukannya dekat. Turun bukit tu lainlah ceritanya. Ini cerita tentang kayuh basikal sambil mendaki bukit sejauh 14 km. Okey?!

Ketika ini aku perhatikan jam sudah dua petang lebih. Langit sekitar Hulu Langat sudah gelap dan kemungkinan hujan.

Kami semua terpaksa turun daripada puncak Genting Peras secepat mungkin kerana takut tanah runtuh kat tengah-tengah jalan nanti. Ketika menuruni bukit, ada batu besar dah pun selamat jatuh kat laluan kiri. Aku rasa baru je jadi ni...

Batu besar jatuh dari atas bukit.
*Hak milik Jaja

Lagi beberapa km nak tiba batu 14, Hulu Langat, seorang rakan kami terpaksa menaiki kereta kerana kecederaan lututnya datang kembali. Ketika ini perjalanan sudah pun sejauh 120 km.

Sepanjang di batu 14, Hulu Langat kami kayuh dalam hujan. Hujan berhenti ketika kami mula memasuki lebuhraya SILK dan terus menuju ke Presint 14, Putrajaya.

Ketika memasuki lebuhraya Cheras - Kajang menuju ke lebuhraya SILK.
*Hak milik Jaja

Berjaya juga akhirnya!

Kami semua selamat tiba di Presint 14, Putrajaya tanpa musibah besar. Kayuhan kali ini pada aku memang sangat mencabar. Terlalu banyak bukit yang tinggi dan jauh perlu ditempuhi.

Kesimpulannya, kayuhan sejauh 161 km selama 6 jam 30 minit akhirnya berjaya dilakukan. Terima kasih untuk Jaja dan anak teruna Norman yang sanggup mengiringi dengan kereta di sepanjang kayuhan kali ini.

Dan, cerita ini mungkin boleh bertahan selama 11 keturunan yang boleh diceritakan turun temurun.

PS: Aku tak nak dah buat keje macam ni lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...