Mukasurat

Rabu, 22 Mei 2013

Kayuhan Extra Jahanam Edisi Mini KCR 2013


Esok Ahad, 19/5/2013. Ride Broga Loop. Mula dari Putrajaya Persint 14 - Hulu Langat bt 18 - Genting Peras (Perez) - Kuala Klawang - Bukit Tangga - Bukit Mendum - Lenggeng - Semenyih - Bangi Lama - Persint 14. Anggaran 160 km. Kumpul pukul 7.00 pagi. Golek 7.30 pagi.
Itulah bunyi pengumuman di dalam Facebook Group NOGLB pada hari Sabtu lepas. Dan disebabkan status inilah aku kelam kabut pulang ke Putrajaya semula pada pukul 6:30 petang Sabtu itu jugak. Walhal, aku tiba di Chemor, Perak jam 3:15 petang untuk menghantar isteri dan anak-anak aku bercuti seminggu di kampung.

Baru melepasi Pekan Chemor dan sedang menuju ke lebuhraya
Utara - Selatan.

Disebabkan kelam kabut pulang ke Putrajaya semula, aku terlupa untuk minum air yang banyak sepanjang hari. Sedangkan esok hari hendak pulun 160 km.

Ini tidak boleh jadi...

Setiba di Putrajaya, aku singgah di Farmasi Guardian di Presint 8 untuk membeli ORS, Power Gel dan ubat cirit. Aku ni dah 3 hari sakit perut akibat jamuan percuma tengahari di pejabat hari Khamis lepas.

ORS adalah satu minuman tambahan yang wajib sehari sebelum kayuhan
jarak jauh.

Kebetulan sebelah farmasi ada Domino's Pizza. Akibatnya:

Kena makan jugak malam tu. Kalau tak, esok pagi tak larat nak kayuh.

Aku sampai rumah pukul 9:45 malam. Letih jugak le. Pukul 11:00 malam aku kena paksa tidur untuk mengelakkan tertidur masa kayuh esok hari.

Cabaran Mini KCR 160 km
Aku pernah ceritakan Kayuhan Jahanam pada tahun lepas. Aku harapkan azabnya tak seteruk Kayuhan Jahanam seperti yang kami semula pernah lalui. Lagipun 14 orang yang sudi menyahut cabaran kali ini berbanding 7 orang pada tahun lepas. Bezanya tak ada kereta sokongan mengiringi sepanjang kayuhan berlangsung.

Bersiap sedia semua!
Bersama Dogma Think2 Movistar.

Bacaan doa oleh Kapten Movistar.
*Hak milik Fadzil.

Jam 7:45 pagi, kami semua mula bergerak ke Sungai Merab seterusnya memasuki lebuhraya Cheras - Kajang untuk menuju ke Batu 18, Hulu Langat.

Sedang meneka siapa yang akan cramp dulu.
*Hak milik Fadzil.

Sedang menuju keluar daripada Putrajaya.
*Hak milik Fadzil.

Keretapi Tanah Melayu.
*Hak milik Fadzil.

Diawal kayuhan, aku tak ada rasa kaki seakan keras seperti sebelumnya. Mungkin dalam minggu ini jumlah kayuhan aku sudah agak cukup iaitu 184 km. Yang lain-lain pun nampak steady je aku tengok. Harap-harap semua steady sampai habis kayuh.

Tiba di kaki bukit Genting Peras sekitar jam 9:20 pagi dengan kadar kelajuan 30 km/j. Tunggu yang lain-lain lebih kurang 5 - 10 minit sekejap dan baru kayuh menuju ke puncak sama-sama. Tiba di puncak lebih kurang 9:55 pagi.

Tengah tunggu yang lain-lain sebelum mendaki Genting Peras.
*Hak milik Fadzil.

Sedang mendaki, ada penunggang motosikal terbabas. Beberapa orang
daripada kami tolong tarik motor keluar dari semak.
*Hak milik Fadzil.

Sedang menunggu 3 orang masih di belakang — tengah menolong
Mat Rempit yang terbabas.

Selepas semua dah ada, kami pun menuju ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Kelajuan sederhana sekitar 28 km/j - 33 km/j. Akibat terlampau lama lepak puncak Genting Peras, kaki pun dah keras. Kelajuan 28 km/j tu pun dah rasa macam nak gantung basikal.

Aku dah pesan awal-awal, kalau jumpa kedai tepi jalan kita singgah. Aku dah terbayang-bayangkan air Coke campur garam dalam gelas berisi ketulan ais.

Nasib baik dalam 17 km di hadapan ada kedai makan tepi jalan. Fuhhhh, selamat!

Sambil meletak helmet, beliau menceritakan pengalaman beliau ketika
menjadi Penari Kebudayaan di Istana Budaya 15 tahun dahulu.

Sebenarnya dua tin Coke aku bedal.

Suasana kedai kecik tepi jalan dah serupa kenduri kawin. Bezanya kenduri kawin tak ada menu nasik lemak, Coke, limau ais dan menu-menu pelik lain.

Lepas bedal macam-macam menu dalam 20 ke 30 minit, kitorang bergerak menuju ke arah Bukit Tangga. Selain nama Bukit Tangga, ada yang menggelarnya dengan nama Jeram Toi atau Broga Betina. Tak kisah apa pun namanya, ianya masih tetap bukit yang jauhnya sekitar 3 km.

Berguling di Atas Rumput
Ketika lagi 1.5 km nak sampai kaki Bukit Tangga, terjadinya perkara yang paling tak best. Dua daripada kami mengalami kemalangan yang mengakibatkan salah seorang daripadanya iaitu Norman patah pergelangan tangan dan seorang lagi namanya Anas mengalami patah tulang selangka.

Cuaca tengah panas waktu tu.

Kronologinya begini:
  1. Lagi beberapa km nak sampai Bukit Tangga, Norman tarik dengan kelajuan 30 km/j sekitar satu hingga dua km.
  2. Dah puas tarik kawan-kawan yang jadi cendawan kat belakang, Norman pun ke belakang dan kebetulan aku berada dua dari belakang.
  3. Ketika itu belakang aku pula Anas.
  4. Tanpa sedar aku mengelak lubang kecil di atas garisan putih di tepi jalan.
  5. Ketika aku mengelak lubang inilah terjadinya insiden tersebut; wheelset Norman tersangkut pada rear derailleur (RD) aku dan terus jatuh.
  6. Sebaliknya, aku tidak jatuh dan tidak rasa apa-apa melainkan berasa beban pada tayar belakang aku.
  7. Ianya berlalu pantas – ketika aku rasa ada beban pada tayar aku dan bunyi seperti besi berlaga pada tayar aku. Aku sangkakan tayar aku tercabut.
  8. Pada masa yang sama juga aku dengar Norman menjerit. Aku toleh ke belakang tengok Norman dan Anas dah berguling atas rumput tepi jalan.
  9. Difahamkan, ketika Norman jatuh, Anas tak sempat mengelak lalu melanggar rusuk Norman.
Nasib baik ada sepasang suami isteri berada di belakang kami.
Terus beliau telefon ambulan. Terima kasih untuk beliau sekeluarga!

Dalam keadaan macam ni, aku pun tumpang panik sekejap.
*Hak milik Fadzil.

Selepas ambulan bawak Norman dan Anas ke hospital berdekatan, kitorang terpaksa telefon rakan terdekat untuk bantuan — Tolong bawakkan dua basikal yang cedera parah pulang ke Putrajaya.

Salah seorang daripada kami iaitu Zul bijak mengambil kesempatan untuk tumpang sekaki balik ke Putrajaya dengan menaiki kereta.

Sedang menunggu kereta sokongan dari Bangi dan Serdang.
*Hak milik Fadzil.

Sementara itu kami semua teruskan perjalanan menuju ke Bukit Tangga yang hanya 1 km di hadapan; Dan meninggalkan Zul untuk menjaga basikal yang cedera tadi hingga bantuan tiba.

Ketika mendaki Bukit Tangga, baru aku perasan yang rear derailleur (RD) tak boleh naik ke cassette 9 dan 10. Hanger bengkok akibat perlanggaran dengan basikal Norman.

Ini bermakna aku perlu mendaki Bukit Tangga dan Bukit Mendum dengan cassette ke-8.

Masak!

Walau bagaimana pun, aku berjaya jugak naik Bukit Tangga dengan kelajuan 8 - 11 km/j. Tapi, tak boleh senyum sambil kayuh.

Rear derailleur calar dan hanger bengkok.

Seterusnya, di hadapan adalah Bukit Mendum. Ini lagi jahanam! Tak silap aku lagi tinggi daripada bukit Tangga.

Aku dah pesan awal-awal kat Jaja, kalau aku lambat maknanya aku tolak basikal.

Tapi macam biasa, hero dalam blog aku ni adalah diri aku sendiri. Mana mungkin heronya orang lain. Blog aku, heronya kena lah aku jugak.

Aku berjaya naik Bukit Mendum dengan cassette 8 sahaja. Walaupun perlahan dengan kelajuan sekitar 6 - 9 km/j sahaja. Tapi aku takde lah sampai menolak.

Sebelum naik Bukit Mendum. Sedang menunggu dua orang lagi di belakang.

Ada yang cadang supaya aku menyerah kalah dan turut sama naik kereta.
*Hak milik Fadzil.

Selepas turun dari Bukit Mendum, kami semua berhenti singgah di kedai makan tepi jalan. Ketika ini jam sudah pun menunjukkan pukul 2:20 petang.

Tak tau kenduri sapa pulak kali ni.

Siapa nak power, boleh makan tauhu bakar. Terbukti pada hari tersebut
bahawa sumber tenaganya seperti suntikan steroid.

Ada lagi lebih kurang 60 km berbaki perlu ditamatkan. Jam 2:50 petang, kami semua teruskan perjalanan menuju ke Putrajaya melalui Universiti Nottingham dan seterusnya ke arah Semenyih.

Di Stesen Petronas Semenyih.

Ketika di Bangi Lama, ada yang cramp sampai tak boleh nak kayuh. Nasib baik ada kereta sokongan ikut dari belakang dan terus naik kereta; Dengan harapan dapat bersenang lenang sambil ditemani radio dan penghawa dingin.

Kami semua tiba di Presint 14, Putrajaya jam 4:40 petang dengan kayuhan sejauh 159 km. Kayuhan kali ini tidak le seteruk Kayuhan Jahanam di hari Deepavali tahun lepas. Tapi, apa yang menjadi cabaranya adalah jatuh basikal dan patah tulang, ahli peloton semakin kurang, cuaca panas, bukit-bukit yang tinggi dan juga rear derailleur (RD) aku rosak.

Kalori habis dekat 4000 cal. Kena ganti balik kalori yang hilang dengan
Beriani Pakistan Kambing disulami dengan Kari Kambing.

Semangat tolong menolong juga terserlah di sepanjang kayuhan ini. Daripada menolong Mat Rempit terbabas hinggalah membantu rakan-rakan sendiri jatuh dan tercedera.

Akhir sekali, semoga Norman dan Anas pulih secepat mungkin daripada kecederaan.

PS: Sejak bulan Mei hinggalah ke hari ini, aku sangat sibuk dengan kerja pejabat. Banyak latihan basikal untuk Kuantan Century Ride 2013 terpaksa aku skip. Macam manalah nasib aku masa 160 km kat Kuantan nanti...

PPS: Penangan 159 km ini mengakibatkan cirit-birit yang aku derita selama 4 hari hilang tanpa dikesan pada hari yang sama jugak.

Versi Kemaskini:
Aku tulis blog ni agak kelam kabut jugak le. Ada bahagian penting dalam cerita ini aku langkau demi perbuatan aku menulis blog di pejabat tidak dikesan oleh pihak bertanggungjawab.

Bahagian penting yang dimaksudkan adalah Azwar yang kayuh berseorangan mengambil keputusan mengikut kami ketika bertembung di puncak Genting Peras. Dan kemudiannya, ketika di Lenggeng beliau patah balik melalui jalan yang sama ke Genting Peras untuk pulang ke Puncak Jalil.

Beliau juga yang memangku tangan Anas hingga ambulan datang.

Begitu juga tentang Faizal Maat, Komeng dan Bokat yang datang bagi misi menyelamat basikal yang cedera parah. Faizal Maat juga tolong bukakan kasut salah seorang daripada kami ketika di atas basikal yang sedang kekejangan kedua-dua belah peha.

Oh, mereka juga Pahlawan di sebalik belakang tabir dan turut memberi sumbangan besar kepada kemajuan hobi sukan berbasikal Malaysia.

Bak kata Angelina Jolie - "The Hidden Heroes".

Terima kasih daun keladi untuk mereka ini.

Ahad, 17 Mac 2013

Set Jersi NOGLB @ Pahlawan Basikal


Semalam hari Sabtu, kami berempat ke Ciclista Sdn Bhd yang terletak di TTDI Shah Alam — Hanya satu tujuan iaitu ingin merialisasikan jersi rasmi kami "Putrajaya Night Ride" edisi khas Pahlawan Basikal.

Jersi Putrajaya Night Ride (NOGLB) edisi Pahlawan Basikal

Kalau ada bajet lebih boleh beli bib sekali.

Pada awal perancangan, hanya jersi sahaja. Tetapi, ada juga di antara kami semua mahukan bib sekali — Erti kata lain, mahu nampak Pro bila depan awek-awek sekitar Putrajaya.

Jadi, kami berempat yang tercangak kat dalam kedai Ciclista pun mengambil keputusan alang-alang buat, biar buat sekali bib.

Oh ye, konsep, warna dan idea hasil daripada perbincangan ramai melalui What's App Group. Dalam What's App Group ada 30 orang. Aku pulak ditugaskan mengolah ke dalam komputer idea-idea tersebut.

Ini bos besar. Kalau dalam filem, hisap cerut. Kalau realiti sebenar,
makan ais krim je.

Sedang menjalankan tanggungjawab besar — Pilih kain.

Isu pemilihan kain dalam perbincangan.
*Hak milik Jaja

Setakat ini sudah 35 orang menempah jersi Putrajaya Night Ride edisi Pahlawan Basikal. Hujung bulan ni pembayaran penuh harus diselesaikan dan bulan depan bolehlah bergaya dengan penuh kehenseman.

Arif, pereka grafik Ciclista sedang menyumbangkan khidmat terbaik beliau.

Proses melihat contoh-contoh jersi yang sudah siap.

M Kumaresan dan Shahirudeen pemilik Ciclista sedang berdialog
samada jersi kaler pink sesuai atau tidak dipakai oleh lelaki tulen.

Oh ye, harga sehelai jersi adalah RM160. Kalau set jersi dan bib pula RM300. Jangka siap selewat-lewatnya pertengahan bulan 5 iaitu sebelum Kuantan Century Ride 160 km.

Apa yang aku boleh simpulkan di sini, perkhidmatan Ciclista memang terbaik. Layanan diorang sangat bagus dan khidmat rundingannya pulak sangat membantu.


PS: Aku baru lepas kayuh basikal sorang-sorang dalam Putrajaya hinggalah ke Cyberjaya. Letih tak hilang lagi ni...

Selasa, 26 Februari 2013

Rosnani Hassan: Selamat Tinggal...


Hari ini aku ingin cerita sedikit tentang kakak aku iaitu Rosnani Hassan. Beza umur antara kami adalah 12 tahun. Seingat aku ketika aku di sekolah rendah, kakak aku dah habis tingkatan 5 dan kemudian belajar menaip pakai mesin taip kat Medan Kidd, Ipoh.

Medan Kidd dah tak macam sekarang. Dulu tempat ni kiranya kawasan strategik. Kat sinilah tempat orang ramai turun naik bas. Daripada bas buruk-buruk yang masuk setiap pelosok kampung hinggalah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur.

Kalau tak silap aku, ini Medan Kidd. Aku google je. Nanti kalau aku
singgah, aku ambik gambar lain.

Kat Medan Kidd jugak le tempat orang belajar tuisyen, belajar komputer dah jugak belajar menaip.

Kalau tak silap aku, lepas habis belajar menaip, dia dapat kerja kat KL sebagai kerani di agensi Kerajaan. Kalau tak silap akulah. Aku sebenarnya pun tak berapa ingat sangat sebab masa tu aku baru sekolah rendah.

Tak lama lepas tu kakak aku pulang semula ke Chemor dan bekerja di sini. Kalau tak silap, masa tu aku darjah 6. Ketika itu jugak aku diamanahkan oleh mak aku untuk mengambil kakak aku balik dari kerja di pekan Chemor sekitar 5:30 petang.

Aku akan kayuh basikal jenama Raleigh kaler hitam melalui jalan estet sejauh 4 km hingga di simpang jalan besar Pekan Chemor. Kemudian 4 km ketika pulang pula kakak aku pulak kayuh hinggalah sampai rumah.

Dahulunya, kiri dan kanan penuh dengan ladang getah. Jalannya pulak
hanya tanah merah dan lopak-lopak kesan daripada hujan dan tayar lori.

Pernah satu hari tu, sedang kakak aku kayuh basikal dan aku pulak membonceng kat belakang, ada sorang ni yang memang aku kenal cuba mengorat kakak aku. Dia ni penagih dadah tahap sederhana dalam kampung aku. Mamat ni tengah naik motor Honda kapcai lampu bulat sambil mengorat. Akibat kakak aku tak layan, dengan gaya Koboinya konon-konon nak sepak basikal aku. Tapi aku rasa dia gertak je tu. Berani dia terajang basikal aku, cuba tengok!

Pernah jugak terfikir, kalau aku jumpa mamat dadah ni lagi, aku nak sepak side mirror motor dia. Tapi fikir-fikir balik, kalau dia sepak side mirror kereta aku balik, naya je nanti. Sepasang side mirror kereta aku pulak harganya RM1300. Tak berbaloi aku rasa.

Ok, sambung balik... Tak lama lepas tu, aku dah tak tunggu kakak aku kat Pekan Chemor dah. Kakak aku dah naik bas lain yang membolehkan dia turun kat depan Dewan Besar Kampung Cik Zainal. Ianya terletak betul-betul di pinggir jalan utama yang menghala ke Tanah Hitam.

Dengan basikal Raleigh jugak le aku pergi menjemputnya.

Pernah satu hari aku terawal sampai di hadapan dewan tersebut sekitar jam 5:15 petang. Aku tengok kakak aku tak sampai lagi dan aku bengang sambil mengamuk sorang-sorang kat situ dan terus terus patah balik.

Memang perangai aku cukup tak suka kalau menunggu orang. Tu sebab aku tak mau jadi askar. Kalau kena tunggu komunis dalam semak dan komunis tak muncul-muncul, dah tentu aku balik ke markas semula.

Sampai rumah je aku terus cakap kat mak aku yang dia takde kat situ. Dah balik jalan kaki kot aku cakap.

Pekan Chemor.

Mak aku mengamuk dan suruh tunggu kakak aku kat depan dewan tu balik. Cisssss

Nak tak nak, kayuh le aku ke Dewan Besar balik. Elok je aku sampai depan dewan tu, aku nampak kakak aku baru turun bas.

Nyah: Baru sampai ke?
Aku: A'ah, baru sampai.
Nyah: Bas tadi lewat sikit. Tu yang lambat.

Aku diam je. Sampai sekarang dia tak tau yang aku dah balik sebenarnya sambil mengamuk-ngamuk pasal dia lambat.

Lagipun sebenarnya bukan salah dia. Tu sebab aku tak cerita pun. Mak aku dah pesan awal-awal bagitau yang kakak aku mungkin lewat sikit. Disebabkan aku takut cerita kartun kat tv1 yang aku minat melepas, itu yang aku keluar awal dan balik awal.

Sudahnya, kartun ntah ke mana, lagi kena sembur dengan mak aku adalah!

Itulah kenangan-kenangan yang ada dan yang masih aku boleh ingat lagi.

Sejak ada Facebook ni, nampaknya dia mengikuti perkembangan aku. Buktinya kebanyakan apa yang aku pos, dia akan like dan sekali sekala meninggalkan komen.

Di antara komen-komen kakak aku yang sempat aku screenshot.

Boleh aku katakan 80% pos aku di Facebook beliau akan like. Ini bermakna kakak aku ini masih mengambil tahu apa yang aku lakukan di Putrajaya.

Tapi, selepas ini dah tak ada lagi dah like daripada kakak aku. Ini kerana beliau telah meninggal dunia Ahad baru-baru ni akibat Darah Tinggi. Kematian yang sangat mengejut dalam usia 46 tahun yang sebelum ini tiada tanda sakit-sakit yang serius. Ini kerana kali terakhir aku jumpanya pada 2 bulan lepas dan dia sangat sihat.

Tak ada tanda sakit-sakit langsung!

Selepas koma selama 2 hari di Hospital Raja Permaisuri Bainun, beliau meninggal dunia pada jam 8:05 pagi Ahad. Jenazahnya selamat dikebumikan selepas Zohor pada hari yang sama di Kampung Batu Sembilan, Chemor berhampiran dengan kubur arwah bapak aku.


Apa yang boleh aku katakan, hanyalah Al-Fatihah untuk kakak aku yang disayangi. Semoga damai di sana.

3 Trivia
  1. 24hb Februari adalah hari lahir mak aku. Tarikh yang sama juga kakak aku meninggal dunia
  2. 24hb hari Ahad adalah tarikh bapak aku meninggal dunia. Tarikh dan hari yang sama juga kakak aku meninggal dunia
  3. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, kakak aku mengatakan mahu mengambil cuti yang lama untuk berehat
Rosnani Hassan
1966-2013
PS: ...

Isnin, 11 Februari 2013

Kayuhan Musim Cuti Yang Panjang


Gong Xi Fa Chai kepada yang menyambutnya. Cuti kali ni memang lama dan aku tak ke mana-mana. Ada yang pergi bercuti ke pulau-pulau, ada yang balik kampung dan jugak ada yang kayuh basikal beratus kilometer.

Tapi aku? Aku tak pergi mana-mana pun. Kayuh basikal pun puluh-puluh kilometer je sekitar Putrajaya. Tak ada apa yang boleh dibanggakan sangat.

Hari Jumaat lepas pun kayuh dalam 60 km je. Itu pun pasal ada Kayuhan Kesihatan anjuran Friday Night Ride sekitar Putrajaya - Cyberjaya. Kalau tak ada Friday Night Ride ni, mengangkang depan TV lah jawabnya.

Pancit pulak  kat Presint 10, Putrajaya.
*Hak milik Fadzil.

Jumaat 2 minggu lepas tayar aku pancit jugak disebabkan terkena kaca.
Terbang jugak le RM152 lepas 8% diskaun kat KHCycle.

Kayuhan kali ni macam-macam jadi. Maklumlah, makin ramai ahli, makin banyak dagaannya. Dengan tayar pancitnya, rantai basikal terputus dan yang paling tak best adalah salah seorang daripada kami terjatuh kerana bergesel dengan tayar salah seorang di dalam peloton.

Nasib baik ada kereta sokongan ketika kayuhan berlangsung.
Terus bawak pergi hospital.

Lagi 3 km nak sampai, rantai terputus pulak masa mendaki
bukit di Presint 14. Nasib baik ada jurutera basikal tanpa tauliah!

Kayuhan kali ini buatkan perut aku cramp tahap 5. Seingat aku kali terakhir perut aku cramp pada penghujung tahun 2011. Sungguh amatur!

Disebabkan terasa kekecerdasan badan dan mental makin menurun, pukul 8:20 pagi Ahad aku keluar rumah dengan satu tujuan, mahu lakukan kayuhan sejauh 60 km.

Cuaca agak mendung sekitar Putrajaya.

Baru 41 km. Kena kayuh lagi 20 km baru boleh balik.

Ok, lagi 3 km je... Lepas tu baru boleh balik.

Sepanjang kayuhan, angin agak kuat. Cuaca pula agak mendung. Sedikit sebanyak cuaca sebegini banyak membantu aku tatkala badan dah tak secergas seperti tahun lepas.

Beginilah keadaan Putrajaya ketika cuti panjang.
Macam filem zombie pulak aku rasa.

Akhirnya, berjaya juga aku kayuh seorang diri sejauh 62.35 km. Selepas ini, aku mungkin kena lakukan dengan kerap kayuhan solo macam tahun-tahun sebelumnya. Kayuhan solo banyak membantu kekuatan mental dan fizikal aku tau.

Jadi, untuk tahun ini aku kena banyakkan latihan seorang diri; Sekali sekala baru kayuh jarak jauh ramai-ramai.

PS: Berat badan aku asyik 67 kg je. Tak nampak tanda turun pun. Ishhhh!

Khamis, 7 Februari 2013

Danial: Darah Pahlawan


Hari Selasa minggu lepas, aku bersama Encik Danial jogging di sekitar PICC, Putrajaya. Memang sengaja aku ajak waktu malam kerana Danial tak boleh kena cahaya matahari. Ini adalah angkara Dermatomyositis dan doktor melarang Danial berjemur di bawah matahari.

Lagipun kedua-dua belah kaki aku baru sahaja sembuh daripada cedera. Bolehlah aku bawak Danial berlari bersama aku dengan kelajuan yang perlahan.

Sedang berjalan sekejap. Letih katanya...

Macam biasa, kalau berlari beliau akan bercakap tanpa henti. Kalau 30 minit berlari, 30 minitlah dia akan bercerita tentang hal-hal agama, UFO dan beberapa perkara yang jarang kita fikir.

Boleh tahan jugak dia lari tanpa henti sejauh 2 km  termasuk mendaki bukit sekitar PICC. Bukan kerja senang tau!

Kitorang naik puncak PICC yang tinggi sekali.

Puncak PICC. Danial ajak lumba lari masa turun bukit.

Larian sejauh 4 km berjaya ditamatkan dengan kadar kelajuan 8'25"/KM selama 33 minit 48 saat.

Disebabkan aku seronok berlari dengan Danial, aku ajak berlari lagi pada Selasa dua hari lepas. Ketika berlari, Danial suruh aku cerita pasal Zombi atau UFO atau pasal Nabi Muhammad. Aku pilih topik Nabi Muhammad.

Sedang aku bercerita sambil melintas jalan di persimpangan lampu isyarat menghala ke Pullman, Danial tergolek atas jalan tar. Terus aku mengangkat Danial dan kelihatan luka pada lututnya.

Perlahan-lahan darah meleleh. Agak banyak jugak le darah keluar dan aku terus menekup luka tersebut dengan harapan darah berhenti keluar.

Darah Danial hampir kering kat tangan aku.

Dalam seminit macam tu le aku tengok darah dah berhenti meleleh dan aku terus patah balik rumah sejauh 1.4 km.

Tension betul!

Luka agak dalam jugak le.

Di rumah, ketika aku mencuci luka Danial, ternampak kesan pembedahan di pehanya sepanjang 10 cm.

Ayah: Releks. Masa bedah ni dulu lagi sakit.
Danial: Masa bedah Danial tidur. Tak sedar pun.
Ayah: ...

Selepas cuci dengan Dettol.

Sementara tunggu luka Danial sembuh, aku perlu sambung latihan seperti biasa. Tahap kecerdasan aku sekarang ini ditahap yang sungguh kesian. Kuat makan dan malas adalah punca utama.

PS: Isnin minggu hadapan dengar cerita laluan jahanam yang pernah aku ceritakan sebelum ini bakal berlangsung. Ntah apa nasib aku...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...