Mukasurat

Isnin, 7 Disember 2015

Jual Basikal dan Menulis Buku


Wow, hampir 5 bulan aku langsung tidak mengemaskini blog ini. Aku minta maaf banyak-banyak dari hujung planet Marikh hinggalah ke hujung planet Kepler-452b kerana membuatkan ada yang tertanya-tanya, "Apa sudah jadi dengan penulis blog Pahlawan Basikal? Sihatkah dia? Atau masih waraskah dia?"

Menjawab persoalan di atas tersebut, bahawasanya aku masih lagi sihat menjalani sisa-sisa hidup sebagai seorang pekerja di salah satu agensi pengiklanan yang ada di Malaysia ini dan juga masih lagi membuat aktiviti sukan seperti mengangkat berat dan juga berlari di atas treadmill.

Cumanya, aku tidak terlalu fokus macam zaman kegemilangan aku seperti sebelum ni.

Malahan aku juga sudah menjual komponen-komponen basikal aku dan hanya fokus satu perkara yang sudah lama aku mahu lakukan — menulis buku.

Kuda yang setia menemani aku sepanjang kehidupan bergelar
Pahlawan Basikal.

Aku terpaksa menjual basikal aku itu kerana mahu keluarkan diri aku ini yang sudah sekian lama dalam zon selesa. Ye lah, bangun tidur je fikir basikal, hujung minggu pulak fikir nak kayuh basikal ke Lenggeng atau ke Bagan Lalang. Kalau tak fikir basikal pun aku masih memikirkan bagaimana mahu melajukan lagi larian aku. Ini semua memerlukan fokus berlanjutan sekiranya aku mahu mengekalkan stamina dan prestasi di belakang Lance Armstrong dan juga Watson Nyambek.

Jadi aku memerlukan pengorbanan yang paling besar; yang betul-betul besar iaitu mengetepikan hobi kesayangan aku sementara dan fokus pada bidang penulisan buku.

Dalam dunia hobi basikal ini, aku memerlukan banyak waktu untuk digunakan dan ianya menggunakan 50% masa aku dalam seminggu. Disebabkan aku ini manusia biasa dan bukannya sotong yang ada banyak tangan, aku perlu menilaikan mana satu yang penting dan kurang penting.

Apabila aku menetapkan sasaran aku mahu menulis buku — maka aku memerlukan 100% komitmen dan mengorbankan hobi lain. Sekiranya korang sentiasa mengikuti perjalanan blog ini, korang akan faham bagaimana sikap aku yang orangnya bukan akan main-main apabila sudah menetapkan satu sasaran.

Aku menjual basikal kesayangan aku bukan sambil ketawa atau riak tahap artis extravaganza, sebaliknya aku rasa sangat sedih dan fikiran aku terganggu untuk beberapa minggu. Apa yang boleh aku katakan aku hanya boleh memilih satu sahaja untuk mendapatkan hasil yang aku mahukan.

Tinggal bingkainya sahaja. Yang lain sudah terjual.

Sekiranya aku mahu, aku masih boleh kayuh basikal, berlari, pergi gym, lepak dengan kawan-kawan sepejabat di kedai mamak dan dalam masa yang sama aku masih boleh merealisasikan impian aku untuk menulis buku. Tetapi hasilnya akan menjadikan aku seseorang yang setakat boleh kayuh basikal, berlari ala kadar, ada otot lebih kurang, mempunyai rakan waktu berseronok sahaja dan mempunyai sebuah buku yang ala kadar.

Semua yang aku dapat hanyalah lebih kurang sahaja.

Dan ianya berlawanan dengan apa yang aku mahukan iaitu aku mahu ada sebuah buku sendiri dan isi kandungannya aku menulis dengan sepenuh hati dan ianya memberi kesan kepada orang yang membacanya; terutama sekali anak-anak. Apabila mereka besar nanti dan ketika itu aku sudah tiada lagi, buku itu akan menjadi pengganti diri aku. Dalam masa yang sama juga, kalau korang baca buku tersebut pun akan mendapat manfaatnya.

Jadi keputusannya, aku perlu melakukan pengorbanan terbesar dan fokus terhadap satu perkara sahaja iaitu 'Menulis Buku'.

Seminar Penerbitan Buku yang aku sertai semalam di Taman Melawati
anjuran Nur El-Hikmah.

Kalau korang nak tahukan, sejak aku mengurangkan masa aku terhadap basikal, aku berkemampuan membaca buku-buku kewangan, biografi, bukan-fiksi dan ilmiah lain sebanyak 5 buah buku seminggu. Hinggakan ketika tersangkut dalam kesesakan jalanraya pun aku masih membaca buku.

Koleksi buku-buku biografi di perpustakaan mini aku.

Perancangan aku sekiranya impian aku terlaksana iaitu sudah mempunyai sebuah buku nanti, aku akan fikirkan sebuah basikal lain pula. Aku akan kembali kayuh basikal sebagai hobi sahaja dan bukan lagi sebagai seorang Pahlawan.

Apa yang pasti basikal baru tersebut tidaklah sehebat basikal hitam putih seperti sebelum ini yang pernah aku miliki.

PS: Aku mahu menukar nama Pahlawan Basikal kepada nama lain. Eh, ada yang sudi mengambil alih nama Pahlawan Basikal?

Selasa, 9 Jun 2015

Sayangkan Basikal, Tinggal-tinggalkan


Awal suku tahun dalam 2015 ini, aku ternyata sangat sibuk. Bermula Mac hingga awal Jun, aku kerap balik lewat dari pejabat dan biasanya aku akan tiba di rumah jam 10:00 malam.

Jadi, segala berkaitan sukan dan mengangkat berat habis terbengkalai — hingga satu masa aku putus asa daripada terus mengangkat berat. Ini kerana berat badan daripada 71 kg (berat yang sebahagiannya adalah otot) turun kepada 65 kg dan otot biceps aku daripada 35 cm menjadi 32.5 cm. Untuk pengetahuan korang, ketika zaman berbasikal, biceps aku cuma 30 cm sahaja.

Basikal juga sudah berhabuk dan jarang aku sentuh. Kali terakhir aku berbasikal adalah 20 Februari yang lepas iaitu ketika PNR100.

Kayuh basikal pun tak, apakan lagi nak tulis blog...

Tapi dalam 2 minggu ni aku sudah tidak berapa sibuk sangat. Apa yang perlu aku lakukan cuma bermula daripada mula balik. Dan langkah pertama adalah...

Langgan Gym

Seumur hidup aku, memang aku tak pernah masuk dan menggunakan peralatan gym. Aku jugak tak ada kawan-kawan yang sudi masuk gym sama-sama sebelum ini. Jadi, boleh aku katakan yang ini adalah satu langkah berani dan drastik. Aku boleh terdedah pelbagai risiko dan salah satunya adalah akibat 'salahguna' peralatan gym dan ada yang gatal tangan akan merakam aksi pelik aku dan disebarkan melalui Facebook!

Fitness Space Gym yang terletak di Ayer@8 di presint 8.

Mengikut pengiraan dan hasil perisikan aku, di dalam Putrajaya sahaja ada 7 gym. Aku cuma berkesempatan mencuba 3 gym sahaja dan akhirnya aku melanggan di FITNESS SPACE GYM di Ayer@8 dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM140. Bayaran bulanan berikutnya pula adalah RM70.





Gym KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pula aku letakkan sebagai pelan kecemasan sekiranya aku kesuntukan atau mengejar masa. Ini kerana gym KBS cuma 4 km sahaja daripada rumah aku.

Dalam masa 3 minggu ini aku mengikut 100% jadual latihan aku dan hasilnya biceps & triceps aku sudah naik daripada 32.5 kepada 34.3 cm.

Agak ok pada aku sebab aku berjaya mendisiplinkan diri aku ini sama seperti aku mendisiplinkan diri aku ketika berbasikal dan berlari dahulu.

Dan seterusnya, langkah keduanya pula adalah...

Jaga Pemakanan

Aku ni manusia biasa juga. Bila perut lapar ketika petang dan malam di pejabat, aku bedal je apa yg ada di BurgerByte yang terletak bersebelahan blok pejabat aku. Adakalanya aku skip makan tengahari dan cuma makan petang sahaja. Akibat metabolisma tinggi, aku kembali kurus dan otot-otot aku kempis macam tayar basikal pancit.

Waffle tinggi fiber, protein dan carbohidrat yang aku buat sendiri

Apa yang jahanamnya, semua ni berlaku tanpa aku sedar akibat terlalu fokus dengan kerja. Habis segala usaha aku sepanjang tahun lepas!

Selepas sahaja aku langgan gym yang aku cerita tadi, aku terus jaga setiap apa yang masuk ke dalam perut aku. Aku mula sensitif berapa persen protein, karbohidrat dan juga lemak yang aku bedal.

Dalam 3 minggu ini berat aku naik dan sedikit sebanyak nampak otot-otot sudah mula timbul.

Hasil dua minggu fokus pada V shape selepas berehat 3 bulan lamanya
tanpa apa-apa aktiviti.

Disebabkan tak menjaga apa yang aku makan sebelum ni, perut aku mula sedikit maju ke hadapan. Lemak di keliling pinggang seakan-akan mahu menguasai pinggang dan perut aku.

Yang peliknya, sejak aku masuk gym baru aku sedar. Sebelum ni aku tak perasan pulak!

Tak apa, biar aku naikkan otot aku dulu, perut ni kemudian nanti baru aku setel.

Selama ini aku ingat untuk membina otot, walaupun sedikit tak adalah susah mana sangat. Aku ingat angkat je besi-besi berat terus je jadi. Tapi jangkaan aku jauh meleset.

Kalau tidak, kontraktor indonesia yang angkat simen hari-hari dah lama masuk Mr. Olympia di Amerika sana tu!

Kalau korang nak tau, ini adalah kali yang ke-tiga aku mencuba. Faktor masa, pemakanan dan disiplin yang konsisten adalah musuh utama dalam bidang ini.

Dalam bidang basikal dan lari, aku tak pernah rasa gagal. Tapi kali ini lain macam betul dan ini betul-betul mencabar aku seadanya.

Dan, akhir sekali aku mahu sentuh sedikit tentang...

Basikal dan Lari

Tak aku nafikan, ini adalah sukan paling aku sayang. Bak kata orang Itali, "Sayangkan basikal, tinggal-tinggalkan".

Aku kena bersabar dalam hal begini. Salah haluan, habis usaha dan fokus aku dalam usaha menaikkan otot-otot aku.

Aktiviti kardio yang melampau adalah musuh utama dalam usaha pembikinan otot. Aku cuma boleh kardio tak lebih 1 jam. Dan tak ada Pahlawan Basikal dalam dunia ni yang kayuh basikal kurang dari 1 jam. Semuanya melebihi 40 km keatas dan paling koman pun 2 jam kayuh non-stop.

Itu sebab basikal aku masih sihat walafiat dan bukan dalam status "UNTUK DIJUAL". Aku akan kayuh tapi bukan sekarang le.

Tunggu badan aku macam Lance Armstrong baru aku kayuh balik kekeke



PS: Terima kasih kerana membaca. Dan juga terima kasih kerana masih ingat akan diriku seadanya.

Isnin, 23 Februari 2015

PNR100: Cerita Seratus Satu Malam


Jumaat lepas iaitu pada 20 Februari 2015 aku turut sama aktiviti rutin NOGLB iaitu Putrajaya Night Ride (PNR). Apa yang uniknya kayuhan kali ini adalah pada malam tersebut dinamakan PNR100 yang bermaksud setiap orang kena kayuh 100 km dalam satu malam secara berkumpulan.

Ini adalah jemputan tertutup dan pada awalnya hanya dibuka kepada 100 orang sahaja.

Dan sedikit bayaran sebanyak RM20 dikenakan. Dan semua akan mendapat tshirt edisi PNR100 dan botol air Vittoria yang ditaja oleh Jami Bike Centre.

Dari pagi aku cuba makan sumber karbo sebanyak mungkin untuk pastikan
malam nanti tak cramp.

Tetapi dihujung-hujung tarikh tutup tersebut. berlaku sedikit rombakan dan menambah 10 lagi peserta dan bayaran sudah tak sama iaitu RM25 seorang.

Dan, aku adalah orang yang paling akhir daftar.

Oh ye, walaupun perancangan aktiviti ini 'last minute', ada dua buah kelab basikal sudi menaja dari segi kereta sokongan, pisang, air mineral dan juga botol air Vittoria iaitu:
  • Jami Bike Centre (JBC)
  • Orbit

Dua buah motor juga terpaksa digunakan sebagai marshall di sepanjang aktiviti.

Sedang bersiap siaga.
Sebelum kayuh, acara kutuk mengutuk penyeri suasana.
Syafiq Ridhwan pemain bowling negara selaku ahli tetap PNR pun join sekali.

Dan juga beberapa buah kelab basikal sudi menyumbangkan tenaga dan peluh seperti:
  • NOGLB
  • JBC
  • ORBIT
  • SPCC
  • KdB
  • ENCHAL

Terima kasih kepada mereka semua kerana menjayakan aktiviti tersebut.

Cuma apa yang sedihnya, aku cuma kayuh 70 km sahaja. Ini bermaksud aku sudah melanggar kontrak PNR100.

Aku boleh beri seribu satu alasan di sini untuk menjaga maruah aku. Tapi, cukup aku katakan yang aku tersilap masuk simpang lalu aku terus pulang ke rumah.

Lagipun bateri lampu basikal aku sudah tidak terlalu terang dan aku rasa agak bahaya kalau aku teruskan perjalanan yang berbaki 30 km itu.

Sedang mendengar taklimat dan amaran keras oleh pengerusi-pengerusi PNR
iaitu Norman, Jeffery dan Khasif.

Aku difahamkan kelajuan sekitar 30-35 km/j sahaja dan mereka katakan tidak perlu risau. Tapi aku sikit pun tak percaya.

Dan, memang betul kerana meter aku menunjukkan kelajuan yang sebenar adalah menghampiri 40 km/j.

Dan itu sebab di kilometer yang ke 52 km, aku terputus dari peloton dan kereta sokongan JBC menemani aku dan beberapa orang lagi (...termasuk boss JBC sendiri) sehingga bersambung semula dengan peloton asal.


Pusingan pertama selesai dan sedang melahap pisang dan air mineral.

Menyambung pusingan kedua yang masih lagi berbaki 40 km.

Oh ya, di awal kayuhan sekitar 10 km ada berlaku kemalangan yang berlaku betul-betul dihadapan aku dan aku tak pasti siapakah gerangannya. Tiba-tiba sahaja dua orang sekaligus jatuh ke kiri jalan ketika menuruni bukit. Aku dan 3 orang lagi sempat mengelak dan difahamkan mereka berdua mengalami sedikit kecerderaan ringan.

Dua orang kemalangan sesama sendiri di persimpangan susur keluar
dari Alamanda.

Aku harap mereka berdua baik-baik sahaja dan boleh sambung kayuh macam biasa.

Sekali sekala menarik juga buat aktiviti unik macam ini. Tak adalah bosan sangat. Dan aktiviti macam ini jugak dapat menarik banyak kelab basikal berdekatan untuk turut sama sambil berkenal-kenalan.

Jatuh, pancit itu perkara biasa. Kalau jarang kayuh dan sebaliknya kerap angkat besi lalu eksyen nak kayuh 100 km sekaligus itu je yang sesuatu yang bukan perkara biasa. Memang azab rasanya.

PS: 'Marshall' bermotor yang diketuai oleh Komeng aku boleh sifatkan amat berjaya.
PPS: Aku pernah buat 100 km dalam satu malam tanpa sebarang masalah. Tapi itu dulu...

Rabu, 18 Februari 2015

Dengan Rendah Dirinya, Aku Kembali Kayuh


Aku nak mulakan ayat pun dah tak berapa nak reti macam mana akibat terlampau lama tak kemaskini blog ni. Jari dan sendi-sendi tangan sudah keras — Sama rasa macam aku kayuh basikal, punggung kebas, peha macam nak kejang dan bahu rasa beban.

Oh ye, berat badan aku sudah pun cecah 70 kg akibat beberapa otot mula nak berkembang. Aku rasa dah cukup untuk aku dan tiba masanya aku mula kayuh basikal. Tapi tak adalah macam dulu-dulu; segala benda nak laju dan selagi 'heart rate' tak cecah 99% itu bukan kayuh basikal namanya.

Aku dah tak boleh ikut Putrajaya Night Ride macam dulu-dulu. Mahu pun kayuhan hujung minggu yang melebihi 100 km jauhnya, memang nahaslah aku.

Sebagai pembuka kayuhan, minggu lepas aku ikut kayuh Putrajaya Night Ride untuk menilai tahap kecerdasan aku.

Sebelum itu, aku ada daftar 'KONVOI BERBASIKAL 1WILAYAH PERSEKUTUAN 2015' sebagai pelan 'back up' sekirannya aku tumpas di PNR.

Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan 2015

Dan, tepat sekali telahan aku — aku tewas dengan teruk di Putrajaya Night Ride. Baru 5 km kayuh aku sudah kena tinggal.

Aku terus pulang ke rumah tanpa apa-apa hasil.

Dan dengan ini aku sifatkan 'KONVOI BERBASIKAL 1WILAYAH PERSEKUTUAN 2015' adalah aktiviti kayuhan aku bagi tahun 2015.

KONVOI BERBASIKAL 1WILAYAH PERSEKUTUAN 2015

Pukul 5:45 pagi aku sudah bangun tidur semata-mata untuk cukupkan kalori aku. Ini kerana aku tak mahu proses tumbesaran otot aku terganggu. Apa-apa aktiviti kardio yang melampau akan menyebabkan otot mengecil dan kurus cengkung sekiranya pengambilan kalori kurang.

Jadi, aku mulakan sarapan aku dengan jumlah kalori 1,000 kcal. Makanan yang mudah hadam adalah wajib seperti roti dan aku makan sejam sebelum aktiviti kardio.  Lagi pun roti adalah sumber karbo. Telur separuh masak juga perlu sebagai sumber protein.

Telur, Focaccia, Nutella agak-agak berapa sumber tenaganya?

Ini pre-workout nutrition sebelum aktiviti kardio agak tidak hilang otot secara drastik:

  • 2 biji telur separuh masak
  • 3 biji telur separuh masak putih sahaja
  • 2 ketul Roti Focaccia
  • 2 sudu Nutella
  • 1 sudu Minyak Zaitun

Protein 35.37 gram, Carbo 95.41 gram dan jumlah kalorinya 942 kcal.

Korang boleh cuba dan rasakan sendiri prestasinya ketika kardio selepas itu.

Makanan bergoreng dan berminyak adalah tinggi kandungan lemak dan makanan jenis ini lambat hadam dan wajib dijauhi sekiranya mahu melakukan aktiviti kardio.

Susu pun sama tau, elakkan minum susu sebelum aktiviti kardio sebab ianya tinggi kandungan lemak dan lambat hadam.

Aku keluar rumah jam 7:30 pagi dengan menaiki basikal dan menghala ke Istana Kehakiman di Presint 3. Jauhnya hanya 4 km je dan sempat tiba sebelum jam 8:00 pagi waktu kayuhan konvoi berlepas.

Aku cuma segan sambil memerhati daripada jauh.

Masih lagi memerhati sambil mencari-cari kot-kot ada yang kenal.

Dengan set jersi Kelly Benefits yang terasa semakin sendat aku menunggu kayuhan bermula. Boring jugaklah sebab tak ada kawan.

Tepat jam 8:00 pagi semua orang mulakan kayuhan. Aku pun kayuh sama dan nyaris-nyaris tergolek sebab kelompok di hadapan perlahan sangat.

Sudah lama sangat basikal ini setia menemani aku tatkala susah dan senang.

Aku kayuh dengan penuh kesabaran sambil memerhati orang. Macam-macam perangai aku tengok. Ada yang masa itu jugaklah brek mengejut sebab nak cek tayar, nak berselfie, cek setting gear. Dan ada yang terjatuh sebab terlanggar basikal yang tersadai di atas jalan.

Macam-macam perangai.

Dah kayuh 17 km masa ni. Berhenti sekejap sambil sembang-sembang.

Aku pun kayuh sekitar 20 km/j sebab tak mahu ambil risiko tergolek. Dalam keadaan macam ni, macam-macam boleh jadi.

Tapi apa yang aku rasa kayuhan sejauh 30 km ni memang tersangat lama dan jauh. Aku mula terfikir macam mana aku boleh kayuh sampai 160 km sebelum ni.

Bahu-bahu aku pun rasa lenguh. Tangan pun rasa keras.

Inilah azabnya kalau lama sangat tak sentuh basikal.

Bergaya sebelum tewas pada PNR Jumaat Lepas.

Jadi aku mengambil keputusan untuk turut sama aktiviti malam ni, "PNR100 - Cerita Seratus Satu Malam". Aku jangkakan pasti menarik sebab jarak kayuhannya adalah 100 km dalam satu malam.

Boleh bayangkan baru berjaya kayuh 30 km terus eksyen nak kayuh 100 km terus non-stop. Pasti menarik.

Kalau aku berjaya habiskan 100 km aku akan cerita dalam blog ini. Kalau aku senyap tu, faham-faham aje lah.

PS: Aku dah berjaya dapatkan 'lean muscle'. Cuma sedang belajar untuk selenggara dan kekal seadanya. Tak mahu macam dulu yang dimana aku sengsara dengan kehilangan otot yang melampau hinggakan tekan tubi melebihi 4 pun tak mampu.

PPS: Ramai yang kata aku nak jadi Bodybuilder dan bersara dari kayuh basikal. Bongok betul siapa yang kata aku macam tu!

Selasa, 9 September 2014

Alkisah NOGLB - Pahlawan Basikal Gaya Gerila


Minggu lepas aku dah cerita tentang Putrajaya Night Ride (PNR). Dan, hari ini aku mahu bercerita tentang kumpulan basikal iaitu "No One Gets Left Behind" atau boleh juga digelar NOGLB.

Kebanyakan yang kayuh pada malam Putrajaya Night Ride ketika itu terdiri daripada pelbagai kumpulan basikal sekitar Putrajaya seperti dari Bangi, Kajang dan Kuala Lumpur. Dan ada juga bergerak solo tanpa bernaung di bawah mana-mana kumpulan basikal.

Sebelum Kayuhan Jahanam ke Jeram Toi 161km.

Biasanya kalau kayuh jarak jauh setiap hujung minggu, muka ini juga
yang sudi menyahut cabaran.

Setiap hari Ahad, ada sahaja aktiviti-aktiviti kayuhan jarak jauh yang jauhnya melebihi 100km. Biasanya kami kayuh dalam kumpulan dan tak ada istilah breakaway. Dan kayuhan kami lebih tersusun berbanding kayuhan setiap malam hari Rabu dan Jumaat.

Istilah No One Gets Left Behind ini timbul apabila rakan kami iaitu Faizul ada masalah lutut dan ketika pulang daripada Ampangan 2, lututnya cedera dan terpaksa kayuh perlahan-lahan.

Kami semua kayuh perlahan-lahan pulang ke Putrajaya dalam satu kumpulan.

7 February 2013 di Bukit Puyuh, Lenggeng.

Boleh kata kayuhan hari Ahad memang dalam satu kumpulan dan lebih kepada semangat kekawanan.

Dan sejak daripada itu, Norman, Dakdone, Jaja dan beberapa rakan lain wujudkan satu kumpulan dalam What's App dan kami semua berbincang nama yang sesuai dan kami pilih nama No One Gets Left Behind.

Yang uniknya, dalam kumpulan ini terdiri daripada ahli-ahli daripada kumpulan basikal lain. Objektifnya adalah untuk merapatkan sesama ahli dan mudah untuk mentadbir urus kayuhan bagi setiap aktiviti kayuhan pada masa akan datang.

Beberapa istilah Pahlawan Basikal dan Latihan Gerila kerap aku gunakan bagi memeriahkan lagi nama NOGLB.

Nama Pahlawan Basikal tertera pada jersi basikal kami sebagai treadmark dalam kumpulan ini. Senang kata, kami semua adalah Pahlawan Basikal.

Nama Pahlawan Basikal bukan sekadar nama. Ianya lebih daripada itu dan
berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti 160km kita sebelum ini.

Untuk mencanangkan setiap aktiviti di luar sana, aku jadikan blog ini sebagai wadah agar lebih ramai lagi menyertai keseronokan bersama-sama kami dan menyelami semangat setiakawan dalam setiap kayuhan yang beratus kilometer jauhnya.

Bila kita kayuh basikal jauhnya beratus kilometer, kita akan kenal siapa kawan-kawan kita — Siapa yang ada disebelah kita tatkala air botol kosong.

Sekarang, warna merah jambu yang tertera nama NOGLB dan Pahlawan Basikal ini ada di merata-rata disetiap aktiviti basikal.

Oh ye, jangan lupa warna merah jambu ini hasil idea daripada Faisal Maat. Olahan warna dan reka bentuk hasil kerjasama Faizul. Tugas aku cuma pindahkan semua idea itu ke dalam komputer je bagi memudahkan kerja pereka grafik Ciclista.

Ketika trip ke Cameron Highlands, Pahang.

Apa-apa pun aku beri penghargaan kepada mereka di sebalik nama NOGLB seperti Norman, Jaja, Awe, Dakdone, Faizul Hashim, Faisal Maat, Taufiq, Mie Bulat, Syaful, Halim, Faizal Abdullah, Jeffery Yahya, A'ar, Iskandar, Rosmawi, Fariz Atraz, Syaful, Naza, Apern, Anas, Ajeep, Komeng, Pae, Rizal, Nizam Cipollini, Hairi dan ahli-ahli kumpulan Jami Bike Centre yang lain.

Tanpa mereka ini, tiadalah kisah-kisah Pahlawan Basikal dan latihan-latihan gaya gerila sekitar Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Akhir kata, semoga persahabatan terus terjalin; walaupun diluar arena perbasikalan.

PS: Cerita ini aku jadikan dokumentasi tentang NOGLB agar kita tidak lupa dari mana kita datang.

PPS: Kalau aku tertinggal nama-nama mana-mana Pahlawan Basikal yang lain, maafkan aku. Dah lama sangat aku angkat besi kat rumah. Memori-memori aku telah diserap besi-besi yang berat.

Jumaat, 5 September 2014

Sejarah Ringkas Putrajaya Night Ride


Aku rasa ada di antara korang sememangnya tahu tentang nama 'Putrajaya Night Ride' atau dengan nama ringkasnya adalah 'PNR'. Tapi aku percaya ramai tak berapa nak tahu tentang sejarahnya.

Aku mula-mula kayuh basikal dulu tahun 2010 sorang-sorang je. Dua minggu selepas tu jumpa geng-geng basikal dalam ruang sembang Bicycle Buy Sell (BBS). Dari situ aku kenal beberapa kawan dan mula berkayuh dengan diorang iaitu Faizul, Opie dan Iskandar.

Di kedai mamak Presint 14.

Kami bertiga kayuh setiap malam hari Selasa, Khamis dan Sabtu pagi. Laluan pada waktu itu bermula di Masjid Putra dan adakalanya di Mahkamah Putrajaya, melalui jalan sepanjang Presint 2, Bukit Alamanda, Cyberjaya, PICC dan pulang ke Masjid Putra.

Laluan ini Faizul punya idea. Aku dan beberapa rakan lain ikutkan sahaja.

Nak harapkan aku, kirim salam je le. Laluan pergi balik kerja aku terer lah!

Pada satu hari yang aku dah lupa hari apa, tetapi masih lagi di tahun 2010, Faizul telefon aku ajak kayuh dengan kumpulan Tri Paku. Difahamkan kayuhan Tri Paku setiap malam Rabu dan Jumaat pada pukul 9:30 malam.

Ketika Kayuhan Amal Tri Paku.

Dengan perut buncit, aku terima pelawaan tersebut. Hey, ketika itu berat aku 71 kg tau!

Zaman boroi.

Dan, sejak daripada itu aku mula kenal ramai kawan. Bayangkan ada masanya sekali kayuh mencecah 20 orang lebih.

Aku masih ingat dalam kumpulan tersebut, Faisal Maat, Lee dan Awe adalah orang terawal menegur aku. Walaupun aku agak gendut ketika itu, mereka masih boleh menerima aku seadanya.

Faisal dan Ajak.

Di pitstop PICC.

Di parkir bangunan MAMPU.

Masa itu aku kayuh setiap Rabu dan Jumaat tanpa miss. Kalau terlepas satu kayuhan, hati jadi susah dan mula rasa murung hampir seminggu lamanya.

Makin hari makin ramai dan dalam tak sedar, aku mula perasan ramai anak-anak didik Jami Bike Centre ikut kayuh sekali.

Awe, Halim dan Iskandar. Ini semua champion tau!

Sejak daripada itu, kayuhan mencecah 30 lebih orang. Semakin hari kayuhan semakin laju hingga pernah heart rate aku mencecah 218 bpm ketika mendaki Bukit Alamanda.

Sekitar 2011, tempat berkumpul menjadi dua iaitu di Presint 14 dan tapak parkir MAMPU iaitu semua ahli Tri Paku berkumpul.

Di awal 2012, lokasi berkumpul ditukar ke Masjid Putra dan ahli Tri Paku masih tetap di tapak parkir MAMPU. Dan semua akan sama-sama bergerak kayuh dari Masjid Putra.

Sejak dari situ, kami mula mengubah selera pada setiap kayuhan hari Ahad mestilah menarik. Lalu kami yang terdiri daripada Faizul, Norman, Faisal Maat, Taufiq, Awe, Mawi, Iskandar, Fariz Atraz dan Mie Bulat mula mengubah laluan menghala ke Labu, Ampangan 2 dan beberapa laluan-laluan pelik.

Ketika di lebuhraya LEKAS menuju ke Ampangan 2.

Kayuhan jahanam ke PD. Aku siap sesat dan kayuh balik Putrajaya
sorang-sorang.

Kisah-kisah kayuhan ini aku pernah ceritakan dalam blog ini dan aku anggapkan kayuhan-kayuhan tersebut memang marvelous!

Itulah serba sedikit sejarah kayuhan PNR ini. Difahamkan sekarang ini ada masanya yang turut serta kayuh mencecah 40 orang lebih. Cukup ramai.

Banyak kisah sedih, gembira, salah faham, kemalangan kecil serta kemalangan hingga meragut nyawa salah seorang daripada kami sengaja aku simpan. Ada masa, aku cerita lagi.

Lagipun dah 10 bulan aku tak kayuh basikal. Dan aku bercadang nak kayuh basikal balik setelah anak aku Danial bertanya,

"Ayah tak kayuh basikal dah ke? Asyik angkat besi je."

Aku tak pasti ianya perli atau mencabar aku untuk kayuh basikal semula.

PS: Aku bercadang nak mula kayuh basikal malam ni. Tapi...

Rabu, 4 Jun 2014

Pahlawan Basikal vs Pahlawan Besi


Sedar tak sedar, dah setengah tahun aku tak kemaskini blog ni. Mengikut kiraan aku dalam kaedah fizik dan matematik tambahan, aku sudah berhenti kayuh basikal selama 3 bulan. Berlari pula cuma sekali sekala bawah 5 km puratanya.

Berat sebelumnya cuma 58 kg dan sekarang ini 66 kg. Berita baik bagi aku yang objektifnya berbeza daripada dahulu.

Objektif aku sekarang ini adalah memulihkan dan menambah otot yang hilang akibat kardio berlebihan. Ini semua gara-gara semangat berkobar-kobar Powerman tahun lepas.

Daripada tahun lepas aku sudah tetapkan matlamat aku
sepanjang 2014 ini.

Apabila melibatkan penambahan otot, ini maknanya tiada lagi aktiviti kardio untuk sementara waktu. Kalau aku buat kardio jugak, badan aku akan keliru samada nak tambah otot atau nak hilangkan otot.

Lama-lama otot aku jadi gila. Tak mau lah aku!

Jadi, aku mengambil keputusan untuk rehat sementara daripada aktiviti kardio hingga berat aku mencecah 68 - 70 kg lepas ripped. Lepas tu kalau nak kayuh basikal dua atau tiga jam, takde hal.

Bukan apa, dengan berat 58 kg, aku rasa macam tak cukup syarat sebagai lelaki tulen. Dengan berat banyak tu pun aku tak boleh nak buat push up lebih dari 4 kali. Apa hal?! Lagipun ramai yang cakap aku ni macam orang sakit kritikal — kurus macam tak cukup segala mineral dan vitamin.

Berat waktu ni 58 kg tau. Otot cuma bahagian kaki
je ada. Bahagian atas tak ada.

Pada pendapat aku, ahli sukan bukan pro macam aku ni perlu nampak lebih sihat dan bukannya macam orang sakit. Baru boleh tarik minat orang ramai untuk menceburi aktiviti-aktiviti sukan.

Pernah satu pagi aku bangun dari tidur, aku cuba buat tekan tubi dan aku cuma dapat lakukan empat kali sahaja. Beribu-ribu kilometer aku kayuh, seribu kilometer aku dah berlari, tapi tekan tubi pun tak mampu. Ini perkara ganjil.

Aku bermula dengan 5 kg untuk One-Arm Dumbbell Row untuk otot
belakang aku. Sekarang ini 20 kg untuk 12 reps 4 sets.

Sejak itulah aku cuba mencari jawapan dan aku jumpa jawapannya dalam Strength Workout. Jawapan yang aku jumpa adalah, "Aku kehilangan fiber otot yang banyak. Ianya adalah akibat daripada aktiviti kardio yang berlebihan."

Sepanjang 6 bulan ini aku fokus segala kerja membaik pulih otot-otot aku. Memang aku akui, untuk hilangkan otot adalah sangat mudah. Nak bina otot balik adalah sangat sukar dan mencabar.

Dahulunya sama rata. Kini tidak lagi.

Jadi, untuk sementara waktu ni aku perlu berehat daripada kayuh basikal dan berlari melebihi 30 minit.

Bidang Nutrisi dan Strength Workout ini sangat baru pada aku. Aku pun tengah tekun belajar. Kalau aku berjaya, nak jugak satu hari nanti aku berkongsi dengan korang semua.

Itulah sebabnya aku tak ada cerita dengan korang semua. Kalau dulu-dulu ada cerita hujung minggu tentang kayuh basikal. Atau pun cerita tentang aktiviti larian. Sekarang ni semua tu dah tak ada. Eh, tak kan aku nak cerita perihal besi-besi yang berat-berat? Atau tak kan nak tukar nama Pahlawan Basikal jadi Pahlawan Besi?

Ish, tak sanggup aku tukar nama.

Oh ye, sekarang ni aku boleh buat tekan tubi 100 kali. Berbanding 5 bulan lepas cuma 4 kali je.

Apa-apa pun, nantikanlah kepulangan aku dalam arena perbasikalan semula. Bila? Ntah, tiada jawapan yang tepat tatkala ini.

PS: Hidup tanpa aktiviti kardio adalah sangat menyiksakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...